MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Jumaat, Ogos 27, 2010

Omara Keluarkan Kembali Album Hijau Kuning Raya Sakan







Akhirnya atas permintaan ramai, saya terbitkan semula album-album tahun 90an saya dalam versi CD. Buat permulaan, album Hijau Kuning Raya Sakan dah siap saya cetak. Album yang diterbit dan dikeluarkan oleh Omara Production dalam tahun 1991 ini nyanyian M. Shariff, Piee dan Maidin.

Lagu-lagunya: Hatiku Kecewa , Duit Raya , Terkenang Semasa Lalu , Seronok , Seloka Kueh Raya dan Boria Hari Raya . Diselang selikan dengan sketsa-sketsa jenaka oleh M. Shariff, Piee, Maidin dan di akhirnya saya sendiri dan adik saya Yusof Hashim turut terlibat.

Album ini dirakamkan di Studio Channel II, Kuala Lumpur dalam tahun 1991. M. Shariff sebagai penerbit. Muzik oleh Zurah II dan pemuzik undangan Sugito dan perul. Rekabentuk grafik: Amir Awang dan Yusof M. Hashim.

Antara lagu yang paling digemari ramai dan popular dalam album ini ialah lagu 'Duit Raya' nyanyian Maidin dan M. Shariff. Irama lagu ini diambil dari Filem Andaaz iaitu Henna Bolo Bolo.

Saya gembira kerana setelah saya umumkan penerbitan ini dalam facebook saya http://www.facebook.com/profile.php?id=1309363950&v=wall&story_fbid=128717563841178#!/photo.php?pid=30837307&fbid=1364336871013&id=1309363950 ramai yang telah hubungi saya order cd ini kerana saya tidak edarkan di kedai kedai.

Kepada yang berminat ingin membelinya sila hubungi saya di talian : Omar Hashim Omara - 0134220091 atau boleh juga di email: omara353535@hotmail.com - Saya akan berikan nombor akaun, setelah wang dimasukkan saya akan hantar melalui pos laju atau pos ekspress.

SELAMAT MENDENGAR!

Khamis, Ogos 19, 2010

Rejab Had Raja Kartunis - Kehilangannya Dirasai








Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had. Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang. Allahyarham ada pertalian saudara dengan saya. Adik saya kartunis/pelawak Yusof M. Hashim ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Kojek banyak belajar dari Allahyarham.

Sesekali Pak Jab akan pulang ke kampungnya di Titi Timbul Permatang Pauh, Seberang Perai. Dia akan cari kami dan kawan-kawan kartunisnya di Pulau Pinang. Sembang-sembang. Kadang-kadang buat perjumpaan atau kursus melukis. Anehnya, dia gemar berjalan kaki ke sana kemari walaupun dalam perjalanan yang jauh. Kali terakhir berjumpa dengannya, dia pulang untuk menandatangani perjanjian dengan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dan perasmian Gelanggang RejabHad. Majlis bersejarah ini menyaksikan Allahyarham menurunkan tandatangan bersama TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ramai orang tidak tahu, siapakah pula guru atau orang yang banyak membimbing RejabHad? Saya pernah dibawa oleh arwah bertemu dengan Allahyarham RashidDin atau nama kartunis Pak Bai yang juga tinggal di Permatang Pauh. Itulah dia idolanya.

Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.. Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.. Dia mengakhiri hayatnya pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Di antara koleksi kartun Rejabhad yang popular dan diminati oleh pelbagai peringkat umur sehingga hari ini ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Perjuangan dan pergorbanan Raja Kartun Malaysia ini harus diteruskan oleh kartunis-kartunis masa kini sampai bila-bila dengan meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa.

Di akhir hayatnya dia pernah berpesan kepada adik saya Yusof supaya kerap menganjurkan bengkel-bengkel lukisan kartun di Utara. Dan ketika Yusof sedang mengadakan bengkel lukisan kartun di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas pada 14 November 2002, pelawak Imuda telefon Yusof beritahu kematian Pak Jab yang berusia 63 tahun ini.

Abangnya Cikgu Nuruddin Had dan adiknya Siraj Had masih ada lagi. Kasa Had telah meninggal dunia baru-baru ini. Bapanya Pak Had yang terkenal sebagai pawang menangkap buaya telah lama meninggal dunia. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh RejabHad dan keluarganya.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Ahli Jawatankuasa Pertandingan Lagu P. Ramlee 2010






Tahun ini (2010)saya menyertai Gabungan Persatuan Dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang dibawah pengerusinya Yg Bhg. Dato' Seri Haji Yussof Latiff. Banyak kegiatan-kegiatan kesenian yang telah diadakan. Antaranya saya juga menduduki Jawatankuasa Pengelola Peraduan Lagu-Lagu Kenangan Tan Sri Dr. P. Ramlee 2010.

Pertandingan Lagu-Lagu Nyanyian Tan Sri Dr. P. Ramlee peringkat akhir telah berlangsung di Auditorium Dewan Sri Pinang, Lebuh Light, Pulau Pinang pada 2 Ogos 2010 jam 8.00 malam. Antara tetamu Terhormat ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Lim Guan Eng.

Acara selingan oleh Seniman Negara YBhg Dato' Dr. Ahmad Nawab dan Musly Ramly. Enam orang peserta yang bertanding diiringi oleh Kombo RTM Pulau Pinang dan Dj YY RTM selaku pengacaranya.

Keputusannya hadiah sebanyak RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 telah dimenangi oleh:

3. Faizal Mohd. Hassan - Di Pinggiran / Ku Rindu Padamu (KETIGA)
2. Muhaimin Arzahan - Jangan Tinggal Daku / Tiada Kata Secantik Bahasa (KEDUA)
1. Sharnizam Arzahan - Tunggu Sekejap / Entah Di Mana (JOHAN)

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.