Jumaat, Mei 29, 2009

Datuk Aziz Sattar Pulih. Muncul Di Klasik Nasional



Alhamdullilah! Seniman Datuk Aziz Sattar sudah sihat dan petang tadi 29hb. Mei 2009 beliau telah berada di Konti Klasik Nasional Kuala Lumpur kerana menjayakan rancangan khas mengenai hari ulang tahun pemergian Tan Sri P. Ramlee. Dalam temubual di rancangan tersebut Datuk telah menceritakan kenangannya bersama Tan Sri P. Ramlee terutamanya di saat-saat akhir pemergian Seniman Agung itu.

Saya gembira dan bersyukur kerana kesihatannya telah kembali pulih. Kami doakan semoga Datuk diberkati Allah dalam sihat sejahtera. Menurut Datuk Aziz Sattar, sahabatnya Seniman S. Shamsuddin kini terpaksa berulang alik ke Hospital kerana tidak berapa sihat.

Gambar ini diambil semasa saya berkunjung ke rumahnya di Shah Alam dalam tahun 2003 selepas beliau sembuh dari sakit.

Isnin, Mei 25, 2009

Mari Kita Doakan Kesihatan Datuk Aziz Sattar Pulih


"...Wslm, dh 2mnggu x sihat dmm ok x ok hr selasa lps msuk hsptl ampang putri n hr sabtu blk rmh sbb sakit perut,sy x beritau siapa2 sbb nk berihat..."

Inilah petikan SMS yang saya terima dari pelakon dan bintang filem yang tidak asing lagi Datuk Aziz Sattar pagi tadi (25 Mei 2009).

Saya faham, Datuk Aziz merahsiakan penyakitnya ini kerana hendak berehat disamping keluarganya. Apa yang dapat kita lakukan, hanyalah sama-sama berdoa kepada Allah semoga penyakit beliau kembali sembuh seperti sediakala.

Sebelum ini Datuk Aziz Sattar memang terlalu sebok dengan pengambaran, persembahan dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan terutamanya dikalangan rakan-rakan seperjuangannya. Beliau yang gemar memandu sendiri tidak pernah letih atau penat dan sanggup memandu terus dari Singapura ke Utara. Dia hanya berhenti solat dan makan sahaja di sepanjang lebuhraya.

Pernah tidak lama dahulu dia singgah di rumah saya di Seberang Perai mengajak saya ke Perlis Indera Kayangan kerana jemputan kenduri kahwin rakannya Pak Wan iaitu seorang pekerja dan pelakon ekstra filem Show Brothers dahulu. Gambar saya dan Datuk Aziz semasa bermalam di sebuah hotel di Perlis pada masa itu. Bila saya minta hendak membantunya memandu dia kata "tak apalah saya lebih suka memandu sendiri,"

Saya tanya, apakah petua beliau dapat memandu dengan baik tanpa rasa mengantuk? Jawabnya, dia banyak membaca surah Yassin di sepanjang perjalanan.

Khamis, Mei 21, 2009

Tahniah Arzaman Kerana Dilantik Sebagai Editorial Utara Online


Tahniah kepada sahabat saya Arzaman yang baru mendapat jawatan baru sebagai Editorial UO Utara Online . Arzaman adalah seorang penulis yang aktif suatu ketika dulu dan menjadi ahli 2PnP Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang. Beliau mula menulis pada pertengahan tahun 1986,  sehingga  dilantik oleh BACARIA menjadi wakil mereka di Pulau Pinang. Kemudian menyertai Utusan sebelum menyertai Harian Watan. Kemuncak kejayaannya di bidang ini apabila pihak UMNO pulau Pinang ketika dibawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad memberikan peluang menerbitkan buletin untuk UMNO Pulau Pinang dan selepas itu Bukit Mertajam.

Berkat kesungguhan dan kegigihan itu akhirnya Arzaman mendapat tawaran menjadi Pegawai Perhubungan Awam di Aseania Development Sdn. Bhd. Sebuah syarikat milik keluarga Datuk Kadir Sheikh Fadzir iaitu Datuk Musa Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam dan diuruskan oleh Datuk Omar Fauzaur Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor.

Kini Arzaman telah memiliki beberapa blognya sendiri. Antaranya - Nurzaman Online, Bicara Ummah, Warisan Melayu, Wartawan Rakyat, Misteri Cyberspace, Bomoh, Herba, Macang Bubok, Fikrah Muslim dan Citra Cinta.

Tahniah Arzaman! teruskan menulis. Saya tunggu novel yang dihasilkan tu disiapkan cepat!

Isnin, Mei 18, 2009

Salmah Ibrahim Isteri Nordin Ahmad Meninggal Dunia





Sabri Sidek (anak saudara kepada seniman Allahyarham Nordin Ahmad) yang tinggal di Sungai Dua, Butterworth telefon saya bertanyakan mengenai berita kematian ibu saudaranya Salmah Ibrahim. Keluarga Nordin Ahmad di Seberang Perai tidak tahu lebih lanjut melainkan setelah membaca sebuah artikel tulisan Adam Salleh dalam akhbar Harian Metro.

Untuk kepastian, pagi ini saya telah menghubungi Penulis lirik dan penerbit siri Tv terkenal Yusnor Ef yang sedang dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Kuala Lumpur. Beliau mengesahkan berita tersebut dan memberitahu Salmah Ibrahim telah meninggal kira-kira dua minggu lalu di Padang, Sumatera kerana sakit jantung.

