MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Jumaat, November 05, 2010

Fardiana 1 Malaysia Keluaran Omara Production



Fardiana, nama yang tidak asing lagi di bidang seni suara di utara. Dikenali juga dengan panggilan Fardiana Farib. Syarikat saya Omara Production telah menguruskan rakaman album terbarunya The Singles sejak awal tahun 2010 ini, kini tak disangka salah sebuah lagunya '1 MALAYSIA' begitu popular di Radio Radio Malaysia dan kerap disiarkan selepas siaran berita.

Satu lagi lagunya yang mendapat tempat di hati pendengar ialah 'CINTA YANG TERTUNDA'. Kedua dua lagunya 1 Malaysia dan Cinta Yang Tertunda ini ciptaan komposer Mat Din dan liriknya oleh Yassuri. Penerbit Eksekutif: Omar M. Hashim, Penerbit: Mat Din, Susunan Muzik: Mat Din, Studio Rakaman: As-Salam Recording Studio, Jururakam: Mat Din dan Hidayat. Terbitan dan Edaran oleh: Omara Norizeight Ventures.

Fardiana adalah antara Finalist Akademi Nasyid 2008 anjuran Tv9. Pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian, antaranya Johan Bintang Utara Universiti Utara Malaysia tahun 2009. Kini Fardiana muncul bersama bandnya sendiri Ana and The Band. Dikenali juga dengan panggilan Fardiana 1 Malaysia.

Khamis, Oktober 14, 2010

10 10 10 Melawat Datuk Yahaya Sulong di Hospital Ampang




Ahad 10 10 10, Saya bersama pelakon sketsa boria Pulau Pinang iaitu Sharifah Juairiah, Yusof M. Hashim (adik saya) dan Abu Bakar Kassim (Bakar Panjang) telah ke Hospital Ampang, Selangor melawat Datuk Yahaya Sulong, pelakon dan pelawak yang tidak asing lagi terlantar di hospital kerana sakit.

Ketika kami sampai, Datuk Yahaya atau lebih senang saya panggil Pak Ya ditemani isterinya juga seorang pelakon dan penari suatu ketika dulu Alisah serta anak-anaknya. Datuk kelihatan uzur, sedang disuap makanan oleh Datin Alisah.

Walaupun suara Datuk bercakap tidak seperti dulu, hanya perlahan dan dalam, tapi bila kami ajukan soalan yang berupa lucu, Datuk Yahaya ketawa. Sebelum pulang, ketika bergambar dia sempat juga berjenaka sambil melihat gambarnya di kamera saya.

Saya kenal Datuk Yahaya memang lama, sejak awak tahun 80an dahulu. Saya pernah ke rumahnya dan dia juga pernah ke rumah saya. Walaupun umur kami berbeza jauh (Datuk sekarang 79 tahun) tapi kami pernah bersekolah rendah yang sama di Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil Jalan Mengkuang, Butterworth.

Sama-samalah kita doakan semoga Datuk Yahaya Sulung kembali sihat dan pulih seperti sediakala. Semoga Allah panjangkan umurnya dan diberkati hidupnya disamping keluarga.

Sabtu, September 18, 2010

Ampunkan Aku Suami di Tv1 RTM 17 September 2010






SASPINTAR SDN. BHD. Inovasi Utara Sdn. Bhd. Mempersembahkan sebuah Telemovie untuk RTM - AMPUNKAN AKU SUAMI lakonan Betty Benafe, Iqram Dizly, Zulkifli Zain, Abu Bakar Omar dan ramai lagi. Sutradara: Eddy. Penerbit: Eddy dan Raja Masri. Pengurus Penerbitan: Mahmud Samad. Pengambaran pada pertengahan 2010. Kebanyakkannya lokasi di Pulau Pinang.

Saya turut berlakon sebagai pelakon tambahan, watak Lelaki Misteri - pengambarannya dibuat di Balik Pulau, P. Pinang.

Tayangan pertamanya di TV1 RTM telah disiarkan dalam slot NURANI pada hari raya yang ke 8 pada 17 September 2010. Drama ini banyak memberikan mesej dan pengajaran untuk isteri-isteri yang tidak taatkan pada suaminya dan berlaku curang di balakang suami. Akhirnya dengan kehendak Allah si isteri mendapat balasan dan azab bukan sahaja sebelum kematian, bahkan hingga ketika di semadikan di tanah perkuburan.

Terima kasih kepada semua yang berikan peluang kepada saya dalam telemovie ini.


Jumaat, Ogos 27, 2010

Omara Keluarkan Kembali Album Hijau Kuning Raya Sakan







Akhirnya atas permintaan ramai, saya terbitkan semula album-album tahun 90an saya dalam versi CD. Buat permulaan, album Hijau Kuning Raya Sakan dah siap saya cetak. Album yang diterbit dan dikeluarkan oleh Omara Production dalam tahun 1991 ini nyanyian M. Shariff, Piee dan Maidin.

