MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Rabu, Januari 14, 2009

Tahun 2001 Di Bukit Merah Lake Town Resort Dengan Artis-Artis 60an



Tahun 2001

Tiga hari saya bersama-sama dengan artis-artis 60an bermalam di Bukit Merah Laketown Resort Malaysia untuk persembahan khas Irama 60an. 

Gambar Kanan - Di Pulau Orang Utan, Artis-artis - A. Halim, L. Ramlie, Tan Sri Datuk Hj. Mustapha Kamal bin Hj. Abu Bakar (Tuan Punya EMKAY), Jefri Din, Pelawak Chick, Rocky Din, Pelawak Yusof (Pak Kojek) dan Maidin Ibrahim.

Turut serta ialah - Pengacara Aziz Desa, Penyanyi S. Jibeng, Kumpulan XPDC dan beberapa orang artis lagi.

Pada sebelah paginya kami telah dibawa melawat ke seluruh Tasik Bukit Merah dan menaiki bot khas bersama-sama dengan Tan Sri sarapan pagi di Pulau Orang Utan.

Tan Sri menghadiahkan cermin mata kepada S. Jibeng dan turut bermain gitar dalam sebuah lagu berirama 60an disaksikan pengunjung-pengunjung yang sedang mandi di sebuah kolam di situ.

Foto Oleh - Omar M. Hashim (OMARA)

Rakan Lama Penyanyi Chandra Rakesh



Tahun 1976. Sekitar tahun 1975 hingga 1980an saya berkawan dengan seorang penyanyi hindustani Malaysia iaitu Chandra Rakesh atau Chander Rakesh. Ketika itu beliau kerap muncul di Tv1 dan Tv2 RTM dalam rancangan-rancangan hiburan. Chandra Rakesh juga pernah merakamkan album lagu-lagu hindustan di Malaysia dan kerap membuat persembahan pentas dengan Zainuddin Nordin dan Shahrul Bariah penerbit Hiburan RTM ketika itu.

Chandra Rakesh juga telah menghadiahkan kepada saya sekeping gambarnya bersama dengan penyanyi Hindustan dari India yang tidak asing lagi iaitu Biduan Mohamed Rafi atau Mohd. Rafee.

Saya tidak tahu dimana Chandra Rakesh berada sekarang. Pada masa dahulu dia pernah bertugas di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dan saya pernah menemuinya.

Rumah Asal Di Kampung Tok Panjang Bukit Mertajam


Inilah rumah asal keluarga saya yang terletak di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Di sinilah saya dibesarkan hingga berusia 5 tahun dan kemudian berpindah ke rumah di Jalan Kelab (Kini - Jalan Datuk Hj. Ahmad Said), Butterworth pada tahun 1959.

Pada tahun 1968 kami sekeluarga berpindah semula ke rumah ini. Gambar ini - rumah asal telah diubahsuai dan berbentuk baru di tapak asalnya.

Jumaat, Januari 09, 2009

1976 Bersama M. Shariff dan A.R. Badul

Gambar Kanan -
Harifuddin Kamaruddin, Chop, M. Shariff dan saya.
Gambar ini diambil dalam tahun 1976.

Gambar Kiri - Tahun yang sama. Di tengah ialah pelawak A.R. Badul.

Album Hijau Kuning Keluaran Pertama OMARA

Album ini dijadikan CD dari album Hijau Kuning terbitan 1991. Hijau Kuning Koleksi 1 - mengandungi 15 buah lagu. Hijau Kuning Koleksi 2 - mengandungi 16 buah lagu. 20 buah lagu-lagu dalam kedua-dua album ini ialah terbitan saya sendiri dan bakinya terbitan M. Shariff.

Pengeluar: Omar M. Hashim (Omara)
Penyanyi: M. Shariff, Maidin dan Piee
Muzik: The Zurah II
Studio: Channel Eleven, K. Lumpur
Pemuzik undangan: Sugito
Edaran: Vokal Music Production

Gambar kiri - Dalam studio semasa berehat dari rakaman. Dari kiri - Othman (pencipta lagu), Piee, Omara, Yusof M.Hashim (Chop) dan Maidin Ibrahim.

Rakaman 10 lagu mengambil masa dua minggu. Album diedarkan dalam tahun 1991. Jualan sebenar mencecah 200,000 unit, tapi sebagai pengeluar saya telah ditipu dengan edaran dan cetakan tanpa izin dan pengetahuan saya. Ceritanya panjang... tak boleh diceritakan di sini. Jualan ditangan saya lebih kurang 40,000 unit sahaja.

