MIMPI KE BINTANG TV2
Dokumentari Tv Kisaah Omara
Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya
Ke Pulau Pinang
Selasa, Jun 30, 2009
Berlakon Drama 'Hanya Untuk Jutawan' TV3
Sesekali saya berlakon juga drama tv, tapi peranannya tidaklah begitu besar. Dalam sebuah drama yang bertajuk 'Hanya Untuk Jutawan' arahan Majed Salleh saya telah diberi peranan sebagai seorang peguam. Drama lakonan Razak Ahmad, Shazleen Shahbi, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan ramai lagi ini telah disiarkan oleh TV3 pada tahun 90an dahulu, disiar di MEGA TV dan diulang sekali lagi di TV3 Mac 2008 tahun lepas. Terbitan SHEUNIK SDN. BHD.
Rakan-rakan saya dari Pulau Pinang yang turut berlakon ialah Pelawak Chik (Rosely Abdullah), Yusof M. Hashim (Pak Kojek) dan Penyanyi RockyDin. Pengambaran dibuat di sekitar Pulau Pinang, Seberang Perai dan juga Kuala Lumpur.
Pengambaran 'HANYA UNTUK JUTAWAN' ini mendapat kerjasama dari Dato Hj. Ahmad Ismail dari Popular Profile Sdn. Bhd, Prai, Seberang Perai.
Ahad, Jun 28, 2009
Album Terbitan OMARA 'Ok Ikut Sama
Hasil kerja seni saya berselerak. Kadang-kadang tanpa dicari, ia terjumpa. Bila dicari, tak dapat. Malam ni saya ketemu Sebuah lagi Album terbitan saya iaitu 'OK IKUT SAMA IRAMANYA MUQABALA' terbitan pertengahan tahun 90an. Masih banyak lagi album lama keluaran saya yang akan dipaparkan di sini satu demi satu nanti.
Urusan Penerbitan: OMAR M. HASHIM (OMARA)
Penerbit: HANIFFA RAZAK
Pen. Penerbit: ELANGO & VIJOY
Penyanyi: VIJOY & BEN G
Susunan Muzik: ELANGO, BOY RAJ, CHANDRAN, VICKY & VIJOY
Jururakam/Adunan Akhir: MARK & JINO
Studio: FAME STUDIO PENANG
Terbitan: OMAR M. HASHIM (OMARA)
Edaran: FANTASIA MUSIC CITY (FMC)
Lagu: Ok Ikut Sama, Bukakanlah Pintu Hatimu Laila, Deana, Belengu Cinta, Kukirimkan Salamku, Menuju Kemenangan, Cinta Bukan Hanya Ucapan, Cinta, Kasih Mengapa Membisu dan Duit Duit Duit.
Sebuah lagu lirik ditulis oleh saya sendiri dalam album ini ialah 'MENUJU KEMENANGAN' dari Filem Muthu. Album ini disampaikan dalam Bahasa Melayu tetapi lagu-lagunya dipetik dari beberapa buah Filem Tamil yang popular. Hingga kini Vijoy dan Ben G masih lagi menyanyi.
Sabtu, Jun 27, 2009
Percutian Ke Pulau Pangkor Rombongan Adik Beradik
Pada 6, 7 dan 8 Jun, saya mengikut rombongan keluarga yang terdiri dari keluarga sendiri dan juga keluarga adik-adik ipar bercuti di Pulau Pangkor, Perak. Enam keluarga kesemuanya, memang ramai. Percutian ini dirancang dan diatur oleh mereka, saya mengikut saja. Kami tinggal di Pangkor Indah Chalet.
28 orang kami ialah Azim, Asyadi, Norizah, Fazilah, Azizan, Fairol, Wani, Hasif, Afiq, Azizah, Irfan, Yusra, Marehan, Asnurrani, Auni, Fatin, Daniel, Asymawi, Hadifah, Azmi, Aiman, Haziqah, Amsyar, Hanis, Nan, Faezah, Azra dan Omar.
Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah. Semuanya berjalan seperti yang dirancang.
