MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Rabu, Julai 29, 2009

Ramai Pelawat Melawat Maidin di IJN


Petang tadi isteri Maidin beritahu, suaminya masih lagi dirawat di IJN. Dia sengaja mengambil dan menjawab setiap panggilan telefon suaminya kerana bimbangkan Maidin penat jika bercakap banyak. Menurut isterinya, ramai orang yang melawat Maidin di IJN termasuk juga Dato' Yusof Haslam dan isterinya.

Pelawak Maidin Ibrahim telah dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur kerana kurang sihat setelah menjalani pengambaran siri Tv 'Gerak Khas' arahan Majid Salleh di Kuala Lumpur. Pelawak Chik dari Pulau Pinang yang juga turut berlakon drama tersebut turut telefon memberitahu saya, kini Chik pulang ke Pulau Pinang kerana terpaksa menunggu Maidin sihat untuk berlakon bersama.

Kepada rakan-rakan dan peminat beliau semua, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga kesihatan Maidin akan pulih kembali seperti sediakala.

Terima kasih Khadijah Mohamed yang menghantarkan komen dalam ruangan ini. Ramai juga rakan-rakan saya yang bersimpati dan sama-sama doakan semoga kesihatannya pulih seperti sediakala.

Khadijah Mohamed berkata...

Semoga Pak Cik Maidin segera sembuh..amin..
saya minat lawak jenakanya..

Jumaat, Julai 24, 2009

Ahad dan Jumaat Depan Boria Di Radio


Ramai yang bertanyakan saya bilakah rancangan Boria akan keudara siarannya di radio seperti yang saya sebutkan sebelum ini? Sukacita diberitahu, mengikut penerbit-penerbitnya adalah seperti berikut:

Radio Malaysia Mutiara FM Pulau Pinang
Ahad 26 Julai 2009 jam antara 3.00 ke 4.00 Petang (kemungkinan 3.30 ptg)
Kumpulan Boria BISTARI Butterworth

Radio Malaysia Klasik Nasional
Jumaat 31 Julai 2009 jam 7.45 malam

Saya ucapkan terima kasih kepada RTM, satu-satunya media yang masih memberikan tempat kepada kesenian warisan negara ini. Diharap radio-radio swasta yang lain juga akan mengikut jejak RTM dengan memberikan tempat kepada seni dan budaya bangsa yang hampir pupus ini.

Gambar Kiri: Kamaruddin Haniffa, Penerbit Boria Mutiara FM P. Pinang
Gambar Kanan: Rosli Derani, Penerbit Boria (Dendang Rakyat) Radio Klasik Nasional


Selasa, Julai 21, 2009

Rakaman Boria Dendang Rakyat Radio Klasik Nasional



Selesai menguruskan kumpulan boria dalam rakaman boria Klasik Nasional minggu lepas. Saya turut menyediakan rangkap karangan dan juga berlakon sketsa.

Boria adalah salah satu segmen rancangan Dendang Rakyat yang disiarkan di radio Klasik Nasional ke seluruh negara setiap hari Jumaat jam 7.45 malam disamping giliran kesenian-kesenian negeri lain. Penerbitnya Rosli Derani dan penolongnya Firdaus Mokhtar turut serta mengendalikan rakaman ini.

Gambar 1: Dari kiri - Penggubah Lagu Md. Din Haniffa, Omar M. Hashim (saya), Penerbit Rosli Derani (Klasik Nasional) dan penyanyi RockyDin.

Gambar 2: Sedang berlakon sketsa boria bersama-sama dengan pelawak Chik dan Chop dalam rakaman tersebut.

Jumaat, Julai 17, 2009

Lirik Lagu Tulisan Saya - Kata Mengata

Lirik Lagu:

KATA MENGATA

Lagu: Alias Congo

Lirik: Omar M. Hashim


Satu penyakit, diberi nama kata mengata

Telah menjadi, biasa di merata-rata

Kita kata orang, orang pula kata kita

Kami tidak menyinggung, cumalah nak bercerita


Tengok orang lain senang, hati kita jadi susah

Mulalah kepala jadi pening, sakit dan resah

Hal orang lain, kita cuba nak ambil kesah

Akhirnya kita sendiri, dari tenang naik gelisah


Kata mengata untungnya tak ke mana

Apa pula kata jika diri sendiri yang kena


Apa orang buat, semuanya dikatakan salah

Perkara yang remeh temeh, dibuat jadi masalah

Bertengkar bergaduh bermusuh, hingga bawa berbalah

Sayangnya diri sendiri, tak mahu cuba mengaku kalah


Dengar orang mengata lebih baik kita diam saja

Daripada masuk campur baik pergi buat kerja


Sukakah pula kita, diri dikata orang?