Dengar Lagu UNTUKMU HIJAU KUNING

Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang Rasmikan Rumah

Gambar Kanan - Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang Tun Tan Sri Datuk (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Tahir memberi kunci rumah kepada saya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah, HAMNA, Lorong Tenggiri, Seberang Jaya pada tahun 1990. Di sebelah YDP ialah 
Tun Dato' Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas yang kini menggantikannya sebagai Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang 2001 hingga sekarang.
Gambar Kiri - Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang ketika merasmikan rumah
saya (rumah contoh) di Lorong Tenggiri 5, Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang pada hari yang sama.

Khamis, Januari 08, 2009

Keluarga Di Tahun 1985

Keluarga saya di tahun 1985. Tinggal di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ketika ini bekerja di Stesyen Pantai, Telekom Malaysia Kuala Muda, Seberang Perai.

 

Berlakon Dan Membantu Lokasi Pengambaran Drama TV Satria 200 Purnama


1987

Membantu Lokasi Pengambaran Drama SATRIA 200 PURNAMA Pengarah - Zulkifli M. Osman dan Zainal TJ. Terbitan: Teletrade. Arahan: Zulkifli M. Osman dan Zainal TJ. Pelakon utama: Hussein Abu Hassan, Azizah Zahari Majid dan M. Osman.

Turut berlakon: Zulkifli Untak, Osman Harun, Yusof M. Hashim, Kamarul Ridzwan, Sham, Omar M. Hashim dan beberapa pelakon dari Pulau Pinang.
Pengambaran dibuat di Juru, Permatang Pasir, Seberang Perai, Batu Feringhi Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor.

Saya turut berlakon watak tambahan dalam drama tv terbitan tahun 1987 yang telah disiarkan di RTM pada tahun yang sama ini.







Di Pusara P. Ramlee Bersama Keluarganya

Di Pusara P. Ramlee, Jalan Ampang, K. Lumpur. Tahun 1984 - Dari kiri: Sheikh Ali Sheikh Muhammad (abang seibu P. Ramlee), Mazlan Ahmad (pelakon tambahan filem Melayu), Nasir P. Ramlee (anak tunggal P. Ramlee), Normah Kamaruddin (bekas kekasih P. Ramlee - bapanya Master Kamaruddin ialah guru muzik P. Ramlee di P. Pinang), Seniwati Norizan (isteri ke dua P. Ramlee) dan Omar Hashim (saya sendiri).
Catitan - Sekarang (2009), dalam gambar di kanan ini hanya saya seorang yang masih hidup. Nasir, Norizan, Norma Kamaruddin, Sheikh Ali dan Mazlan Ahmad telah kembali ke Rahmatullah.
Semoga Allah cucuri rahmatNya ke atas ruh mereka. Amin.

Rabu, Januari 07, 2009

Kenangan Kereta-Kereta Saya...


Kereta pertama saya - Mazda 1000. Dibeli dalam tahun 1975. Harga baru pada masa itu tak sampai RM10,000. Plat no. PT6290. Foto di kanan - Bapa saya, Md. Hashim sedang beraksi di tepi kereta.

Kereta kedua - Mazda 323 Plat no. PAB9815. Beli tahun 1978. Fairul Azwan (adik ipar) dan Muhammad Asyadi (anak) duduk di hadapan kereta.

Kereta ketiga saya - Proton Saga 1300cc. Beli tahun 1985 (ketika mula-mula keluar kereta Malaysia Proton). Harga baru tak sampai RM20,000 pada masa itu. Plat No. PBE5995. Foto kiri - Anak sulung saya Muhammad Asyadi sedang beraksi di tepi ketika pulang dari sekolah.

Kereta ke empat - Isuzu Trooper 1800cc. Beli tahun 1988. Plat no. BBW7887. Di atasnya anak saya Asyadi dan Asnurrani.

Kereta ke ??? (tak ingat) - Proton Saga WBK6526. Di hadapan, anak saudara Pian, anak saya Auni, Asnurrani, (Azizah) isteri dan Asyadi (anak).

Jumlah kereta yang dibeli setakat ini hampir 30 buah. Gambar-gambar lain entah ke mana, masih dok cari.......




































Isnin, Januari 05, 2009

Pengambaran Seni Warisan Melayu Untuk RTM1

Menguruskan rakaman Seni Warisan Melayu untuk siaran RTM1 dalam tahun 2008 di Pulau Pinang.

