MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Sabtu, Mei 05, 2012

Nasir P. Ramlee Yang Ku Kenal

Nasir semasa di rumah saya. Dari kiri pelakon Roslan Dayak, Yusof Hashim (adik saya), Nasir dan saya sendiri.
P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama lagi. Bapanya Daeng Harris pula ialah pelakon komedi dari Indonesia yang pernah membintangi filem-filem Melayu juga sebelum itu.
Nasir bersama keluarga bapa P. Ramlee, Nyak Putih di Loh Sumawe, Sumatera

Mohd Nasir ialah  anak kandung bersama Junaidah (1953-2008). P. Ramlee juga mempunyai ramai anak-anak angkat, antaranya Sazali : Anak angkat (lahir 1958), Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah), Norma : Anak tiri (anak Noorizan), Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel), Betty : Anak angkat, Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963), Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007), Salfarina @ Dian : Anak angkat .
Saya dari kiri, Nasir, Norizan (isteri P. Ramlee), Norma Kamaruddin (kekasih P. Ramlee), anak pelakon Idris Hashim, Syeikh Ali (abang P. Ramlee) dan Pak Mazlan (pelakon extra filem Melayu juga rakan baik Syeikh Ali di Pusara P. Ramlee.
Nasir dan Syeikh Ali di rumah asal kelahiran P. Ramlee

Seorang lagi anak Junaidah yang bernama Arfan : (1954-1998), ada yang mengatakan Arfan ialah anak P. Ramlee bersama Junaidah dan ada yang mengatakan tidak. Dulu saya pernah tanya Nasir sendiri mengenai Arfan dan katanya Arfan bukanlah anak kandung P. Ramlee. Beberapa orang rakan P. Ramlee juga memberitahu saya yang hanya Nasir seorang saja anak tunggal P. Ramlee. Paling terbaru 2 Mei 2012, saya bertanyakan sendiri Datuk Aziz Sattar mengenai anak-anak P. Ramlee dan dia memberitahu yang hanya Nasir seorang sajalah anak kandung P. Ramlee.

Nasir dan ibunya Junaidah
Saya kenal Nasir dalam tahun 80an, apabila penyanyi L. Ramli bawa Nasir datang ke rumah saya di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam (ketika itu) untuk menyampaikan derma Majlis Tahlil P. Ramlee dan Saloma yang persatuan saya KUDRAT Seberang Perai uruskan. Dari saat dan ketika itu saya mulai berkawan rapat dengan Nasir hinggalah di akhir hayatnya.

Saya pernah tidur di rumahnya (rumah asal P. Ramlee di Gombak) dan Nasir juga kerap tidur di rumah saya bila dia datang ke Pulau Pinang atau sebelah utara. Perhubungan kami amat karib dan Nasir sering menceritakan setiap masalah yang dihadapinya dan saya juga begitu dengan berterus terang. Sesekali ada juga kami berselisih pendapat dan pernah tidak bercakap atau berhubung selama setahun. Semuanya berpunca kerana Nasir suka merajuk. Aziz Sattar cuba hubungkan kami semula dan selepas itu kami terus berbaik-baik hinggalah di akhir hayat Nasir pada tahun 2008.

Nasir dan saya semasa pengambaran dokumentari DBP
Kali terakhir saya jumpa Nasir ialah sebulan sebelum dia meninggal dunia, dia datang berjumpa dengan saya di hotel masa saya uruskan Perarakan Kereta Berhias dan persembahan kebudayaan di Dataran Merdeka sempena Majlis Anugerah Watikah George Town Melaka sebagai bandar warisan dunia pada November 2008. Selepas itu kami hanya berhubung melalui telefon sahaja. Seminggu sebelum Nasir meninggal, dia telefon saya bertanyakan cara-cara nak cari blog saya ini. Banyak perkara mengenai blog dia ingin tahu dan cuba belajar dari saya melalui telefon.

 Sebelum itu Nasir telefon saya beritahu Aziz Sattar sakit. Saya terkejut dan segera telefon Aziz Sattar. Tapi anehnya, Aziz Sattar memberitahu Nasir sendirilah yang sedang sakit. Bila saya telefon semula bertanyakan Nasir, dia kata tak ada apa, dia sakit sikit saja.


Nasir bersama adik saya Yusof Hashim dalam satu persembahan pentas di Bukit Mertajam
Saya, Nasir, Ibrahim Pendek dan Kuswadinata di Chow Kit, Kuala Lumpur
Banyak perkara suka duka bersama Allahyarham Nasir. Mungkin saya akan ceritakan diwaktu yang lain. Dan ada juga cerita cerita yang tak dapat saya ceritakan kesemuanya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruh Nasir rakan baik saya ini. Saya dan adik saya Yusof Hashim berada di waktu pengkebumiannya di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan