Jumaat, Oktober 28, 2011

Pertunjukkan Pentas Sekitar 70an di Pulau Pinang

M. Shariff sedang menyanyi diiringi oleh Orkes Teruna Ria
pimpinan Basir Ahmad di Dewan Sri Pinang, P. Pinang
Azean Irdawaty diiringi Penari Penari Saadiah Ahmad Daud. Band SJ Band.
Lokasi persembahan di Padang BMRC Bukit Mertajam.
Pertengahan hingga ke penghujung tahun 70an, saya rakamkan gambar-gambar pertunjukan pentas artis-artis tanahair yang dilangsungkan di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ketika ini, persembahan pentas sering mendapat sambutan ramai walaupun dikenakan tiket dan berbayar.
Penganjur pula menyediakan barisan artis yang ramai untuk satu-satu pertunjukan. Ketika itu bayaran untuk artis murah dan hasil dari pertunjukkan, penganjur boleh mendapat pulangan wang yang agak baik dan menguntungkan.
Saya pernah bawakan persembahan Sharifah Aini (sekarang Datuk Sharifah Aini) dan Sudirman di Padang BMRC Bukit Mertajam ketika itu. Bayaran untuk Sharifah Aini dan Sudirman, masing-masing seorang RM1,200 sahaja. Bayaran band atau kugiran pengiring cuma RM300 ke RM400.


Dahlan Zainuddin sedang menyanyi diiringi Penari Penari Saadiah Ahmad Daud di Bukit Mertajam.
Di belakang pentas Dewan Sri Pinang P. Pinang. Dari kiri - Hariffuddin Kamaruddin, Yusof Hashim, M. Shariff, A. Razak dan Saloma.
Antara artikel/Berita Hiburan tulisan saya di akhbar mengenai pertunjukkan pentas di Utara dalam tahun 70an.
A.R. Badul sedang menyanyi diiringi Orkes Teruna Ria. Basir Ahmad bermain gitar utama.
Dari kiri - A. Ali, L. Ramli, Ahmadi Hassan, Ahmad Daud, Shahidan Mustaffa dan Yusof Hashim
Di atas ini antara gambar-gambar yang sempat saya ambil masa persembahan dan di belakang pentas, juga keratan akhbar berita-berita hiburan tulisan saya mengenai persembahan pentas tersebut.

Rabu, Oktober 26, 2011

Membantu dan Menguruskan Beberapa Pengambaran Tv dan Dokumentari





Bermula dari penghujung tahun 80an hingga sekarang, Ada juga saya terlibat membantu dan menguruskan beberapa pengambaran Telemovie dan juga Dokumentari untuk penerbitan Tv dan lain lain kebanyakkannya di Utara.

Alhamdullilah, saya sekarang ni bebas kerana tidak terikat dengan sesuatu jawatan yang tetap, apa saja yang dipelawa dan boleh dilakukan, saya akan terima. Lagipun saya berminat dengan bidang ini disamping mencari rezeki.

Ahad, Oktober 23, 2011

Selamat Hari Lahir buat Anak Anakku...


Kedua dua anakku ini lahir dalam bulan Oktober. Selamat hari lahir untuk yang sulong, Muhammad Asyadi dan adiknya Muhammad Asymawi. Semoga Allah berikan keberkatan dalam semua perkara, sihat, sejahtera dan mendapat rahmatNya. 

Jumaat, Oktober 21, 2011


Siri Nasi Kandar Papedom yang keudara setiap pagi Ahad jam 8.30 pagi di Radio Malaysia Mutiara FM hingga kini telah bersiaran lebih enam tahun. Pelakon tetap, DjYY, pelawak Chik Pak Man Telo dan saya sendiri. Sebelum itu siri ini pernah bersama pelakon undangan antaranya Nordin Yahaya (Abang Tanjung), Maidin Ibrahim (Pelawak Maidin), Chop Pak Kojek, Jaafar Osman, Siti, Eddy dan Dj Izham.