Diri sendiri juga, cuba lihat apa yang kurang

Ambil cermin muka, tengok diri kita terang-terang

Nilai diri sendiri, jangan cuba tuduh sebarang


Jangan jadi amalan suka jaga tepi kain

Kain kita juga pun macam orang lain....

Selasa, Julai 14, 2009

Guru Yang Mengajar Saya Sembahyang Dan Tahlil Meninggal Hari Ini


Iman Hj. Wahab Taib, yang pernah mengajar saya bersembahyang, tahlil dan doa semasa kecil di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam telah kembali keRahmatullah pagi ini (14 Julai 2009). Allahyarham yang saya panggil Pak Wahab seorang Imam di Surau Kpg. Tok Panjang dan juga di Masjid Jalan Baru, Perai, Seberang Perai. Pak Wahab juga rakan baik arwah bapa saya Hj.Hashim, mereka pernah sama-sama bekerja sebagai SC di tahun 50an dahulu.

Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas ruhnya.

Gambar kecil : Hj. Wahab
Gambar besar: Hj. Wahab bersama-sama rombongan hantaran belanja perkahwinan saya pada tahun 1977 sebelum bertolak ke rumah pihak perempuan.

Sabtu, Julai 11, 2009

Kenangan Umrah Bersama Jeffrydin


Bersama penyanyi 60an Jeffrydin, isterinya Rashidah Abdullah serta anaknya semasa di Masjid Terapung, Laut Merah, Arab Saudi pada pertengahan tahun 90an. Ketika itu saya pergi menunaikan umrah bersama-sama dengan Datuk Ahmad Nawab dan isterinya Siti, M. Shariff, isteri Faridah dan anak-anaknya, Jeffrydin, isteri dan anak-anaknya, Wartawan Ahmad Idris ataupun lebih dikenali dengan Abi, isterinya Bahyah Mahmood atau dikenali dengan Bam dan juga anak. 

Nama sebenar Jeffrydin ialah Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman. Anak-anaknya pula ialah Raden Arjuna Mirko, Raden Wira Sukma dan Raden Ratna Sari Dewi. Satu peristiwa yang mencemaskan rombongan kami ialah ketika kehilangan anak bungsunya Raden Ratna Sari Dewi selepas solat subuh di Masjid Nabawi Madinah. Kami yang tinggal di hotel berdekatan dengan Masjid Nabawi tidak dapat menemuinya langsung walaupun dicari di seluruh kawasan Masjid yang besar itu. Akhirnya setelah beberapa jam mencari Raden Ratna Sari Dewi ditemui sedang tidur dalam masjid. Alhamdullilah! Kami semua bersyukur.

Khamis, Julai 09, 2009

Kenangan Dalam Drama Satria 200 Purnama 1987





Dalam tahun 1987, Pengarah adik beradik yang tidak asing lagi Aziz M. Osman dan Zulkifli M. Osman telah datang ke rumah saya yang ketika itu di Taman Bunga Raya, Jalan Baru, Prai, Seberang Perai. Mereka minta tolong carikan lokasi untuk pengambaran sebuah drama bercorak purba. Akhirnya saya membawa mereka ke Kampung Juru, Bukit Mertajam dan dengan bantuan penduduk di situ terutamanya Hj. Said, kami telah dapat beberapa lokasi yang elok dibuat pengambarannya nanti.

Pemilihan pelakon (screen test) dibuat di rumah saya setelah diiklankan dalam radio dan surat khabar. Ramai bakat-bakat baru yang datang untuk diujibakat termasuk seorang pelakon yang terkenal sekarang ini iaitu Zaidi Omar turut hadir (tapi atas sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, Zaidi tidak diambil berlakon). Pelakon tetap yang sediaada ialah; Hussein Abu Hassan, M. Osman, Zainal TJ dan Shah. Deejay RTM Pulau Pinang yang tidak asing lagi ketika itu Azizah Zahari Majid turut diambil berlakon sebagai isteri kepada Hussein Abu Hassan. Pelakon tempatan pula ialah Osman Harun, Kamarul Ridzwan, Yusof M. Hashim dan saya sendiri.

Pengambaran dibuat di Kampung Juru, Permatang Pasir, Batu Feringhi dan Shah Alam.
Drama SATRIA 200 PURNAMA diarahkan oleh Zulkifli M. Osman dan Zainal TJ. Terbitan: Teletrade. Telah disiarkan di TV3 pada tahun 1988.

Gambar-gambar dipetik dari drama tersebut yang telah di VCDkan.