Lagu-lagunya: Hatiku Kecewa , Duit Raya , Terkenang Semasa Lalu , Seronok , Seloka Kueh Raya dan Boria Hari Raya . Diselang selikan dengan sketsa-sketsa jenaka oleh M. Shariff, Piee, Maidin dan di akhirnya saya sendiri dan adik saya Yusof Hashim turut terlibat.

Album ini dirakamkan di Studio Channel II, Kuala Lumpur dalam tahun 1991. M. Shariff sebagai penerbit. Muzik oleh Zurah II dan pemuzik undangan Sugito dan perul. Rekabentuk grafik: Amir Awang dan Yusof M. Hashim.

Antara lagu yang paling digemari ramai dan popular dalam album ini ialah lagu 'Duit Raya' nyanyian Maidin dan M. Shariff. Irama lagu ini diambil dari Filem Andaaz iaitu Henna Bolo Bolo.

Saya gembira kerana setelah saya umumkan penerbitan ini dalam facebook saya http://www.facebook.com/profile.php?id=1309363950&v=wall&story_fbid=128717563841178#!/photo.php?pid=30837307&fbid=1364336871013&id=1309363950 ramai yang telah hubungi saya order cd ini kerana saya tidak edarkan di kedai kedai.

Kepada yang berminat ingin membelinya sila hubungi saya di talian : Omar Hashim Omara - 0134220091 atau boleh juga di email: omara353535@hotmail.com - Saya akan berikan nombor akaun, setelah wang dimasukkan saya akan hantar melalui pos laju atau pos ekspress.

SELAMAT MENDENGAR!

Khamis, Ogos 19, 2010

Rejab Had Raja Kartunis - Kehilangannya Dirasai








Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had. Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang. Allahyarham ada pertalian saudara dengan saya. Adik saya kartunis/pelawak Yusof M. Hashim ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Kojek banyak belajar dari Allahyarham.

Sesekali Pak Jab akan pulang ke kampungnya di Titi Timbul Permatang Pauh, Seberang Perai. Dia akan cari kami dan kawan-kawan kartunisnya di Pulau Pinang. Sembang-sembang. Kadang-kadang buat perjumpaan atau kursus melukis. Anehnya, dia gemar berjalan kaki ke sana kemari walaupun dalam perjalanan yang jauh. Kali terakhir berjumpa dengannya, dia pulang untuk menandatangani perjanjian dengan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dan perasmian Gelanggang RejabHad. Majlis bersejarah ini menyaksikan Allahyarham menurunkan tandatangan bersama TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ramai orang tidak tahu, siapakah pula guru atau orang yang banyak membimbing RejabHad? Saya pernah dibawa oleh arwah bertemu dengan Allahyarham RashidDin atau nama kartunis Pak Bai yang juga tinggal di Permatang Pauh. Itulah dia idolanya.

Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.. Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.. Dia mengakhiri hayatnya pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Di antara koleksi kartun Rejabhad yang popular dan diminati oleh pelbagai peringkat umur sehingga hari ini ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Perjuangan dan pergorbanan Raja Kartun Malaysia ini harus diteruskan oleh kartunis-kartunis masa kini sampai bila-bila dengan meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa.

Di akhir hayatnya dia pernah berpesan kepada adik saya Yusof supaya kerap menganjurkan bengkel-bengkel lukisan kartun di Utara. Dan ketika Yusof sedang mengadakan bengkel lukisan kartun di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas pada 14 November 2002, pelawak Imuda telefon Yusof beritahu kematian Pak Jab yang berusia 63 tahun ini.

Abangnya Cikgu Nuruddin Had dan adiknya Siraj Had masih ada lagi. Kasa Had telah meninggal dunia baru-baru ini. Bapanya Pak Had yang terkenal sebagai pawang menangkap buaya telah lama meninggal dunia. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh RejabHad dan keluarganya.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Ahli Jawatankuasa Pertandingan Lagu P. Ramlee 2010






Tahun ini (2010)saya menyertai Gabungan Persatuan Dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang dibawah pengerusinya Yg Bhg. Dato' Seri Haji Yussof Latiff. Banyak kegiatan-kegiatan kesenian yang telah diadakan. Antaranya saya juga menduduki Jawatankuasa Pengelola Peraduan Lagu-Lagu Kenangan Tan Sri Dr. P. Ramlee 2010.

Pertandingan Lagu-Lagu Nyanyian Tan Sri Dr. P. Ramlee peringkat akhir telah berlangsung di Auditorium Dewan Sri Pinang, Lebuh Light, Pulau Pinang pada 2 Ogos 2010 jam 8.00 malam. Antara tetamu Terhormat ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Lim Guan Eng.

Acara selingan oleh Seniman Negara YBhg Dato' Dr. Ahmad Nawab dan Musly Ramly. Enam orang peserta yang bertanding diiringi oleh Kombo RTM Pulau Pinang dan Dj YY RTM selaku pengacaranya.

