MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Selasa, Mac 31, 2009

H.M. Beseri atau Haris Mat 15 Tahun di Perlis FM


Haris Mat atau lebih dikenali dengan panggilan H.M. Beseri memang tidak asing lagi di Perlis FM (RTM Perlis). Sebelum naik pangkat bertugas di pejabat, beliau terkenal sebagai Deejay radio yang gemar berjenaka dan berceloteh dengan pendengar. Pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari sahabat lama saya yang berasal dari Pulau Pinang ini. Sesekali memang kami berhubung, kalau dengar berita kematian atau rakan-rakan yang tidak sihat, kami sering memberi maklumat.


Haris 55 tahun, telah bertugas selama 15 tahun di RTM Perlis (kini sebagai Penyelia Siaran) Sebelum itu 3 tahun di RTM Kawasan Timur, Trengganu dan peringkat awalnya di RTM Pulau Pinang. Beliaulah yang mempopularkan rancangan 'Cha Habaq Mai Cha Habaq Pi' dan berjaya mengumpulkan ramai sahabat radio di Negeri Perlis dan sebahagian dari Kedah.

Nama Haris tidak dapat dipisahkan dari arena Muzik dan Seni Suara. Beliau rapat dengan Dato Mokhzani Ismail (Orkestra RTM), Dato Ahmad Nawab, S. Atan dan juga rakan sekolah Nasir P. Ramlee semasa di Pulau Pinang.

Bapa kepada tiga orang anak ini, walaupun terlibat sepenuh masa di bidang penyiaran dan muzik namun anak-anaknya berjaya di bidang pelajaran seperti engineer, pensyarah dan ijazah muzik.

Masa di Pulau Pinang, Haris menguruskan persembahan dan rakaman Ghazal Parti disamping persembahan-persembahan artis. Hingga sekarang beliau banyak menerbit dan mengurus persembahan hiburan di Perlis Indera Kayangan.

Saya hormati beliau sebagai seorang pakar rujuk dalam bidang 'entertainment' dan persembahan pentas. Beliau boleh dihubungi melalui telefon, Perlis FM atau Email: harismat@perlis.fm

Isnin, Mac 30, 2009

Di Akhir Hayat Seniman Ghazali Sumantri






Saya mula mengenali pelakon veteran Ghazali Sumantri ketika menziarahi di rumah kampungnya yang terletak di Bandar Baru, Kedah (tidak berapa jauh dengan Plaza Tol Bandar Baru Lebuhraya Utara Selatan. Saya pergi dengan adik saya Yusof, isterinya, penulis Abdullah Md. Noh dan wartawan Harian Metro Daut Noor dari Pulau Pinang. Selepas itu saya memberitahu seniman Aziz Sattar mengenai kesihatan Ghazali Sumantri. 
Aziz Sattar datang bersama-sama dengan Dato' Ismail Bin Hj Omar atau lebih dikenali sebagai Ismail Hutson. Saya pula pergi bersama-sama dengan wartawan Daut Noor dan pelakon/penyanyi Nasir P. Ramlee. Kami juga aturkan wartawan TV3 Pulau Pinang untuk merakamkan perjumpaan itu. 
Selepas itu saya sering menziarahi Allahyarham di rumahnya, Hospital Parit Buntar dan kali terakhir di Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai. Sesekali Aziz Sattar telefon dan mengajak saya pergi menziarahi Allahyarham. Berita kematiannya saya terima malam itu dari wartawan Daut Noor dan saya segera memberitahu Aziz Sattar di Kuala Lumpur.
Keesokkan harinya kami menunggu Aziz Sattar di Plaza Tol Bandar Baru dan bergegas ke rumah jenazah Ghazali Sumantri berada tidak jauh dari rumahnya di Bandar Baru. 
Petikan Berita Berita Harian dan Harian Metro-“GHAZALI SUMANTRI, 71 (1 Januari 2001) PELAKON veteran yang sering membawakan watak Sultan atau putera pada era 50-an meninggal dunia pada 1 Januari 2001, jam 8.30 malam disebabkan komplikasi beberapa penyakit termasuk angin ahmar dan lemah jantung. Beliau meninggal dunia pada usia 71 tahun. Beliau meninggalkan dua balu dan lima anak. Ketika hayatnya, Allahyarham atau nama sebenar Ghazali Ramli sering bergandingan dengan Tan Sri P Ramlee di layar perak termasuk menerusi filem Hang Jebat dan Nasib Do Re Mi. Beliau mula membabitkan diri sebagai anak wayang menerusi filem arahan BS Rajhan, Aladdin dan hingga kini lebih daripada 70 filem dijayakannya. Filem terakhirnya adalah Chul Street dan Balachi. 
Allahyarham menderita lebih tiga tahun akibat penyakit `ghaut' (radang sendi), meninggal dunia di rumah saudaranya di Bandar Baru, Kulim, Kedah selepas mendapat rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak dan Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai.” 
Antara Filem-Filem lakonannya: 
1986   :             Pagar-Pagar Cinta - (Supporting Actor)
1983   :             Mat Salleh Pahlawan Sabah - (Main Actor)
1966   :             Nasib Do Re Mi - (Supporting Actor)
1965   :             Ikan Emas - (Main Actor)
1965   :             Tiga Botak - (Supporting Actor)
1965   :             Cinta Kasih Sayang - (Main Actor)
1964   :             Kalung Kenangan - (Main Actor)
1963   :             Cempaka Biru - (Main Actor)
1962   :             Mata Syaitan - (Supporting Actor)