Boleh juga lihat gambar-gambar lain di SINI

Selasa, Julai 07, 2009

Genap 10 Tahun M. Shariff Meninggal Dunia





Telah genap 10 tahun penyanyi/pemuzik M. Shariff meninggal dunia. Saya mula berkawan rapat dengannya sejak tahun 1973 di Kuala Lumpur. Ketika itu M. Shariff tinggal di bilik sewa di Wisma Belia, 40 Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur. Boleh dikatakan setiap minggu saya pergi ke bilik sewanya dan kadang-kadang dia datang ke rumah sewa saya di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur. M. Shariff masih lagi bujang dan tinggal dengan seorang rakannya dari Ipoh iaitu Harifuddin Kamaruddin. Ketika itu saya berusia 19 tahun dan baru bekerja di Ibu Pejabat Telekom Bukit Mahkamah Kuala Lumpur.
Setelah saya berpindah balik ke Kampung di Bukit Mertajam dalam tahun 1974, beliau juga tidak lupa mengunjungi saya, dia datang dengan beberapa orang kawannya. Kebiasaannya, M. Shariff gemar memainkan lagu-lagu yang belum dirakamkannya dan minta pandangan. Album yang dirakamkan di India juga turut diperdengarkan kepada saya.

Setelah beliau berkahwin dengan Faridah Mohd. Salleh mereka tinggal di tingkat atas rumah Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di bawah pula rumah ibu mertuanya.

Pada tahun 1991 Saya keluarkan album pertama iaitu Untukmu Hijau Kuning dan berikan tugas penerbit kepada M.Shariff. Dalam album itu yang pada mulanya hanya Maidin dan Piee sahaja penyanyinya kemudian untuk menguatkan lagi saya minta M. Shariff sendiri turut menyanyi beberapa buah lagu. Begitulah seterusnya saya terus mengeluarkan album dan melantik beliau sebagai penerbit hingga pertengahan tahun 90an.

Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita yang tak sempat saya masukkan di sini dan mungkin saya akan tuliskan di suatu ketika nanti.

Faridah, isteri Allahyarham mengejutkan saya di waktu subuh sepuluh tahun yang lalu dengan nada sedih memberitahu suaminya telah meninggal dunia. Kali terakhir sebulan sebelum itu saya pergi merayakan hari jadinya yang dibuat di sebuah hotel di Ipoh, Perak. Saya bergegas ke Kuala Lumpur dengan penyanyi L. Ramlee, Chik dan Chop (adik saya). Apabila kami sampai jenazahnya telah dibawa ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang Kuala Lumpur. Kami segera ke situ dan setelah pengkebumian selesai kami ke rumahnya di Kampung Baru bertemu keluarganya.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin. Hanya gambar menjadi kenangan.

Isnin, Julai 06, 2009

Selamat Hari Lahir Muhammad Amsyar Yang Ke 5


Selamat Hari Lahir yang ke 5 tahun (4 Julai 2009) kepada cucu tunggal yang disayangi. Muhammad Amsyar bin Muhammad Asyadi. Semoga dikurniakan Allah keberkatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ahad, Julai 05, 2009

Tak Sangka Gambar Lama Saya Di Astro Awani


Sedang asyik menonton Tv Astro Awani (Channel 501), tiba-tiba saya rasa macam tak percaya gambar lama saya (hitam putih) dengan Dato' Sharifah Aini muncul di kaca tv. Gambar ini dipaparkan dalam promo Sharifah Aini In Person yang akan disiarkan di Astro Awani pada 30 Julai 2009 akan datang.

Selepas itu saya dapati promo dan gambar ini terus disiarkan berkali-kali di Tv. Tak sabar rasanya nak tonton rancangan ini apabila keluar siarannya di Tv nanti. Gambar ini kalau tak silap diambil dalam tahun 1976 di Dewan Sri Pinang Pulau Pinang. Ketika itu saya belum berkahwin lagi. Saya banyak mengikuti persembahan Dato' Sharifah Aini ketika itu dan pernah juga mengendalikan sebuah Konsert Sharifah Aini Dan Sudirman yang diadakan di Padang BMRC Bukit Mertajam, Seberang Perai. Saya juga pernah saksikan kehebatan Dato' Sharifah Aini berlakon dalam sebuah Teater Muzikal ''Kuala Lumpur'' dalam tahun 1973 di Kuala Lumpur.

Kepada Dato' Sharifah Aini saya ucapkan selamat maju jaya. Masih terngiang-ngiang di telinga apabila mendengar kelunakan suara Dato' Sharifah Aini mengalunkan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran semasa dalam kereta saya di Pulau Pinang. Saya dapati Dato' Sharifah Aini dapat menghafal agak panjang Ayat-Ayat Al-Quran yang dibacanya hingga saya ada mencadangkan kepadanya supaya masuk Musabaqah Al-Quran. Dato' senyum saja....