Kumpulan Galapagos yang terdiri dari kami sendiri akan bermain muzik dan menyanyi di setiap pembukaan dan penutup rancangan ini.

Setiap minggu, kisah yang dipaparkan ialah isu isu semasa dan kisah masyarakat. Disampaikan secara jenaka sepontan dan perbualan kedai kopi. Pak Omar (saya sendiri) jadi tuan kedai Nasi Kandar Papedom menyambut tetamu Chik dan DjYY dan duduk bersama sambil bersembang. Rancangan ini boleh diikuti melalui FM 95.7mhz (untuk P. Pinang) atau di radio online live streaming di mutiarafm.gov.my .


Khamis, Oktober 20, 2011

Album Good Way Radio. Mengandungi klip klip jenaka Chik dan Chop dan rakan-rakan. Turut terlibat Sharifah Juairiah, Dj Dino, Rahim Dalmia, Mahmud Samad, Pian Kojek, Liza Hussein, Rohana, Man Damar Laut (Man Good By) dan saya sendiri Omara. Jenaka disampaikan dalam bentuk radio. Album ini keluaran saya Omara Production dan penerbit bersama Omara dan Chik. Rakaman dibuat di Fame Studio, P. Pinang. Muzik oleh Boy Raj.

Selasa, Oktober 18, 2011

A. Rahim Muda (Imuda) dan Omar Hashim (Omara)










Nama sebenar Abdul Rahim bin Muda. Lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 13 Disember 1959, Nama dia Im, dan bapanya, Muda, maka jadilah Imuda. Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Prai dan kemudian belajar sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam.
Melukis sejak muda lagi. Selepas tamat SPM pada tahun 1978, dia bekerja di United Books Company, sebuah syarikat yang agak dikenali ketika itu di Pulau Pinang. Imuda pernah bekerja di kilang gula di Perai.
Sewaktu majalah Gila-Gila mula meledak di pasaran pada tahun 1978, Imuda turut melukis dan kartun mula tersiar sejak keluaran kedua Gila-Gila. Kemudian dia bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sebagai pembantu pelukis. Semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Imuda mula terlibat dalam bidang lakonan, bermula dengan teater. Pada hujung 1983, Imuda telah ditawarkan watak sebagai Budin dalam pementasan Syy… yang ditulis oleh Dr Hatta Azad Khan. Selain dari berlakon dalam Drama Swasta di RTM pada tahun 1984, dia juga berhijrah ke TV3 dengan judul Kampung Seri Wangi, dan kemudiannya Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Kalau sebelum ini Imuda hanya dikenali di kalangan penggemar-penggemar kartun sahaja, dengan sitcom tersebut beliau mula popular ke seluruh negara. Malah orang ramai lebih mengenalinya sebagai Budin sahaja daripada Imuda.
Tahun 1989, Hafsham menghasilkan sitcom 2 + 1. Imuda memegang watak sebagai Sam, seorang lelaki lembut. Kerana mendapat keritikan, siri tersebut hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, berbanding dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu selama 14 tahun.
Dalam pada itu, Imuda terus menerima tawaran berlakon untuk filem, antaranya Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat ), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir. Sehingga kini Imuda masih lagi aktif sebagai pelukis dan pelakon, di samping aktiviti-aktiviti seni yang lain.

Tahun 1992 juga, menyaksikan Imuda mendapat anugerah sebagai Pelakon Pembantu Terbaik dan kemudiannya Pelakon Komedi Popular pada tahun 1993. Dan pada tahun 1993 juga, Imuda meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka selepas berkhidmat selama 15 tahun, untuk menumpukan perhatian dalam bidang lakonan.
Di samping itu, beliau terus melukis kartun, samada di rumah ataupun di masa-masa terluang.