Khamis, Jun 25, 2009
Nyanyian Saloma Lebih KeMelayuan
Salmah binti Ismail Lahir di Pasir Panjang, Singapura. Itulah dia Saloma, biduanita yang tidak asing lagi. Menghayati lagu-lagunya kita terasa begitu memukau dengan kelainan dari penyanyi-penyanyi lain. Saloma dengan gaya dan lenggoknya yang tersendiri, memang sukar dicari ganti.
Saya mula kenal Saloma pada penghujung tahun 70an. Saya juga pernah bercakap dengannya mengenai rumah kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang yang hendak dirobohkan oleh tuan rumah Tok Bee. Salomalah yang memperkenalkan abang seibu P. Ramlee iaitu Sheikh Ali dengan saya di waktu yang sama.
Ada beberapa perkara dan kisah-kisah peribadi yang telah diceritakan oleh beberapa orang bintang filem dan rakan P. Ramlee kepada saya. Cerita diwaktu Saloma belum berkahwin dengan P. Ramlee dan selepas pasangan ini melangsungkan perkahwinan. Cerita suka duka kehidupan mereka. Begitu juga cerita dari Sheikh Ali dan Nasir P. Ramlee sendiri. Tapi bagi saya, biarlah cerita ini tidak dikongsikan kerana saya menghormati pesanan mereka yang telah menceritakannya.
Hingga hari ini saya masih kagum dengan Saloma. Kagum dengan diri, suara dan lagu-lagu dendangannya. Lagu-lagu Saloma penuh dengan ke'Melayuan', tidak seperti penyanyi-penyanyi yang gemar 'membaratkan' lagu-lagu nyanyian mereka.
Antara filem-filem lakonan Saloma: Bila Hati Telah Retak, Dr. Rushdi, Ahmad Albab, Gerimis, Keluarga 69, Sesudah Subuh, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Sabaruddin Tukang Kasut, Dajal Suci, Tiga Abdul, Ragam P. Ramlee, Labu Labi, Nasib Labu Labi, Seniman Bujang Lapok, Kaki Kuda dan paling awalnya ialah Filem Azimat.
Gambar: Saya sedang berbual dengan Saloma di Pulau Pinang dalam bulan April 1976 . Jurugambar: Yusof M. Hashim
Selasa, Jun 23, 2009
Karya Di Akhbar Utusan Pengguna Mengenai Lagu Rakyat
Saya menulis juga mengenai Lagu-Lagu Rakyat. Antaranya yang telah disiarkan di Akhbar Utusan Pengguna Pulau Pinang ialah 'Lagu Rakyat Yang Dilupakan'.
"......Sejak akhir-akhir ini lagu rakyat untuk kanak-kanak semakin dilupakan. Anak-anak kita lebih suka bermain 'game' di komputer ataupun di televisyen. Lagu-lagu Rakyat disifatkan 'lagu kampung'. Malu hendak nyanyikan. Ibu bapa pun tidak menggalakkan anak masing-masing menyanyikan lagu tradisi datuk nenek kita ini.
Gejala sosial dan kenakalan kanak-kanak sekarang ini, seperti merempit, mengganggu dan merosakkan kemudahan awam, tidak hormat orang yang lebih tua daripada mereka, melepak dan sebagainya sedikit sebanyak adalah dipengaruhi oleh jiwa mereka yang 'berkecamuk' semasa di zaman kanak-kanak. Pengaruh muzik masa kini yang agak kasar membuatkan mereka juga bertindak kasar dalam kehidupan sehari-hari........"
Terima kasih editornya Saudara Azizi Hj. Abdullah dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Ahad, Jun 21, 2009
Bapaku Terus DiKenang....
".....Allahyarham bapaku Hj. Hashim terus dikenang. Bukan kerana hari ini hari bapa, malah setiap hari dan selamanya. Telah kembali keRahmatullah tahun 2005 lalu, disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Memelihara kami sekeluarga dengan gaji (pendapatannya) RM90 sebulan sekitar tahun enampuluhan. Dia seorang yang gemar bergurau, bukan sahaja dengan rakan-rakannya malah dengan kami sekeluarga pun begitu. Hingga ketika dia terlantar sakit pun sesekali dia cuba bergurau. Setiap usaha kami anak-anaknya dia tak pernah halang.
