Isnin, Ogos 22, 2011

Rakan Seperjuanganku Azizi Hj. Abdullah meninggal dunia






Pagi 21 Ogos 2011 saya terima telefon dari sahabat saya Arzaman Sulaiman beritahu rakan seperjuangan saya dibidang penulisan Sdra Azizi Hj. Abdullah telah meninggal dunia. Saya cuba mengesahkan berita tersebut dengan menantunya Jibran Khalil melalui telefon. Setelah tulis sedikit catatan di Facebook, saya dengan adik saya Yusof Hashim bergegas pergi ke rumah arwah di Taman Bersatu, Kulim Kedah untuk menziarahi jenazahnya.

Ramai kawan-kawan penulis dah sampai awal. Ada juga yang sampai kemudian. Saya dan Yusof ada di sepanjang waktu sehingga jenazahnya dibawa keluar untuk disemadikan di masjid yang berdekatan.

Kami dah kenal lama dengan Ustaz Azizi, sasterawan dan penulis yang tidak asing lagi ini sejak dari akhbar Bintang Timur. Saya juga terlibat membuat 'layout' dan menyusun beberapa buku dan novel yang dikeluarkan oleh Azizi. Azizi juga pernah minta saya semak ejaan dan apa apa yang tertinggal dalam beberapa buah bukunya sedikit masa dulu.

Antaranya saya terlibat dalam novel SURIATI yang dicetak semula. Selain itu buku buku politik tulisan Azizi.

Kali terakhir Azizi telefon saya beberapa bulan lalu sebelum arwah masuk ke Hospital. Dia suruh saya menulis untuk akhbar Utusan Pengguna P. Pinang dimana dia menjadi editornya. Saya mengaku, tapi malangnya saya tak berbuat apa apa lagi. Sebelum tu ada dua tiga artikel yang saya tulis dalam Utusan Pengguna tidak lama dulu.

Arwah juga pernah mengajak saya mengikutnya ke Baling, Kedah menyampaikan zakat dan bantuan kepada fakir miskin tidak lama dulu.

Disamping itu arwah juga ada menulis skrip dari cerita asal adik saya Yusof untuk dijadikan skrip Telemovie RTM dan TV3 keluaran saya dalam tahun 1988 dan 1989 iaitu Debu Debu Tanjung dan Menebus Maruah.

Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan ketika berkawan dengannya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.

FAKTA: Penulis & novelis terkenal Azizi Hj Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi 21 Ogos 2011. Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan. Allahyarham menjani pembedahan jantung pada bulan April yang lalu dan mengalami sedikit masalah berkaitan buah pinggang dan berada di hospital sehingga kematian beliau.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Tema penulisan Azizi berintikan agama dan rohani telah mengukir nama sebagai penulis yang berpengaruh di Malaysia. Antara karya beliau yg terkenal ialah "Seorang Tua Di kaki Gunung" yang diangkat menjadi drama TV. Banyak novel dan cerpen karya Allahyarham mendapat pengiktirafan, antaranya Anugerah SEA Write Award (1988) dari Thailand.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cekal dalam perjuangan Islam dan adalah antara aktivis yang gigih dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisannya.

Blog Allahyarham http://aziziabdullah.blogspot.com/ kali terakhir dikemaskini pada 15 April 2011 semasa Allahyarham hendak menjalani pembedahan jantung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan