Ahad, Disember 25, 2011

Perkahwinan Asnurrani dan Nur Auni Anak Anak Saya



 Akhirnya setelah bertunang hampir setahun, anak-anak saya Asnurrani dan Nur Auni telah di akad nikahkan pada malam 9 Disember 2011 bertempat di Masjid Jalan Baru Perai jam 10.00 malam oleh saya sendiri diuruskan oleh Kadi Ustaz Hasnol.

Majlis yang meriah ini telah dilangsungkan dengan meriahnya menyambut tetamu rombongan ke dua dua pengantin dari Perak.





Hari kenduri pula telah berlangsung pada 10 Disember 2011 bertempat di Kompleks Sony, Seberang Jaya, Seberang Perai bermula dari jam 12 tengahari hingga 5 petang.

Alhamdullilah cuaca sepanjang majlis berlangsung, panas dan terang. Mulai jam 11.30 pagi tetamu dah mula sampai dan semakin ramai lebih kurang mulai jam 12.30 pagi. Kemuncak ialah pada jam 2 petang iaitu perarakan pengantin masuk untuk acara pertandingan diiringi oleh kumpulan Kompang Gema Permata dan ahli ahli boria serta kawan rakan dan saudara mara.

Upacara bersanding dan adat merenjis dilangsungkan selepas itu oleh keluarga dari kedua-dua belah pihak. Penyanyi Afee U-Topia dan pelawak Imuda dan isterinya juga turut serta dalam upacara merenjis itu.




 Omar Hashim dan Azizah Osman, kedua ibu bapa pengantin turut meraikan kedatangan para tetamu dari jauh dan dekat. Alhamdullilah, kedatangan jemputan sungguh ramai dan menjadikan majlis menjadi lebih meriah.

Mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua saudara mara, adik beradik, kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan semua tetamu yang sudi memeriahkan majlis kami ini. Segala kekurangan salah dan silap, harap dimaafkan.





 Di majlis akad nikah, rakan-rakan penerbit dari unit pengambaran Astro Salih Yaccob Show I Follow juga turut hadir yang diketuai oleh Raja Faisol.

Kumpulan Boria dan Kompang Gema Permata dari Bandar Perda, Bukit Mertajam dibawah pimpinan Mustaffa Ishak telah mempersembahkan dua buah boria. Pertama boria masa keempat empat pengantin Makan Beradab dan kedua selepas selesai semua upacara persandingan.







 

1.

Meriahnya suasana, di hari ini
Dua pengantin, disambut kini
Anak Omara, Asnurrani dan Auni
Gema Permata, berboria di sini


2.
Kelvin dan Hafizal, si anak teruna
Bersama pasangan, di singgah sana
Di hari bahagia, penuh bermakna
Tetamu jemputan, meriahkan suasana

3.
Adik dan kakak, pengantin baru
Bersama pasangan, serbanya biru
Cuba tengok, janganlah keliru
Ramai tetamu, di setiap penjuru

4.
Setelah cinta, erat bersemi
Di akad nikah, secara rasmi
Kini menjadi, isteri dan suami
Terimalah ucapan, dan doa kami
5.
Tuan dan Puan, semua peringkat
Kawan rakan, jauh dan dekat
Saudara mara, suku dan sakat
Jemputlah makan, semoga berkat
  
6.
Aneka makanan, sudah terhidang
Untuk tetamu, dijemput diundang
Jangan hanya, sekadar pandang
Sambil dengar, boria didendang

7.
Omar dan Azizah, suami isteri
Sambut tetamu, yang tiba kemari
Dengan ceria, senyum berseri
Di hari bahagia, raikan kenduri

8.
Raja sehari, selamat bertahta
Wajah berseri, dipandang mata
Doa dipohon, hajat dipinta
Bahagia berkasih, mekarnya cinta

9.
Selamat berbahagia, pengantin budiman
Direstui keluarga, rakan dan teman
Berkasih sayang, mesra dan aman
Kekal abadi, sepanjang zaman
10.
Warisan kita, seninya indah
Persembahan boria , berakhir sudah
Salah dan silap, ampun ditadah
Gema Permata, tamat bermadah


 Karangan Boria
oleh Omar Hashim (Omara)



 Acara acara persembahan yang dikendalikan oleh Komposer dan pemuzik Zulkipli Omar (Anggota Galapagos) berjalan secara santai.

Kumpulan Ghazal Parti gabungan daripada tokoh dan pemain ghazal parti Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas dan Fajar Irama Ghazal Parti Nibong Tebal telah memulakan persembahan dengan beberapa buah lagu.

Lain-lain artis yang turut berikan sumbangan ialah penyanyi rock yang tidak asing lagi Afee U-Topia yang datang bersama isteri dan anak-anaknya turut mendendangkan lagu 'Maya Percintaan' yang popular di tahun 90an dulu hingga kini.

Penyanyi Siti Fairuz yang datang bersama suaminya Mahmud Samad turut menyumbangkan lagunya yang tidak asing lagi Bila Rindu KuSebut Namamu.