Sabtu, Mac 28, 2009

Idayu Berjaya Ke Peringkat Suku Akhir Bintang RTM 2009


Tahniah kepada Idayu dari Kulim Kedah atau nama sebenarnya ialah Nur Masidayu Mohd. Ibrahim kerana berjaya menyertai Bintang RTM 2009 peringkat Suku Akhir yang akan diadakan tidak lama lagi.

Saya pernah mengikuti persembahan Idayu dan pernah menguruskan persembahannya pada 1 Januari 2009 lalu di Bukit Mertajam. Idayu sering menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian di utara dan juga menyanyi di Kombo RTM Pulau Pinang.

Bapanya Ibrahim juga asalnya seorang pemuzik yang pernah menyertai Teruna Ria dibawah pimpinan Basir Ahmad suatu ketika dulu. Semoga Idayu berjaya! Untuk Mengundi IDAYU: Taip BRTM IDAYU dan hantarkan ke 32776.

Jumaat, Mac 27, 2009

Bintang Bintang Filem Melayu Di Rumah P. Ramlee


Tahun 2006. Seniman Aziz Sattar (ketika itu belum lagi menerima anugerah Datuk) telefon saya beritahu dia dan rakan-rakannya bintang filem melayu akan membuat lawatan ke Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang. Mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan Singapura. Dua hari sebelum itu saya telah menyambut kedatangan mereka di Plaza Tol Juru, Seberang Perai dan membawa ke hotel di Tanjung Bunga Pulau Pinang. Yang tidak bersama hanya Wahid Satay kerana beliau ada pertunjukan di Kulim, Kedah.

Dari kiri - Abu Bakar Kassim, Seniwati Zaitun, isteri Zaini Sattar, orang Medan Indonesia, saya, orang Medah Indonesia (maaf saya terlupa namanya), Penari Zaini Sattar (adik kepada Aziz Sattar), Suami Seniwati Zaitun, Aziz Sattar, Ning Yatimah, Yusof M. Hashim (di belakang) dan Seniwati Hashimah Yon.

Lihat gambar kiri - bezanya Zaitun dulu dengan Zaitun sekarang (bertudung merah)

Terima kasih saya kepada pasangan suami isteri dari Medan, Indonesia ini yang telah sudi menghadiahkan kepada saya gambar yang diambil dari kameranya ini.

Khamis, Mac 26, 2009

Hanya Satu Keluaran Majalah DEMI MASA Tahun 2005



Tahun 2005 saya terbitkan sendiri sebuah majalah khas untuk pelajar darjah 4,5 dan tingkatan 1 yang diberinama DEMIMASA. Saya dah dapat kelulusan KDN untuk terbitan dan edaran. Bersama rakan-rakan penulis yang juga guru, antaranya Ketua Editor - saya sendiri. Grafik/hias - Asnurrani Omar (anak). Kartunis - Pak Kojek. Wartawan/penulis - Drs Hj. Anwar Ahmad (Anuar Asmadi), Zainuddin Abdul B.A. (Hons.) UKM, Mohd. Idris Othman, Muniandy a/l Periasamy, Arzaman Sulaiman, Abdullah M.N. dan Omar M. Hashim.