Hingga sekarang saya panggil dia Rahim. Dulu masa remaja pun saya panggil dia dengan nama ni. Masa saya aktif dengan persatuan KUDRAT, Seberang Perai, Imuda cuba nak bercampur dengan kami terutamanya bila kami buat teater, tapi dia tak berminat kerana dia lebih suka melukis. Masa remaja dia pendiam, dia selalu ikut abangnya NoorMuda. Masa tu Imuda baik dengan adik saya kartunis juga, Yusof M. Hashim atau dikenali dengan panggilan Pak Kojek.

Penghujung tahun 80an bila saya terbitkan Telemovie untuk Tv3 berjodol 'Debu Debu Tanjung' tulisan Azizi Hj. Abdullah dan arahan Omar Rojik, kami beri tawaran kepada Imuda bawakan watak penarik beca. Saya pernah beri tawaran kat Imuda untuk merakamkan album dalam tahun 1990 tapi tak jadi kerana kesibukan Imuda. Akhirnya saya berikan tawaran kat Maidin dan Piee terbitkan album Hijau Kuning bersama M. Shariff dalam tahun 1991.
Masa Imuda di zaman bujang, dia pernah bersembang dengan saya dan adik saya Yusof dari jam 8 malam hingga ke 7 pagi di tepi pagar rumah tanpa henti sambil menampar nyamuk. Begitulah kami kalau bersembang memang susah nak berhenti.
Perhubungan saya dengan Imuda tetap berterusan. Saya pergi KL telefon dia, dan kalau dia datang ke Pulau Pinang dia pula telefon dan jumpa saya. Saya juga membantu Imuda dalam urusan perkahwinan kedua setelah isterinya yang pertama berpisah dan meninggal dunia. Imuda guna alamat rumah saya sekarang dan saya uruskan berjumpa pejabat Agama, kad pengenalan, jawatankuasa masjid di Jalan Baru, Prai. Akhirnya dia telah melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang dengan selamatnya.
Imuda dan kami berjiwa sama, minat benda-benda dan makanan lama yang susah jumpa. Hampir dua tahun saya cari buah binjai kerana dia teringin nak makan tapi entah kenapa tak jumpa jumpa. Bila dah jumpa, dia dah hilang keinginan nak makan buah binjai tu.
Kami sentiasa main sms bertukar tukar pantun. Kalau tak jumpa, tentu bercakap di telefon. Kadang-kadang kalau dia rajin sebelum balik ke Kuala Lumpur bila ada di Pulau Pinang dia jenguk saya kat ABC One Corner Taman Pauh, Bukit Mertajam. Selepas bersembang panjang, barulah dia balik ke KL.

Jumaat, Oktober 07, 2011

Saloma Yang Ku Kenal



Bukan saja P. Ramlee, Saloma juga tiada pengantinya hingga ke hari ini. Mendengarkan kembali lagu-lagu nyanyiannya saya dapati lain dari yang lain. Saloma tetap Saloma. Keunikan suaranya memang tersendiri.

Di Penghujung tahun 70an saya pernah beberapa kali telefon dia di rumah. Ketika itu P. Ramlee telah meninggal dunia. Saya cari nombor telefon di buku panduan telefon atas nama Salmah binti Ismail. Masa tu Saloma hanya boleh dihubungi di waktu petang kerana menurutnya dia kerap tidur sebelah pagi.

Saloma mula kenalkan saya dengan abang seibu P. Ramlee iaitu Syeikh Ali bin Syeikh Mohammad. Kata Saloma kepada saya, kalau nak tanya lebih lanjut mengenai rumah P. Ramlee di Pulau Pinang, tanyalah
Syeikh Ali. Sebab rumah itu adalah rumah Syeikh Ali.

Dia berikan saya nombor telefon sebuah restoran Cina namanya Kedai Ah Lek di Chow Kit, Kuala Lumpur. Kata Saloma, telefon waktu petang di nombor yang diberikannya dan saya tentu boleh bercakap dengan Syeikh Ali. Menurutnya Syeikh Ali sentiasa ada di kedai itu (di depannya restoran dan di belakangnya tempat bermain mahjong.