Dato' L. Ramlie juga telah mendendangkan beberapa buah lagu, antaranya ialah Dara Pujaanku, Joget Baju Kurung dan Siapa Bilang Abang Tak Sayang.


Penyanyi 70an dari Kumpulan Latinos Z. Mohammad juga turut mendendangkan beberapa buah lagu termasuk lagu popularnya Kelapa Muda.

Penyanyi Shidee Data juga menyumbangkan beberapa buah lagu pupularnya yang tidak asing lagi.

Penyanyi tempatan Zalifah Mahmud juga berduet beberapa buah lagu disamping vokalis kumpulan Mutiara yang popular sekitar tahun 90an iaitu Halim Mutiara.

Pelawak Imuda menyampaikan sebuah lagu P. Ramlee iaitu Entah Di Mana.

Komposer Abbas Bakar yang datang dari Kuala Lumpur bersama isterinya turut menyumbangkan suara disamping Komposer Din As-Salam dan juga Jibran Khalil dengan beberapa buah lagu hindi.


Ketua dan pemuzik Orkes Teruna Ria Dato' Basir Ahmad juga datang meraikan majlis perkahwinan ini. Juga penyanyi tempatan Shahidan Mustaffa dan penyanyi OTD Rahmat Mustaffa. Juga penyanyi Norlida dan beberapa orang lagi yang saya tak sempat sebutkan di sini.

Pengarah filem/telemovie/dokumentari Sdra Khalid Sulaiman juga turut datang dari Kuala Lumpur untuk bersama di majlis kenduri ini. Disamping rakan pelakon Sharifah Juairiah dan penulis skrip Arzaman Sulaiman.

Jurugambar video juga rakan seni kita yang tidak asing lagi Zam. Jurugambar PakWan dan pakar Lagu-lagu Sdra Ismail Hashim.

Rabu, November 23, 2011

Kumpulan Sketsa Boria Mamu Tanjung Pulau Pinang

 Kumpulan Sketsa Boria Mamu Tanjung ditubuhkan sejak tahun 2005 di Pulau Pinang. Terdiri dari Yusof Hashim (Chop), Sharifah Juairiah (Sharifah), Abu Bakar Kassim (Bakar Panjang / Mamu Bakar) dan Omar Hashim (Omara).

Rabu, November 16, 2011

Amsyar dan Haziqah di Hari Graduasi dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan 2011

Hari Graduasi dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan 2011 Tadika Tahfiz Fitrah & Tadika Comel Bestari bertempat di Dewan Serbaguna Taman Pauh Jaya, Seberang Perai pada 12 November 2011 (Sabtu).

Cucu saya, Muhammad Amsyar dan anak saudara Haziqah masing-masing terlibat dalam menerima hadiah dan hadiah kecemerlangan tahun 2011.

Keluarga datang beramai-ramai berikan sokongan. Tahniah kepada Amsyar dan Haziqah.

Rabu, November 09, 2011

Bersama Halim Lead Vocals Mutiara

 Rakan seni dari Butterworth, Sdra Halim iaitu penyanyi utama Kumpulan MUTIARA. Lagunya 'Mutiara' yang diterbitkan oleh Rosli Selasih tetap menyengat hingga ke hari ini walaupun telah berlalu lebih kurang 20 tahun yang lalu.

Halim yang bertugas di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) seringkali saya berjumpa di majlis-majlis dan acara-acara yang diadakan di sini. Halim juga terlibat dalam Kumpulan Nasyid di Jabatannya.
 Nama Album - Mutiara. Kumpulan - Mutiara dan lagunya yang popular pun Mutiara. Sesuai sekali kerana kumpulan ini berasal dari Pulau Mutiara juga.


Terbitan Sinar Music Production
Penerbit: Rosli Selasih
Juru Rakam: Eng/ Uncle Teh
Susunan Muzik : Rosli Selasih
Pengurus Artis: Tahir Othman
Penaja Pakaian: Din's Collection
Makeup: Nur Yusnita

Lagu2 dan lirik oleh: Sen, Rosli selasih, Haider Mutiara, Bad Mutiara
Anum Sari, MZ, Wan Dib, Nizam, & Aizam

Lirik Lagu Mutiara

Berulang kenyataan kuberi

Tapi kau masih tidak mengerti
Perasaanku ini
Adakah kau memahami

Langkah hiba telah kuutuskan

Berjalan di setiap andaian

Sepi mengajar kita

Memahami bahasa cinta


Dalam bersahaja

Kau coretkan madah

Yang terindah

Dalam terpesona seraut wajahmu


Keunggulan dan kesucianmu bagai mutiara

Dan terus memancar
Di hatiku

Puisi cinta yang kian lama

Memancar indah serta bercahaya

Telah kucuba tapi tak berdaya
Hendak kulupa teringat semula
Seraut wajah

Ahad, November 06, 2011

Salam Aidil Adha 1432 Hijrah

Semoga rakan-rakan blog Di Sepanjang Riwayat Ku ini diberkati Allah sihat sejahtera dan aman sentosa disamping merayakan Aidil Adha yang mulia ini bersama keluarga.

