MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Sabtu, Mei 24, 2014

DI PUSARA ALLAHYARHAM DATUK AZIZ SATTAR

Foto ini diambil dua minggu sebelum Datuk Aziz Sattar meninggal dunia
Pagi itu  18 April 2014 kebetulan saya berada di Kuala Lumpur saya dapat panggilan telefon dari Datuk Aziz Sattar bertanya khabar. Saya beritahu yang saya sedang berada di Kuala Lumpur. Dia kata sepatutnya dia datang mengambil saya tapi dia baru keluar hospital Kajang kerana masih tidak berapa sihat lagi. Saya kata tak mengapa, biar saya sendiri yang pergi berjumpa dengannya di rumah anaknya Sandakiah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana.

Sampai di rumah Datuk Aziz sambut saya yang pergi dengan anak saya Muhammad Asymawi seperti biasa dengan senyuman. Kami duduk berbual sambil Sandakiah hidangkan air minuman dan kueh. Kami makan dan minum bersama. Seperti biasa Datuk Aziz akan bercakap hal-hal dunia artis, masyarakat dan sebagainya.

Saya tunjukkan satu video klip dari youtube mengenai orang luar negara (Inggeris) yang buat video lakonkan semula babak Bujang Lapok belajar ilmu dari Pendekar Mustar. Lakonan itu dalam bahasa Melayu. Datuk menonton sampai habis. Datuk juga cerita dalam Filem Bujang Lapok dialah yang mengajar P. Ramlee dan S. Shamsuddin menari sambil berjalan seperti dalam lagu Bujang Lapok dalam filem tersebut. Datuk Aziz kata ramai orang susah nak mengajuk tarian itu.

Datuk Aziz beritahu yang dia minta saya uruskan jemputan untuk Majlis Pelancaran Buku Riwayat hidupnya yang akan dibuat di Pulau Pinang hujung bulan Jun 2014 depan. Dia beritahu nama-nama kawannya antaranya ialah Datuk L. Ramlie, Datuk Seri Yusof Latif dari Pemenang, Pak Wan dari Perlis (pelakon yang jadi polis dalam filem Penarik Beca). Yang lain-lain tu datuk suruh saya pilih sendiri nanti. Selepas berbual panjang saya minta diri untuk balik dulu dan Datuk Aziz minta anaknya Sandakiah menghantar kami balik ke Kuala Lumpur. Saya tidak sangka rupanya kami bersalaman kali terakhir walaupun di wajah Datuk tidak ada sebarang tanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya. Sampai di pintu pagar saya pandang balik ke rumah dan kelihatan Datuk Aziz memandang saya sambil tersenyum.
 Rupanya pada jam 2 pagi 6hb. Mei 2014 kira-kira dua minggu lebih selepas itu Datuk Aziz Sattar telah diberitakan meninggal dunia di Hospital Kajang kerana sakit jantung. Inilah pusara Allahyarham Datuk Aziz Sattar yang meninggalkan kenangan kepada saya selamanya. Al-Fatihah. - Omar Hashim (OMARA) P. Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan