
Pagi Ahad, puasa hari ke dua, saya menerima kunjungan tetamu dari 10 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Mereka ialah Mohamad Fadhli, Nurul Nisahanis, Robihah, Azwin, Nurulasikin, Nur Atiqah, Noor Diyanah, Nur Ain, Siti Nor Adzlia, Muhd Anwar Saifuddin. Muslim dari UITM Permatang Pauh turut membantu perjalanan mereka.
Saya terharu kerana kedatangan mereka dari Tanjong Malim semata-mata untuk mendalami bidang kesenian warisan ghazal parti dari utara. Disamping itu saya juga memberi penerangan mengenai seni warisan boria yang berasal dari Pulau Pinang. Dari pengakuan mereka, saya yakin yang kesemuanya benar-benar meminati seni warisan ini dan tidak mahu ianya tercemar dengan arus kemodenan. Ini menidakkan tanggapan saya selama ini kerana merasakan generasi muda kurang meminati kesenian warisan di negara kita.
Semoga bakal-bakal pendidik ini akan membantu generasi akan datang untuk menyambung dan melestarikan segala seni dan warisan di negara kita supaya ianya tetap terpelihara. Salam kepada Puan Kalsum binti Umar, Pensyarah Kursus Budaya dan Warisan Nasional UPSI.