Rabu, November 02, 2011

Kenangan di Sekolah Dato' Onn Butterworth 1967 - 1971

Persatuan Agama Islam atau ringkasannya BADAI (Badan Dakwah Agama Islam Sekolah Dato' Onn)
 1967 hingga 1971 bersekolah menengah di Sekolah Dato' Onn Bagan Ajam Butterworth. 1967 Tingkatan 1, guru kelas Cikgu Bibi Azizah. Tingkatan 2 Cikgu Kassim. Tingkatan 3 Cikgu Abdullah Abdul Rahman. Tingkatan 4 dan 5.... (buat masa ni tak ingat).

Tingkatan 4 dan 5 jadi pengawas. Kena pakai tali leher dan seluar panjang warna putih. Aktif dalam penulisan, tahun 1971 masa tingkatan 5 hantar lebih 100 sajak untuk diterbitkan dalam Majalah Sekolah, 10% daripadanya mendapat tempat dan disiarkan.


 Masa tingkatan 5 juga mula hantar karya-karya kepada  penerbitan luar dan pernah tersiar. Antaranya 2 buah sajak tulisan saya disiarkan dan dideklamasikan di Tv RTM dalam rancangan Majalah Tv. Selain itu pernah juga mendapat tempat di akhbar Utusan Pelajar.

Pernah terlibat dalam boria sekolah. Main alat muzik 'tamborin' dalam kumpulan boria sekolah. Pernah menang peringkat Negeri Pulau Pinang.

Antara nama-nama guru besar dan guru yang masih saya ingat hingga sekarang ialah; Abu Hassan Abdul Rahman, Mustaffa Mahmud, Ali, Abdullah Abdul Rahman, Md. Noor Ayub, Ghazali, Shuib, Zaharah, Zarina, Sri Nusa Ahmad, Kassim, Rahim, Lee Ah Bah, Noordin, Bibi Azizah serta sukarelawan Indonesia Sunardi dan Harijono dan sukarelawan Amerika Gene Coleman (kalau tak silap ejaannya) dan ramai lagi yang terlupa nama mereka.

Baru baru ini pada 5 September 2011, saya temui semula rakan sekelas melalui Facebook iaitu Shaari Bahit yang bertugas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kami berdua pergi semula ke Sekolah Dato' Onn bersama anaknya Farid dan bergambar di tepi sebatang pokok yang membawa kenangan kepada kami berdua semasa menunggu kereta sewa pulang dari sekolah setiap hari. Alhamdullilah, pokok ini masih ada lagi hingga waktu kami menemuinya semula setelah 37 tahun lalu.

Sedang buat praktikal Sains Kimia dibawah pimpinan Cikgu Sunardi dari Indonesia di makmal. Saya kat belakang (sedang tunduk).

Jumaat, Oktober 28, 2011

Pertunjukkan Pentas Sekitar 70an di Pulau Pinang

M. Shariff sedang menyanyi diiringi oleh Orkes Teruna Ria
pimpinan Basir Ahmad di Dewan Sri Pinang, P. Pinang
Azean Irdawaty diiringi Penari Penari Saadiah Ahmad Daud. Band SJ Band.
Lokasi persembahan di Padang BMRC Bukit Mertajam.
Pertengahan hingga ke penghujung tahun 70an, saya rakamkan gambar-gambar pertunjukan pentas artis-artis tanahair yang dilangsungkan di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ketika ini, persembahan pentas sering mendapat sambutan ramai walaupun dikenakan tiket dan berbayar.
Penganjur pula menyediakan barisan artis yang ramai untuk satu-satu pertunjukan. Ketika itu bayaran untuk artis murah dan hasil dari pertunjukkan, penganjur boleh mendapat pulangan wang yang agak baik dan menguntungkan.
Saya pernah bawakan persembahan Sharifah Aini (sekarang Datuk Sharifah Aini) dan Sudirman di Padang BMRC Bukit Mertajam ketika itu. Bayaran untuk Sharifah Aini dan Sudirman, masing-masing seorang RM1,200 sahaja. Bayaran band atau kugiran pengiring cuma RM300 ke RM400.


Dahlan Zainuddin sedang menyanyi diiringi Penari Penari Saadiah Ahmad Daud di Bukit Mertajam.
Di belakang pentas Dewan Sri Pinang P. Pinang. Dari kiri - Hariffuddin Kamaruddin, Yusof Hashim, M. Shariff, A. Razak dan Saloma.
Antara artikel/Berita Hiburan tulisan saya di akhbar mengenai pertunjukkan pentas di Utara dalam tahun 70an.
A.R. Badul sedang menyanyi diiringi Orkes Teruna Ria. Basir Ahmad bermain gitar utama.
Dari kiri - A. Ali, L. Ramli, Ahmadi Hassan, Ahmad Daud, Shahidan Mustaffa dan Yusof Hashim
Di atas ini antara gambar-gambar yang sempat saya ambil masa persembahan dan di belakang pentas, juga keratan akhbar berita-berita hiburan tulisan saya mengenai persembahan pentas tersebut.