Cetak pertama sebanyak 12,000 naskah. Mungkin tak menjadi rezeki, akhirnya saya mengalami kegagalan, majalah ini tidak mendapat sambutan di pasaran walaupun telah diedarkan ke seluruh Malaysia. Saya kerugian besar, tak apa... dah tak ada rezeki...

Kiri - Kulit Dalam Majalah DEMI MASA

Kanan - Kulit Luar Majalah DEMI MASA


Terkenang Zaman Naik Basikal



Dari umur 4 tahun (tahun 1958) dah naik basikal. Masa remaja (tahun 1970) pun berbasikal juga. Sekarang (dah usia 50an) tak berani naik basikal lagi, nak imbang badan pun belum tentu betul. Bila dibelek (lihat) gambar-gambar lama, rasanya teringin nak kembali ke zaman 'hitam putih' semula. Maklumlah ketika itu duit ibu bapa yang bagi. Tak ada tanggung jawab. Lagi satu.... rambut masih lebat (tak sangka sekarang jadi macam baru nak tumbuh pula), hee he heh... 

Mujurlah ada lagi gambar-gambar lama ni, sebenarnya ada banyak lagi dalam simpanan tapi tak bolehlah nak siarkan semua.... pelan-pelan....

Selasa, Mac 24, 2009

Joe Chelliah atau Johami Abdullah Nama Di Sebalik Roziah Latiff dan The Jayhawkers






Saya memang meminati nyanyian Roziah Latiff dan kumpulannya The Jayhawkers dari Negeri Sembilan semasa zaman remaja dulu. Kalau tak silap saya, Roziah dan The Jayhawkers pernah muncul dalam rancangan hiburan bersiri di Tv1 RTM ketika di zaman kegemilangannya dahulu iaitu sekitar di awal tahun 70an.

Kumpulan The Jayhawkers merupakan sebuah kugiran yang aktif pada era 1960-an/70-an. Ia pernah merakamkan lagu pada piring hitam dengan penyanyi utamanya Rodziah Latiff dibawah pimpinan Joe Chelliah yang juga seorang pencipta lagu.

Terima kasih kepada Joe Chelliah @ Johami Abdullah D.N.S., A.N.S., P.J.K. yang telah memberi kebenaran kepada saya menyiarkan gambar-gambar ini di laman ‘Di Sepanjang Riwayat Ku’ ini. Saya tak sangka menerima email dari beliau yang pernah menatap blog ini. Rupanya Joe Chelliah masih lagi aktif dan teringat saya akan lagu-lagu ciptaannya Nyanyian Roziah Latiff antaranya – Cinta Pertama, Oh Abang dan lain-lain lagi.

Sila klik laman blog Joe Chelliah - www.joechelliah.blogspot.com

Saksikan lagu Roziah Latiff  ciptaan Joe Chelliah CINTA PERTAMA

Isnin, Mac 23, 2009

Email Dari Hang Mokhtar Yang Disangka Meninggal Dunia



Abang Mokhtar yang meninggal bukan Hang Mokhtar

Petikan Email dari Penyanyi/pencipta lagu/pencipta lirik/penerbit album yang terkenal dengan lagu-lagu sindiran dan sinisnya iaitu Hang Mokhtar.

Terima Kasih Omar atas ingatan kamu

Hang Mokhtar
18 Mac 2009 23:47

Kepada: omarhashim91@gmail.com

Tak sangka begini jadinya memang menekan perasaan. Saudara mara dah standby untuk kebumian di kampung begitu juga sahabat andai. Ada yang minitiskan airmata setelah mengatahui aku masih hidup lagi. Sekarang baru ku tahu betapa sayangnya sahabat2ku terhadap diri ku termasuklah Cik Omak kita (terima kasih)begitu juga pengemar lagu2 ku mereka semuanya bersedih dan ucapan takziah dan sedekah al fatihah bertabur di emailku. (Sila pergi ke:-hangmokhtar48 di youtube search berlambak doa untuk "Arwah Hang MOkhtar"

Terima kasih sekali lagi Omar moga bertemu kembali..visit my you tube:

hangmokhtar48 ada 60 lagu cari di youtube video search.Salam omar take care...............