Ketika dia sudah hidup senang selepas bersara dari Jabatan Telekom Malaysia tahun 80an, dia banyak menolong dan membantu orang. Tapi yang sedihnya, ketika dia terlantar sakit selama dua tahun di rumahnya, dia kesunyian. Mereka-mereka yang dia pernah tolong tidak melawatnya. Tapi bukan tujuan kita untuk mengungkit-ungkit perkara lama, yang berlalu biarlah berlalu. Menjadi pengajaran kepada yang masih hidup. Segala-galanya hanya takdir, Allah lagi Maha mengetahui....."
Label:
Bapaku Terus DiKenang....
Sabtu, Jun 20, 2009
Interview OMARA di Komuniti Bloggers Penang
Terima kasih kepada komuniti Bloggers Penang kerana menyiarkan temubual dengan saya di blog tersebut. Terima kasih Hadi (myfr3ak).
Kepada semua Bloggers di Pulau Pinang sila daftarkan blog anda di Komuniti Bloggers Penang kerana kita dapat berkongsi maklumat dan karya di sini.
Kepada rakan-rakan dari luar Pulau Pinang seringlah lawati blog-blog kami di sini. Kepada semua bloggers Pulau Pinang, saya ucapkan selamat menggunakan kemudahan alam siber ini dengan baik dan jayanya.
Kepada semua Bloggers di Pulau Pinang sila daftarkan blog anda di Komuniti Bloggers Penang kerana kita dapat berkongsi maklumat dan karya di sini.
Kepada rakan-rakan dari luar Pulau Pinang seringlah lawati blog-blog kami di sini. Kepada semua bloggers Pulau Pinang, saya ucapkan selamat menggunakan kemudahan alam siber ini dengan baik dan jayanya.
Jumaat, Jun 19, 2009
Debu Debu Tanjung Dalam Kenangan
Masih lagi dalam ingatan. Tahun 1988 ketika hendak menerbitkan drama tv 'DEBU DEBU TANJUNG' iaitu drama Tv pertama terbitan saya bersama-sama dengan Yusof (adik) dan Kamarul Ridzuan untuk siaran TV3, saya telah berbincang dengan pengarah dan pelakon filem Melayu yang tidak asing lagi iaitu seniman Omar Rojik ataupun nama sebenarnya Omar Ali.
Saya telah mengadakan sessi 'screen test' atau pemilihan pelakon di rumah saya ketika itu yang terletak di Taman Bunga Raya, Jalan Baru, Prai, Seberang Perai. Setelah diiklankan dalam akhbar dan pengumuman melalui radio, perkarangan rumah saya telah dibanjiri ramai bakat-bakat baru yang ingin turut mencuba nasib. Kami pilih sendiri dengan menggunakan rakaman video. Seorang pelakon berbangsa Cina yang kami cari-cari untuk menerajui watak utama sebagai 'Ah Joo' iaitu Teoh Eng Keat telah berjaya menunjukkan aksinya seperti yang dikehendaki.
Pelakon Imuda dan Erni Ismail dipilih memegang peranan watak pembantu. Lain-lain ialah Mahmud Samad, Ibrahim Taib, Yusof Hashim, Kamarul Ridzuan dan ramai lagi. Penulis skripnya ialah sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Pengambaran dibuat di sekitar Pulau Pinang, Seberang Perai dan Kuala Lumpur.
Gambar Kiri Atas: Yusof, Seniwati Norsiati, Seniman Omar Rojik dan Omar Hashim (saya) ketika sedang berbincang mengenai pengarahan drama Debu Debu Tanjung (1988).
Lain-lain: Gambar di lokasi pengambaran. Pembaca berita dan pengacara RTM Omar Ariff juga terlibat membantu pengambaran (ketika itu Omar Ariff belum lagi bertugas di RTM dan beliau adalah jiran saya di Taman Bunga Raya). Amin Khan selaku penolong pengarah drama yang menggunakan loghat Pulau Pinang ini.
Rabu, Jun 17, 2009
Terkenang Di Zaman Sideburns Di Pipi 1975
".....belek pi belek mai gambar-gambar lama ni... boleh tahan, hensem juga aku kot? (kata sendiri, orang tak kata pun). Gambar ni diambil dalam tahun 1975. Entah pasai apa pi simpan 'sideburns' pulak. Masa ni tak kahwin lagi. Tapi dengan perempuan tak berani... pemalulah konon....."