Bila Saloma datang ke Pulau Pinang kerana ada undangan persembahan, saya segera bawa kamera untuk berjumpa dengannya. Hasilnya inilah tulisan saya yang pernah disiarkan di Halaman Hiburan akhbar Berita Minggu pada Ahad 9 Mei 1976.

Saloma tidak sombong orangnya, dia melayan soalan-soalan dan perbualan dengan saya dengan baik. Begitu juga apabila bercakap di telefon dia bercakap dengan tenang sahaja.

Bakat Saloma telah berputik ketika beliau berusia 13 tahun lagi, waktu itu beliau masih bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Gelam, Singapura. Saloma mula mengasah bakat seninya apabila berpeluang membuat persembahan bersama Kumpulan 'The Singapore Boy" di New World Cabret, nyanyian pertama beliau ialah " Seven Lovely Days".

Pada tahun 1954, dalam usia 19 tahun, Saloma ditawarkan merakamkan lagu dengan syarikat piring hitam HMV dengan lagu " Pandang Kasih" ciptaan En.Rahmat Ali telah menjulang nama saloma ke mercu kejayaan.

Berita kematian Saloma pada 25hb April 1983 dalam usia 48 tahun kerana penyakit kuning telah mengejutkan saya dan seluruh peminatnya.

Selasa, Oktober 04, 2011

De Westerlies dan De Latinos Juara Kugiran


Pertandingan pemuzik berkumpulan (band) terbitan RTM telah diterbitkan sekitar tahun 70-an menerusi pertandingan Juara Kugiran. Selama hampir empat tahun pertandingan ini diterbitkan, RTM berjaya melahirkan kumpulan-kumpulan berbakat pada masa itu seperti Kumpulan Titiwangsa, De Westerlies, The Rezas, The Breeze, The Burglars, The Zurah, Suara Kilat, Teruna Ria dan The Wanderes.

Dalam tahun 70an, Ada dua band atau kumpulan yang menjadi kebanggaan saya sebagai anak Pulau Pinang. Yang saya maksudkan ialah Kumpulan De Westerlies dan De Latinos. Westerlies dari Butterworth dan Latinos pula dari Pulau Pinang.
Gambar: Z. Mohammad semasa berkunjung ke rumah saya nombor 5 dari kiri (sebelah saya) iaitu vokalis De Latinos yang dikenali juga dengan nama Zain Mohammad.

Juara Kugiran RTM tahun ke empat ialah De Westerlies menekala tempat kedua di pertandingan yang sama dimenangi oleh kumpulan De Latinos. De Westerlies dengan penyanyinya M. Johari telah menghangatkan suasana dengan lagunya 'Gembala Lembu' dan Z. Mohammad dari De Latinos pula dengan lagu 'Goreng Pisang' dibawah pimpinan pak wan chik.
Z. Mohammad bersama saya (terbaru) Disember 2011


Sekarang ini Z. Mohammad tinggal di Simpang Ampat, Seberang Perai dan M. Johari mungkin berada di Kuala Lumpur (saya hanya bertemu dengan anaknya sahaja baru-baru ini Julia Johari).
Z. Mohammad juga terkenal dengan lagunya Kelapa Muda, Nasi Kandar, Harapan Ayah Dan Ibu, Keperwiraan dan banyak lagi. M. Johari pula dengan lagu Lanca dan lain lain lagi.

Akhirnya kerana terlalu minat, saya dah jadi kawan dengan kedua dua penyanyi ini tapi di penghujung tahun 80an. M. Johari dan Z. Mohammad pernah berkunjung ke rumah saya masa itu di Taman Bunga Raya, Jalan Baru, Perai, Seberang Perai.

JUARA KUGIRAN 1 - THE ZED - Kuala Lumpur - Azean Irdawaty
JUARA KUGIRAN TAHUN KE 2 - BAND TITIWANGSA - Batu Pahat , - DPP Tengku Idham , ,penyanyinya Mike Ibrahim - Chok Chok Kendong.
JUARA KUGIRAN TAHUN KE 3 - THE BURGLAS dari Perlis.