Ahad, Mac 22, 2009

Kisah Blog Warisan Boria Saya Mengikut Pandangan Sahabat Lama




Seronok tengok kisah saya sendiri dalam blog lain. Terima kasih Mail. 'Mail' tidak ada kena mengena dengan email, sebenarnya orang utara panggil sebutan begini kepada sesiapa yang namanya Ismail. Mail ialah sahabat lama saya Mohd. Ismail Ariffin (sila lihat gambar). Dulu hensem, sekarang hensem juga..... 

Gambar Kiri : Mohd. Ismail Ariffin sedang mendeklamasi puisi jenaka di Malam Rampai Seni anjuran Keluarga Kartunis RejabHad di Permatang Pauh tahun 70an dahulu.

Jumaat, Mac 20, 2009

Melawat Pelawak Yusof Chong di Hospital Seberang Jaya Petang Tadi 20 Mac 2009


Pelawak Yusof Chong atau Yusof Mat Said, 60, yang terkenal dengan kebolehannya meniru suara dan gaya menteri-menteri dan selebriti kini dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai sejak 19hb. Mac 2009 kerana penat. Tahun lalu beliau juga pernah dirawat kerana menghidap penyakit jantung, paru-paru berair, kencing manis dan buah pinggang. 

Saya bersama-sama rakan pelawak Chik bergegas ke Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah saya pada petang ini (20hb. Mac 2009).

Yusof yang ditemui di wad 5, mengadu dia sakit kepada kami. Dia menyuruh kami menjadi ahli Persatuan Karyawan kerana katanya persatuan ini dapat membantu ahli-ahlinya yang ditimpa sakit. Sekiranya dia sihat nanti, dia berjanji akan membantu kami mendaftar sebagai ahli dengan Karyawan.

Gambar: Yusof sedang meniru gaya penyanyi veteran Datuk S.M. Salim ketika menyampaikan lagu dalam satu persembahan majlis makan malam sebuah kilang.

Klik di sini untuk mengikuti lawak jenaka Yusof Chong. Tiru Samy Velu

Berita Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria Dalam Akhbar SINAR HARIAN






Berita mengenai boria dan Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria kelolaan saya telah disiarkan di akhbar SINAR HARIAN Edisi Utara keluaran hari ini (20 Mac 2009). Terima kasih Skuad Cakna - Siti Nadiah dan SINAR HARIAN.
Kisah penuh pelancaran laman blog ini boleh diikuti di BLOG WARISAN BORIA
Di bawah ialah sebahagian petikan dari lapuran akhbar tersebut-
JALAN P RAMLEE - Boria adalah salah satu ikon budaya seni warisan masyarakat Pulau Pinang yang didakwa hampir pupus, malah ia juga diibaratkan seperti kepupusan haiwan purba dinosaur. Ia diakui sendiri Ketua Kumpulan Boria Asli, Omar Hashim, 54, atau lebih dikenali penggiat boria sebagai Omara. Beliau mendakwa kepupusan boria akan menyebabkan pelbagai pihak sukar untuk mencari kembali penggiatnya seperti juga mencari tulang dinosaur untuk dicantumkan semula.


Menurutnya lagi, pada 1920an terdapat kira-kira 80 kumpulan boria di Pulau Pinang dan ia menjadi satu kemestian bagi setiap kampung mempunyai sebuah kumpulan boria. “Ia dianggap memalukan jika sebuah kampung tak ada kumpulan boria pada masa itu, namun menyedihkan apabila bilangan kumpulan boria ini semakin berkurangan dan sehingga tahun 2009 hanya terdapat empat sahaja kumpulan boria di Pulau Pinang yang kekal aktif,” kata Omara.

Antara kumpulan boria yang masih bergiat aktif ialah Kumpulan Boria Budayasari, Boria Kepala Batas, Boria Asli Pulau Pinang dan Boria Anak Tanjung dengan dianggotai kira-kira 30 ahli setiap kumpulan. Dakwaan Omara mengenai kepupusan seni budaya utama di Pulau Pinang ini semakin jelas apabila tiada penyertaan dalam Pertandingan Boria Pesta 2008 di Sungai Nibong, dan malangnya apabila pertandingan tersebut terpaksa dibatalkan. Kehilangan warisan budaya itu semakin jelas ketika majlis kenduri kahwin, persembahan boria yang satu ketika dahulu menjadi acara wajib sudah tiada lagi dimainkan ketika berlangsungnya majlis kenduri.