“...Siapa tidak kenal Allahyarham Nordin Ahmad (1927-1971)? Ketokohannya dalam Sri Mersing, Lancang Kuning, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang mahupun Jebat menjadikannya aktor terhebat filem Melayu. Isterinya pula, Salmah Ibrahim cuma insan seni biasa; daripada penari hingga menjadi ‘chorus girls’, tetapi hasil perkahwinannya dengan Nordin, secara tidak langsung populariti Salmah turut bergemerlapan.

Sepanjang pembabitannya dalam filem Melayu sejak 1951, Salmah sempat membintangi 12 filem, antaranya Takdir Ilahi, Sedarah dan Juwita. Kebanyakan watak yang diserahkannya agak kasar seperti watak jahat, selebihnya penari saja, tidak seperti Allahyarham Normadiah dan Bobby Castello (ibu Tony Castello, bintang kanak-kanak dalam Anakku Sazali) yang bertindak sebagai guru tarian....”

Sidek Ahmad, adik kepada Allahyarham Nordin Ahmad dan keluarganya sedih kerana tidak diberitahu mengenai berita kematian kakak iparnya itu. Walaubagaimana pun mungkin mereka akan cuba juga menghubungi keluarga Allahyarham Salmah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Al-Fatihah.

Kanan bawah – gambar Sidek Ahmad (adik Nordin Ahmad) semasa ditemuramah dalam rancangan Bicara Lagenda, Astro terbitan Yusnof Ef. Saya membantu Yusnor Ef di sepanjang menjejaki keluarga Nordin Ahmad dan pengambaran yang dibuat di Sungai Dua, Butterworth tidak lama dulu.

Rabu, Mei 13, 2009

Tingkatan 4 Sains Sekolah Dato' Onn Butterworth 1970



Tahun 1970, saya dalam tingkatan 4 sains Sekolah Dato' Onn, Butterworth sebelum mengambil keputusan tukar ke tingkatan 5 ke aliran sastera pula.

Ketika membuat praktikal sains kimia di makmal sains sekolah kami.

MEJA 1 DARI KIRI – Rosni Othman, Siti Mariam Hj. Ahmad, Rohimi Saad, Jamaliah Ali dan .....

MEJA 2 DARI KIRI – R. Azmi Hassan, Mustaffa Harun, Nordin Othman dan Khalid Murad.

MEJA 3 DARI KIRI – Hasni Hashim, Abdullah Daud, Omar Hashim (Saya sendiri) dan yang berdiri ialah Cikgu Sunardi (Guru sukarelawan dari Indonesia).

MEJA BELAKANG – Ahmad Safki Ishak.

(Gambar ini pernah tersiar di akhbar Utusan Pelajar tahun 1970)

Jika ada antara kawan-kawan yang melihat gambar ini hubungilah saya di talian - 013 4220091 atau email - omara353535@hotmail.com

Rabu, Mei 06, 2009

Telah Menghasilkan 4 Buah Blog Rasmi Yang Aktif





Sehingga kini saya telah menghasilkan empat buat blog secara rasmi dan beberapa buah blog lagi masih dalam percubaan. Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah yang memberi tenaga, fikiran, dayausaha dan kebolehan kepada saya untuk terus berkarya dalam blog-blog ini. Saya juga sedang berusaha menerbitkan sebuah laman web (masih dalam pembinaan) dimana saya akan kumpulkan kesemua bahan-bahan dalam blog saya menjadikannya sebuah laman web.

Antara blog yang paling lama saya ialah -

Blog Warisan Boria - http://warisanboria.blogspot.com

Blog ini telah dilancarkan pada 18 Mac 2009 oleh: Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Satu-satunya blog mengenai seni warisan 'Boria' yang saya telah usahakan hampir tiga tahun yang lalu. Mendapat kunjungan dari dalam dan luar negara. Menjadi rujukan guru-guru dari seluruh Malaysia dan pelajar-pelajar IPT. 

Blog Di Sepanjang Riwayat Ku - http://mamutanjung.blogspot.com

Blog yang anda sedang layari sekarang ini. Walaupun baru hampir dua tahun ianya dilancarkan tapi jumlah pelawatnya agak tinggi setiap hari melebihi blog Warisan Boria. Saya kerap menerima email-email dan dihubungi oleh segenap lapisan masyarakat dari dalam dan luar negara. Maklum balas yang saya terima amatlah baik walaupun sebenarnya blog ini lebih menumpukan ke arah diri saya sendiri.

Blog Warisan Ghazal Parti - http://warisanghazalparti.blogspot.com

Baru setahun lebih dilancarkan. Oleh kerana seni persembahan Ghazal Parti juga berasal dari utara dan popular di Pulau Pinang, saya menghasilkankan juga blog ini untuk menjadi rujukan dan dilayari oleh peminat-peminat seni yang hampir pupus di negara kita. Kebetulan saya juga seorang peminat Ghazal Parti sejak dari zaman kanak-kanak dan banyak mengenali mereka-mereka yang terlibat. Blog ini saya tidak perbaharui selalu kerana kekurangan bahan.

Blog Wahai Melayu - http://wahaimelayu.blogspot.com/

Blog ini paling terbaru dilancarkan. Kandungannya masih kurang lagi, tapi saya menerima email-email yang menyokong penerbitannya. Sebagai orang Melayu, saya tersentuh bila melihat terdapat beberapa masalah yang berlaku kepada bangsa saya sendiri. Sekurang-kurangnya saya dapat suarakan pandangan dan pendapat saya dalam blog ini demi membaiki dan meningkatkan lagi Melayu dari segala segi.