Pengambaran diadakan di sekitar Rumah Kelahiran P. Ramlee, di Perkarangan Kompleks Pustaka Warisan Seni, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang dan di Pantai Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Pengacara - Syaiful Bahrim (KLFM)

Pasca Penerbitan - Wayang Tinggi Produksi Sdn. Bhd.







Foto Kiri - Klip persembahan Seni Warisan Melayu lagu Enjit Enjit Semut.

Foto Kanan - Omara sedang bercakap mengenai lagu rakyat Enjit Enjit Semut dalam Seni Warisan Melayu di RTM1.



Isnin, Disember 29, 2008

Pengambaran DVD Dendang Si Manja 2 Untuk Dewan Bahasa Dan Pustaka


Mengurus dan mengarah penerbitan DVD Dendang Si Manja 2 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Pengambaran di kawasan rumah kelahiran seniman agung Tan Sri P. Ramlee di Pulau Pinang. Lagu: Berbudi Dan Berjasa

Sabtu, Disember 27, 2008

MENYUSUN DAN REKABENTUK BUKU DIDIK GEMILANG


Saya bersama dengan anak (Asnurrani) kami menyusun, rekabentuk dan layout Buku DIDIK GEMILANG Generasi Terbilang hasil karya Nurdin Kayat.

Buku terbitan 2008 Penerbitan NY Darul Hani, Kupang, Kedah Darul Aman ini bertujuan membantu ibu bapa, guru dan pengurus sekolah enjana modal insan cemerlang. Tebal - 113 muka surat.

DIDIK GEMILANG ditulis oleh Nurdinkayat setelah buku pertamanya JEJAK CEMERLANG berjaya menawan hati pembaca.

Jika anda ingin mendapatkan buku ini sila hubungi Nurdin Kayat di talian - 013-4416104

Isnin, Disember 22, 2008

Menguruskan Pengambaran Pengacara Dokumentasi Boria DBP Di Pulau Pinang



























Menguruskan pengambaran pengacara dokumentasi 'Seni Persembahan Boria' terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka di beberapa lokasi di Pulau Pinang.





Antaranya di George Town, Muzium Islam, Kampung Juru, Butterworth
dan Waterfall, Pulau Pinang.













Foto bawah - bergambar bersama tuan rumah di Juru, Bukit Mertajam, Seberang Perai.










Khamis, Disember 18, 2008

SAHABAT SAYA, NASIR P. RAMLEE MENINGGAL DUNIA














Petang 17 Disember 2008, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari Mat Shah, Sungai Petani yang memberitahu dia menerima berita dari isteri Nasir, Nasir tenat di ICU, Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian saya diberitahu dengan berita yang menyedihkan, Nasir telah meninggal dunia.

"Betulkah?", tanya saya. Saya seperti tidak percaya kerana baru beberapa hari yang lalu Nasir ada menelefon saya memberitahu Seniman Datuk Aziz Sattar sakit. Saya telefon Datuk Aziz Sattar memberitahu berita yang menyedihkan ini. Kemudian saya juga telefon rakan-rakan artis yang lain.

Pada 21 November lalu, Nasir menemui saya di Kuala Lumpur kerana saya berada selama tiga hari menguruskan persembahan di Dataran Merdeka 'Majlis Penyerahan Watikah George Town Melaka Bandar Warisan Dunia'. Itulah pertemuan terakhir saya dengan Nasir. Dia ke bilik hotel saya bertanyakan beberapa perkara mengenai komputer riba yang dibawanya. Beberapa hari yang lalu juga Nasir ada menalifon saya bertanyakan cara-cara nak buka blog Warisan Boria saya.

Saya bersama-sama Yusof (adik) dan anak saya Muhammad Asymawi bergegas ke Kuala Lumpur pada pagi 18 Disember untuk menziarahi jenazah Allahyarham. Sayangnya kami hanya sempat ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang kira-kira pukul 11 pagi. Selain dari keluarganya, ramai juga rakan-rakan seniman yang turut hadir - antaranya ialah: Datuk Mustaffa Maaruf, Datuk Aziz Sattar, Datuk Yahaya Sulong, Tamimi, Datuk DJ Dave, Rahim Dalmia, Abon, Yusnor Ef, Kalam Hamidi, Hail Amir, Mimi Loma, Mariani, Lokman Ghani dan ramai lagi.