Isnin, Mac 16, 2009

Terbit Album RockyDin 1995

Album terbitan tahun 1995. Kulit belakang CD RockyDin.

Penyanyi: RockyDin.

Penerbit: M. Shariff.

Muzik: M. Shariff.

Pengeluar: OMARA (Omar M. Hashim Production, Seberang Jaya, Pulau Pinang).

Edaran: Sinar Muzik.

Lagu: 1. Jangan Pura-Pura. 2. Cintaku Cintamu (Ciptaan M. Shariff / Lirik Dr. Ibrahim Saad, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang). 3. Rozie Rozie (Lirik: Omar M. Hashim) 4. Melancong Ke Utara (Lirik Omar M. Hashim) 5. Maafkan sayangku (Lirik: Omar M. Hashim). 6. Malaysiaku Yang Permai. 7. Hanya Untukmu. 8. Ikan Todak. 9. Cincin Emas (Lirik: Omar M. Hashim). 10. Suratku Untukmu (Lirik: Omar M. Hashim). 

Kecoh... Sahabat Saya Penyanyi/Pencipta Lagu Hang Mokhtar Diberitakan Meninggal Tetapi Bukan...


Pagi ini saya mendapat berita rakan seperjuangan saya dalam seni Hang Mokhtar meninggal dunia. Penyanyi popular sekitar era 80-an, Hang Mokhtar (gambar) kononnya telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana serangan jantung awal pagi ini.

Saya SMS berita kematian ini kepada sahabat saya IMUDA di Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian Imuda memberitahu saya berita itu tidak betul. Hang Mokhtar masih hidup. Berita yang keluar dalam akhbar-akhbar Arus Perdana itu tersilap lapuran.

Hang Mokhtar juga terkenal dengan lagu Ayoyo Samy, Lobang Korek, Siapa Tak Sayang Bini, Joget Mak Datin dan banyak lagi lagu-lagu sindiran.



Kali terakhir saya bertemu beliau semasa persembahan Hari Raya Anak-Anak Pulau Pinang yang diadakan di Kuala Lumpur tahun 2007. Saya mula mengenalinya semasa membuat rakaman album UntukMu Hijau Kuning di Studio Channel Eleven, Kuala Lumpur tahun 1991. Ketika itu Hang Mokhtar baru selesai menghasilkan sebuah album penyanyi-penyanyi cacat penglihatan.

Alhamdullilah, panjang lagi umur sahabat saya ni. Kesilapan berita ini membuatkan nama beliau tiba-tiba meletup popular walaupun tanpa digossip.

Klik untuk dengar sebuah lagu Hang Mokhtar - Kocik Kocik Jaga Kobou

Ahad, Mac 15, 2009

Menguruskan Persembahan Sharifah Aini dan Sudirman Hujung 70an dan Awal 80an di Pulau Pinang




Saya pernah menguruskan persembahan Sharifah Aini dan Sudirman sekitar tahun 1978 hingga awal 80an di Pulau Pinang. Pernah dalam satu pertunjukan di Bukit Mertajam anjuran Persatuan KUDRAT Seberang Perai kebetulan hari tersebut jatuh pada hari raya aidil fitri (Pada masa itu tarikh hari raya tidak dapat dijangkakan seperti sekarang). Sharifah Aini dan Sudirman tiba bersama pengurus mereka dari EMI iaitu Azmi Muhammad (Allahyarham Azmi baru meninggal dunia dalam bulan Mac 2009 ini).

Paginya kami pergi ke rumah nenek kepada Sharifah Aini yang tinggal di Jalan Kampung Gajah, Butterworth. Adik lelaki Sharifah Aini iaitu Syed Tahir juga ada bersama-sama keluarganya. Saya ajak Sudirman dan Azmi Muhammad ke rumah saya di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam. (Ketika itu Sudirman belum ada album lagi, Allahyarham baru pulang dari Jepun dan baru memenangi Pertandingan Bintang RTM ). Selepas itu kami terus ke Padang BMRC Bukit Mertajam, Seberang Perai melihat tempat pertunjukkan.

Gambar Kiri - Saya bersama Sharifah Aini di Pulau Pinang dalam tahun 1979.