Sebenarnya masih banyak lagi gambar-gambar lama dalam simpanan saya. Satu persatu akan saya masukkan di sini sebagai tanda kenang-kenangan disamping perkembangan terbaru, semasa dan terkini.
Alhamdullilah, sehingga kini, saya berfikir dan bertindak dengan menggunakan akal dan pertimbangan sendiri. Saya berpegang kepada Qada' dan Qadar itu adalah penentuan dari Allah. Saya berusaha untuk kebaikkan dan seterusnya menyerahkan kehidupan ini kepadaNya. Jatuh bangun saya ditentukan oleh Allah jua yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya bersyukur dengan segala kurniaan Allah yang tidak ternilai semasa hayat saya masih ada ini. Sering saya berdoa ke arah kebaikkan dan kebahagian di dunia dan akhirat, hanya Allah yang lebih mengetahui. Alhamdullilah!
Ahad, Jun 14, 2009
Kumpulan GALAPAGOS Sedia Mengadakan Persembahan
Setelah lebih tiga tahun Kumpulan Nasi Kandar Papadom keudara di Radio Malaysia Mutiara FM Pulau Pinang akhirnya penerbitnya Yassier Yusof atau YY telah mewujudkan Kumpulan GALAPAGOS yang turut disertai oleh pelakon tetap siri komedi bermesej ini iaitu Chin, Chik, Pak Umaq dan Din. YY sebagai Chin yang gemar menyanyi, Rockydin sebagai Din pemain gitar, Rosely Abdullah sebagai Chik pemain bongo dan Omar M. Hashim (Omara) saya sendiri sebagai Pak Umaq tokeh kedai Nasi Kandar Papadom dan pemain marakas.
Kali pertama kumpulan ini berhadapan dengan khalayak ramai ialah di Malam Pertandingan Bintang Klasik Zon Utara 2009 yang telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Sri Malaysia Kepala Batas, Seberang Perai pada 12 Jun 2009 baru-baru ini. Kumpulan GALAPAGOS telah diberi kepercayaan mengendalikan acara malam tersebut yang juga disiarkan secara langsung ke stesyen-stesyen radio utara iaitu Langkawi FM, Perlis FM, Kedah FM, Mutiara FM, Perak FM dan Klasik Nasional. GALAPAGOS memperkenalkan peserta dan penyanyi undangan secara santai sambil menyanyi, bermain muzik dan berjenaka.
Sekarang ini Kumpulan GALAPAGOS sedang menyusun beberapa lagu baru untuk rakaman album pertama yang akan diterbitkan oleh pencipta/pengubah lagu terkenal di Utara iaitu Md. Din Haniffa. Mudah-mudahan penerbitan album ini akan menjadi kenyataan dan dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.
Kumpulan ini bersedia untuk diundang ke sebarang majlis dan persembahan. Kami boleh dihubungi melalui talian: 013-4220091 (Omara).
Khamis, Jun 11, 2009
Bertemu Kembali Guru Darjah 1 Saya Cikgu Md. Isa
Pagi ini 11hb. Jun 2009, saya singgah di sebuah kedai kopi bersebelahan Masjid Simpang Empat Bukit Tengah, Bukit Mertajam Seberang Perai untuk minum pagi. Kebetulan seorang lelaki yang agak lebih umur dari saya duduk betul-betul di hadapan saya (di meja yang sama) sambil meletakkan pinggan nasi yang baru diambilnya dan secawan kopi. Entah kenapa saya rasa macam pernah melihat wajah orang ini dan saya terus bertanya kepadanya; " Maaf... saya rasa macam pernah kenal, siapa nama?.....". "...Md. Isa...", jawabnya ringkas. "Cikgu Md. Isa? Bekas guru Sek. Keb. Bagan Tuan Kechil Butterwoth?", tanya saya lagi. Dia menggangguk. "Kalau begitu, cikgu ialah guru saya.", saya memulakan perbualan.
Ya, inilah pertemuan bersejarah bagi saya.