Saya siarkan sekali lagi gambar yang dipaparkan ini. Saya dan Dato' Sharifah Aini Tahun 1976.

Sabtu, Julai 04, 2009

Nassier Wahab Masih Sayangkan Boria





Nassier gembira menyanyi lagu boria semula, setelah beliau dipilih oleh Jabatan Warisan Negara menjadi tukang karang boria di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Majlis Penyerahan Watikah George Town Melaka diistihar sebagai Bandar Warisan Dunia pada 22 November 2008 lalu. Malam itu Nassier menjadi tukang karang kepada lebih seribu orang sailor yang terdiri dari peserta-peserta perarakan dari Pulau Pinang dan Melaka juga penari-penari Istana Budaya.

Saya telah menyediakan lagu boria ini bersama rakan saya Zulkifli Omar, dan saya sendiri menulis (lirik) rangkap karangannya untuk acara kemuncak penutup majlis yang turut dihadiri oleh tetamu-tetamu terhormat, antaranya DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abas dan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selepas itu dalam bulan Disember 2008, saya telah menguruskan sebuah persembahan boria di Sungai Ara Pulau Pinang dan mencadangkan Nassier sebagai tukang karangnya. Setelah diberikan lagu dan rangkap karangannya, Nassier bersungguh-sungguh menghafal rangkap karangan tulisan saya ini cuma atas sesuatu sebab yang tak dapat dielakkan, beliau tidak dapat menyanyikannya di majlis tersebut.

“Saya asal orang boria, sesekali teringin nak jadi tukang karang boria semula,” kata Nassier yang tidak dapat dipisahkan antara dirinya dengan seni warisan Pulau Pinang ini. Beliau adalah rakan seni saya di Seberang Perai. Sesekali bila kebetulan ada acara kesenian dan persembahan, kami bertemu dan berbual-bual mengenai dunia hiburan dan semasa.

Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nasir bin Abdul Wahab, seorang penyanyi, pelakon dan pencipta lagu dibesarkan di Teluk Air Tawar, Buttterworth, Pulau Pinang. Nassier mula berjinak dalam dunia seni sejak dibangku sekolah rendah lagi.Alam persekitaran di kampungnya yang mempunyai dua kumpulan kugiran iaitu "Les Pengembara" dan "Teruna Ria" banyak mempengaruhi nassier dalam dunia seni muzik.

Apabila meningkat remaja,dalam usianya 20an,minatnya semakin memuncak apabila Nassier menyertai kumpulan kesenian Bistari di kampungnya.Seterusnya Nassier menjadi penyanyi utama dan sebagai Tukang Karang Boria disamping menyertai kumpulan nasyid.

Nassier telah membawa satu era baru dalam persembahan boria dan juga kumpulan kugiran sehingga kumpulannya telah menjadi johan berturut-turut dalam setiap pertandingan yang dianjurkan sekitar tahun 1982-1984.Pada tahun 1983,

Nassier telah berjaya membawa kumpulan Boria Bistari ke peringkat akhir dalam pertandingan "Pesta Dendang Rakyat Ke-8" anjuran RTM.Sebagai tukang karang, Nassier telah mencipta sebuah lagu khusus untuk kumpulannya berjudul "Pak Pandir Moden' yang kemudian dirakamkan dalam album pertamanya.

Bakatnya mula dikesan oleh stesen radio RTM Pulau Pinang, apabila Nassier berjaya menjadi naib juara dalam Pesta Pulau Pinang 1984 dan Top Finalis dalam pertandingan Bintang Bintara pada awal tahun 1985. Nassier kemudiannya ditawarkan menjadi penyanyi undangan dalam rancangan-rancangan terbitan radio RTM Pulau Pinang bermula dari rancangan "Bakat Baru"sehinggalah ke rancangan "Temasya Ria".

Awal tahun 1985 bermulalah karier Nassier sebagai seorang recording artis apabila ditawarkan bernaung di bawah syarikat Seri Record di Pulau Pinang.Album pertamanya yang diterbitkan oleh komposer S.Atan dirakamkan di Singapura berjudul "Cinta Dan Perasaan"

Nassier muncul lagi bersama album "KOLEKSI 20 TAHUN TERUNGGUL NASSIER WAHAB" yang memuatkan sebahagian dari lagu-lagu hits popularnya seperti "Bayangan Wajah Duka","Sebuah Janji Tak Beerti","Sekali Aku Jatuh Cinta","Undangan Rindu" dan lain-lain.

Sama-sama kita nantikan Nassier Wahab menjadi tukang karang boria semula setelah begitu lama ditinggalkannya.