Khamis, Mac 12, 2009

Blog Hasil Usaha Saya Akan Dilancarkan 18 Mac




Saya tidak sabar menunggu tarikh 18 Mac 2009. Hari bersejarah bagi saya, Laman Blog saya Warisan Boria akan disempurnakan pelancarannya oleh Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Segala hasil usaha saya selama ini. Alhamdullilah menampakkan kejayaannya.

Majlis akan berlangsung jam 3.00 petang - 6.00 petang bertempat di Auditorium P. Ramlee, Taman Budaya Negeri, KPWS, Lintang P. Ramlee, Pulau Pinang.

Gambar Atas Kiri: Pengarah Seni Budaya dan Warisan Encik Siri Neng Buah

Ahad, Mac 08, 2009

Sebat Luncai Umumkan Festival Teater Malaysia 2009 Pulau Pinang


Saya terima Email dari sahabat saya 'Sebat Luncai' (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang). Saya perturunkan petikan emailnya untuk tatapan semua.

Salam'.
Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Festival Teater Malaysia 2009 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijangkakan akan berlangsung pada bulan Julai 2009. Tujuan FTM ini diadakan untuk memberi peluang kepada penggiat teater diperingkat negeri bertanding dan mempamerkan kemantapan persembahan serta bakat dalam seni pementasan. FTM pada kali ini melibatkan 3 kategori ; iaitu Kategori NGO/IPT, Kategori Kumpulan Kanak-Kanak dan Kategori Monolog. Tarikh tutup penyertaan pada 6 Mei 2009.
Sehubungan dengan itu, Persatuan/Agensi/Jabatan/Syarikat tuan dijemput untuk turut serta menyertai FTM 2009 pada tahun ini. Buku Peraturan dan Borang Penyertaan boleh didapati dilaman Blog seperti berikut :-
Penyertaan dan sokongan daripada tuan/puan dalam menjayakan program ini amat dihargai dan digalakkan.
Sekian.
"Teater Topeng Hidup"
TK.
sila hubungi:-
Hanizam Othman
+6013-6191239
+604-2817791/92

Sabtu, Mac 07, 2009

Pernah Hantar Lebih 100 Sajak Ke Majalah Sekolah



Sejak dari sekolah rendah lagi, saya memang mencintai Bahasa Melayu, bahasa ibunda kita. Semasa di sekolah menengah, saya masuk persatuan dan dilantik menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Dato' Onn, Butterworth (tahun 1970 dan 1971).

Semasa tingkatan 5, saya merayu kepada gurubesar ketika itu Cikgu Abu Hassan Abdul Rahman minta ditukarkan dari aliran sains semasa tingkatan 4 ke aliran sastera. Cikgu Abu Hassan cabar saya, katanya saya dah rugi setahun kerana hanya masuk kelas sastera semasa tingkatan 5, dia beri amaran saya jangan gagal dalam sastera.

Cikgu Abu Hassan sendiri masuk ke kelas kami mengajar sastera. Oleh kerana terlalu minat, saya tumpu betul-betul, baru peperiksaan penggal pertama saya dapat keputusan cemerlang dalam sastera mengatasi pelajar-pelajar lain. Alhamdullilah.

Ketika belajar, saya curi-curi menulis di buku lakaran pantun dan sajak. Akhirnya saya telah menggemparkan editor majalah sekolah kerana mengirimkan lebih 100 buah sajak karya saya untuk siaran majalah sekolah tahun 1971. Hanya 10 yang disiarkan kerana terpaksa beri peluang kepada pelajar-pelajar lain juga.

Di tahun yang sama, 2 buah sajak saya (yang dikirimkan kepada penerbit Rancangan Majalah Tv terbitan Abdul Aziz Abbas) telah disiarkan di rancangan Majalan Tv Tv1 RTM. 1. Berjodol - Mentari Dan Bumi (Mendapat ulasan sastrawan Usman Awang) dan 2. September 12 di Sungai Kerian. Bukan main seronoknya saya ketka itu.

Selepas itu semangat menulis membuak-buak, saya kirimkan sajak setiap minggu ke penerbit Radio Malaysia Ipoh - Norhayati Wahid - Karya Pujangga dan penerbit Radio Malaysia Pulau Pinang - Hashim Embi. Boleh dikatakan hampir setiap minggu karya saya disiarkan di radio ketika itu. Sesekali saya hantar karya ke Radio Malaysia Kuala Lumpur - penerbit Ariff Shah dan juga Radio Malaysia Melaka rancangan madah.