Saya siarkan di sini gambar-gambar di majlis pengkebumian dan juga gambar di Studio Su, Perai, Pulau Pinang semasa Allahyarham merakamkan album lagu-lagu P. Ramlee bulan November lepas.

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Rohnya.

Rabu, Disember 03, 2008

Nyonya Tan, Kenny Lee dan Omara

Bersama penyanyi lagu-lagu dondang sayang Nyonya Tan dan penyanyi yang mirip suara Sudirman iaitu Kenney Lee dari Melaka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22hb. November 2008. Nyonya Tan adalah antara 34 penggiat seni menerima pelbagai penghargaan sempena Anuegrah Kecapi Papuita 2006 iaitu dalam kagtegori Penyanyi Dondang Sayang.

Foto oleh: Yusof M. Hashim

Isnin, Disember 01, 2008

Pak Ku Shadat Tokoh Lagu Rakyat Utara Meninggal Dunia

TV9 dalam siaran Berita jam 8.00 malam turut menyiarkan berita Pak Ku Shadat meninggal dunia dan sedutan gambar terkini tokoh penglipur lara ini.
Al-Fatihah! Hari ini 1 Disember 2008, saya dimaklumkan oleh rakan dari Alor Star, Kedah DJ Chot dia mendengar hebahan radio Perlis FM berita kematian Pak Ku Shadat, seorang seniman lagu-lagu rakyat yang tidak asing lagi di Utara. Menurutnya, Pak Ku meninggal dunia pada sebelah pagi dan jenazahnya akan disemadikan di Padang Sera, Kedah, DarulAman.

Ku Nafiah Ku Aman atau lebih dikenali sebagai Pak Ku Shadat mengabdikan diri kepada bidang seni sebagai seorang penglipurlara, dan selokanya sama ada ketika mengadakan persembahan atau melayani tetamu amat menghiburkan.

Kehebatannya termasuk boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Siam, Jepun, Tamil, Cina dan Arab, telah membawa beliau membuat persembahan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Australia, Thailand dan Singapura.

Malah, Pak Ku Shadat, 88, pernah merakamkan album bertajuk Gendang Seloka Rakyat yang diterbitkan oleh syarikat Mutiara Records dan sehingga kini albumnya masih lagi kedengaran di kedai muzik dan di majlis kenduri kahwin. Antara lagu seloka yang popular yang dinyanyikan Pak Ku Shadat ialah Vespa Haji Samad, Proton Saga, Petani Moden dan Subsidi Baja.
Gambar ini diambil dalam tahun 2004 di rumah sewanya di tengah sawah Tambun Tulang, Perlis, ketika saya berusaha mencari Pak Ku Shadat yang sudah lama menghilangkan diri. Walaupun dipujuk beberapa kali hendak merakamkan persembahan Allahyarham dalam bentuk vcd, tapi Pak Ku tetap dengan pendiriannya hendak mengundurkan diri di bidang seninya kerana katanya dia kecil hati dengan beberapa orang yang menghina kebolehannya itu.
"Depa kata suara Pak Ku dah tak sedap lagi.. jangan menyanyi lagi...", keluhnya kecewa.

Khamis, November 27, 2008

Menguruskan Perarakan Kereta Berhias di Dataran Merdeka



Kiri - Keratan akhbar Harian Metro 28 November 2008 - menyiarkan berita dan gambar kereta berhias 'Makanan George Town' yang menunjukkan Fazli sedang melambung roti canainya.

Kanan - Keratan akhbar Utusan Malaysia Edisi Jawi 1 Disember 2008 - menyiarkan berita dan gambar kereta berhias 'George Town Perniagaan Dan Kraf Tradisi'. Kelihatan Elango dengan perniagaan rempah ratusnya.

Sempena Majlis Penyerahan Watikah Pengisytiharan Melaka Dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia pada 22 November 2008 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, saya telah diberi kepercayaan menguruskan Perarakan Kereta Berhias. Dua buah kereta berhias di bawah urusan saya ialah - 1. George Town Perniagaan Dan Kraf Tradisi. 2. George Town Gerai Makan.

Antara rakan saya yang turut bersama ialah - Elango, Arzaman, Fazli dan Aziz. Anak saya pula ialah - Muhammad Asyadi dan Asnurrani (sebagai pembeli).

Perarakan yang melalui pentas utama di Dataran Merdeka pada malam itu telah mendapat perhatian ramai terutamanya kereta yang membawa peniaga makanan kegemaran ramai di Pulau Pinang.

Foto oleh: Omar M. Hashim