Ditakdirkan Allah saya diketemukan semula dengan guru pertama yang mengajar saja huruf A, B, C dan angka 1, 2 dan 3 dalam tahun 1961 ketika saya berumur 7 tahun dulu. Inilah dia guru yang saya cari-cari selama ini disamping beberapa orang lagi guru-guru sekolah rendah dan menengah yang pernah mengajar saya.
Namanya Cikgu Md. Isa bin Awang, kini berusia 75 tahun. Tinggal di Seberang Jaya, Seberang Perai. Cikgu Md. Isa masih lagi ingat diri saya tapi dia terlupa nama. Dia masih ingat arwah bapa saya dan dia ceritakan dengan lengkap pekerjaan bapa saya Md. Hashim sebagai kakitangan Telekom, bapa saya sering pakai songkok hitam dan kemana-mana dengan kayuh basikal. Saya beritahu bapa saya baru meninggal dunia kira-kira empat tahun yang lalu. Masa belajar dengan cikgu Md. Isa (1961), kami tidak pakai buku seperti sekarang ini tapi tulis guna 'papan batu'. Selepas tulis, padam dan tulis lain pula hanya pada satu alat. Tahun 1963 baru guna buku. Guru besar pada masa itu Cikgu Ismail Ngah Salam (baru meninggal dunia lebih kurang dua tahun yang lalu). Guru darjah 2 pula Cikgu Sulaiman, darjah 4 Cikgu Fatimah, Darjah 5 Cikgu Yahaya dan darjah 6 Cikgu Nordin Md. Nuri.
Saya masih ingat lagi peristiwa saya menangis di hari pertama persekolahan darjah satu sebaik sahaja melihat bapa saya ada di tepi tingkap sekolah. Saya nak balik, tapi Cikgu Mat Isa memujuk sambil menarik tangan saya. Banyak perkara yang kami ceritakan pagi ini. Saya ambil nombor telefonnya dan InsyaAllah jika panjang umur saya berhasrat ingin membawanya bertemu dengan beberapa orang kawan-kawan darjah satu tahun yang sama dan bergambar di sekolah asal kami yang mungkin belum dirobohkan lagi.
Takziah Kepada Rogayah Atas Pemergian Shukery Hashim
Lebih kurang pukul 10.00 pagi, saya terima SMS dari pelawak Imuda yang berbunyi "Shukri Hashim sdng nazak kat hukm". Saya segera telefon kakak Shukri iaitu Deejay Rogayah Hashim (Mutiara FM P. Pinang) yang kebetulan sedang berada di Kuala Lumpur. Rogayah tidak dapat bercakap panjang cuma dia beritahu saya adiknya Shukri sedang koma. Sepuluh minit selepas itu, saya terima sms kedua dari Imuda yang berbunyi "Al Fatihah. Sykri hashim dah kmbli k rhmtlah." Saya telefon Rogayah kembali untuk pengesahan, tapi panggilan saya tidak diangkat lagi.
Takziah dari saya kepada Rogayah Hashim (gambar kiri) dan seluruh keluarganya atas kehilangan seorang lagi insan seni tanahair. Allahyarham Shukery adalah salah seorang pelakon drama yang popular. Arwah selalu menunjukkan lakonannya yang hidup dan penuh penghayatan.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Shukery (gambar kanan) sudah menerima tiga anugerah yang diiktiraf sebagai terbaik dalam industri seni di Malaysia iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990; Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular 1994 (1995).
2009 | : | Shh...Dia Datang - (Supporting Actor) |
2003 | : | Janji Diana - (Extra) |
2001 | : | Seri Dewi Malam - (Supporting Actor) |
1992 | : | Syahadat - (Supporting Actor) |
1989 | : | Ujang - (Main Actor) |
1987 | : | Rahsia - (Main Actor) |
1987 | : | 7th Malaysian Film Festival - Best Actor |
Kali terakhir saya menemui Shukery semasa majlis kenduri kahwin anak Rogayah yang diadakan di Sungai Lokan, Sungai Dua, Seberang Perai tidak lama dulu. Ketika itu, saya bersama-sama dengan rakan-rakan iaitu Pelawak/pelakon Piee, Chik, Penyanyi RockyDin dan Allahyarham Deejay Dino.
Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas ruhnya. Amin.
Langgan:
Catatan (Atom)