Sebelum itu karya-karya saya bertulisan tangan, bapa saya belikan sebuah mesyin taip beharga 90 ringgit secara ansuran. Lagi rajinlah saya menulis. Tak Boleh cerita sampai habis, nanti pembaca bosan. Lain kali saya cerita lagi.....

Gambar: Ketika menulis semasa di rumah Kampung Bukit Mertajam. Sebelah kiri gambar logo Sekolah Dato' Onn Butterworth.

Jumaat, Mac 06, 2009

Ketika Usia Saya 4 Tahun di Tahun 1958



Apabila lapang, saya selongkar (cari) gambar-gambar lama dalam simpanan. Yang mana dapat dulu, saya masukkan dulu dalam blog Di Sepanjang Riwayat Ku ini. Sekurang-kurangnya gambar lama ini tidak dilupakan begitu sahaja atau dibiarkan dimakan anai-anai. (Memang ada yang dimakan anai-anai dah pun).

Selongkar punya selongkar (maaf, guna bahasa orang utara) akhirnya dapatlah saya siarkan yang ini dulu.

Gambar Kiri - Ketika usia saya 4 tahun di tahun 1958. Kakak - Rogayah, Emak, Yusof (adik) dan saya. Lokasi di rumah asal kami Kg. Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. (sekarang rumah ni dah diubahsuai). Rasa-rasanya macam nak kembali ke zaman ini...

Gambar Kanan - Salmah (sepupu, kami panggil Kak Salmah), Yusof sedang didukung oleh Mak dan saya sebelah kanan (tak pakai baju)

Selasa, Mac 03, 2009

Berlawak Dengan Peserta Rajalawak 2 Astro Lee dan Tok Mo di Langkawi


Saya bersama-sama dengan Pelawak RajaLawak 2 - Lee dan Tok Mo mengadakan persembahan di Sebuah Majlis Makan Malam Kilang Simen, Langkawi. Bersama-sama kami ialah Deejay Langkawi FM iaitu Dj PKZ. 

Persembahan dalam bulan November 2008 ini menggabungkan kami bertiga menghiburkan penonton dengan jenaka dan 'game show'. Dua orang penyanyi kanak-kanak yang tidak asing lagi di Langkawi FM turut diundang membuat persembahan.

Foto: Kiri - Penyanyi Kanak-Kanak yang tidak asing lagi di Langkawi FM (maaf, terlupa nama)
Foto: Kanan - Omara, Lee, Tok Mo dan deejay ZAI HAMZAH OSMAN @ PKZ

Ahad, Mac 01, 2009

MALAM RAMPAI SENI 70AN ANJURAN KELUARGA REJABHAD


MALAM RAMPAI SENI DI TAHUN 70an (tak ingat tahun sebenar). Atas usaha Kartunis Rejab Had bersama keluarganya Nuruddin Had, Kasa Had, Siraj Had dan bapanya sendiri Pak Had (kami menggelarkan mereka Keluarga Had Sdn. Bhd.) telah menganjurkan acara ini bertempat di perkarangan rumah Pak Had di Kampung Titi Timbul, Bagan Serai, Permatang Pauh, Seberang Perai.

Baru-baru ini sahabat saya Mohd. Ismail Ariffin juga telah mengirimkan beberapa gambar di majlis ini. Terima kasih Mail. Kita cari balik kawan-kawan lama yang menghilang entah kemana. Jika ada sesiapa yang saya tidak sebutkan nama di bawah ini sila hubungi saya (maaf dah terlupa nama).

Ramai ahli-ahli seni utara yang hadir dan mengambil bahagian; antaranya yang saya masih ingat dalam gambar ini ialah -

Berdiri dari Kiri - 1. Nuruddin Had (pengacara). 2.? 3? 4? 5? 6? 7? 8. A. Norry Ahmy (Penulis Kerian). 9.? 10.? 11. Pena Mutiara (Penulis Perak). 12. SirajHad (Penyaer) 13. ? 14?
Duduk dari kiri - 1. Cikgu Bahar (Penggiat Budaya) 2.? 3. Mohd. Ismail Ariffin (Penulis Skrip), 4. Kasa Had (Pemain muzik) 5. Omar M. Hashim (saya sendiri). 6.? 7.? 8. RejabHad (Kartunis).