Keputusannya hadiah sebanyak RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 telah dimenangi oleh:

3. Faizal Mohd. Hassan - Di Pinggiran / Ku Rindu Padamu (KETIGA)
2. Muhaimin Arzahan - Jangan Tinggal Daku / Tiada Kata Secantik Bahasa (KEDUA)
1. Sharnizam Arzahan - Tunggu Sekejap / Entah Di Mana (JOHAN)

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Selasa, Julai 13, 2010

Akhirnya Tahun 2010 Saya Terbitkan Album Kembali - Mula Dengan GALAPAGOS



Akhirnya di tahun 2010, hasrat saya untuk menyambung kembali penerbitan album rakaman berjaya dengan terhasilnya album baru kumpulan yang saya tubuhkan - GALAPAGOS.

Bersama DjYY (Deejay Yassier) dan Pelawak Chik (Bekas pelawak Pak Man Telo) kami bertiga yang sebelum ini dikenali sebagai pelakon sketsa 'NASI KANDAR PAPEDOM' di Radio Malaysia Mutiara FM.

Sebenarnya saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya seorang komposer yang tidak asing lagi di utara - Mat Din. Dengan bantuan Mat Din dan usahanya lah kami dapat merakamkan lagu dan jenaka ke album ini. Kesemua lagu-lagu dan muzik oleh Mat Din sendiri. Rakaman juga di Studio Mat Din. Saya sendiri menulis lirik lagu disamping Yassuri. Tidak lupa juga terima kasih kepada pelawak/pelakon terkenal Imuda yang telah menyumbangkan karikaturnya untuk dijadikan gambar album ini.

Lagu-lagu kami juga sering dikumandangkan di Radio Radio RTM disamping radio swasta dan radio internet. Kami juga banyak terima undangan untuk membuat persembahan di sana sini sepanjang tahun ini.

Semoga peminat-peminat dapat terima kumpulan kami yang berkonsepkan 4 dalam 1 - Lawak, Pengacara, Lagu dan Muzik.

Ahad, Jun 13, 2010

L. Ramli di Hospital



Peminat-peminat artis 60an digemparkan dengan berita penyanyi 'Dara Pujaan' L. Ramli jatuh di rumahnya di Kepala Batas, Seberang Perai dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas, Seberang Jaya dan akhirnya di Metro Hospital, Sungai Petani.

Saya hebahkan berita ini di Facebook dan mendapat reaksi dari rakan rakan.

L. Ramli ( L. Ramlee ), 68, merupakan seorang penyanyi lagu Melayu yang terkenal pada era 60-an dan 70-an. beliau mula menceburkan diri dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya Sungai Nibong P. Pinang.

Beliau kemudiannya merakamkan lagu Dara Pujaan pada 1962 bersama Orkes Teruna Ria dibawah pimpinan Datuk Basir Ahmad.

Ahad 13 Jun 2010 saya melawat L. Ramli bersama-sama dengan adik saya Yusof Hashim dan isterinya Normah di Metro Hospital. Ramli berbual panjang lebih kurang 2 jam lebih dan kelihatan sudah segar dan sudah boleh menjamah makanan. Dia juga sedih mendapat tahu pemain drum Teruna Ria iaitu Rahmat telah kembali kerahmatullah hari ini di Butterworth.

Gambar: L. Ramli, saya, S. Mokhtar dan adik saya Yusof semasa melawatnya.

Gambar 2: L. Ramli sedang membaca akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan beritanya.

Rabu, Februari 17, 2010

TERKINI - Ahmadi Hassan Meninggal Dunia - 17 Februari 2010



Al-Fatihah, Dengan sedihnya dimaklumkan, rakan baik saya sejak remaja dulu penyanyi Nasyid/pelakon/penerbit/pengarah drama Ahmadi Hassan telah kembali ke Rahmatullah petang tadi jam 5.00 petang di Hospital Al-Islam Kpg. Baru, K. Lumpur.

Jenazahnya kini berada di rumahnya Lot 45733, Lorong 1, Kampung Merbau Sempak, 47000 Sungai Buloh Selangor. Pengkebumian esok 18hb. Mac 2010.

Allahyarham Ahmadi jumpa saya kali terakhir penghujung Disember 2009 lepas, selama tiga hari dia bersama saya. Selepas pulang ke Sungai Buloh, lebih kurang dua tiga kali dia berhubung dengan saya melalui telefon Januari 2010 ini, tak ada tanda-tanda kematiannya... cuma Allahyarham berkata dia akan jumpa saya lagi selepas ini. Dia juga gembira melihat blog ini yang memuatkan kisah dan gambar-gambarnya.

Marilah sama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepadanya dan doakan semoga ruhnya berada dalam kebaikkan di sisi Allah....

Gambar terakhir saya dengan Allahyarham baru-baru ini....