MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Isnin, Disember 28, 2009

Ahmad Hj. Hassan Dulu dan Ahmadi Hassan Kini







Kami bersahabat memang dah lama. Dari tahun 1973 ketika usia saya 19 tahun hinggalah sekarang. Nama asalnya Ahmad Hj. Hassan berasal dari Padang Menora, Jarak, Seberang Perai. Seorang pelakon teater dan penulis di zaman mudanya. Kemudian merantau ke Ibu Kota Kuala Lumpur untuk mencuba nasib mencari rezeki, akhirnya dengan bantuan sahabat karibnya Ariff Shah orang Bukit Mertajam yang mula bertugas di bidang penyiaran, Ahmadi telah berjaya diterima bekerja di RTM (Ketika itu di Bahagian Pembangunan Radio Malaysia) di Angkasapuri Kuala Lumpur.
Watak Pak Chat dalam siri drama yang paling popular ketika itu 'Fajar Di Bumi Permata' telah menaikkan nama Ahmad Hj. Hassan. Beliau mula berjinak-jinak menyanyi terutamanya lagu-lagu hindustan dan pernah muncul dalam rancangan radio siaran Tamil iaitu 'Kalapaddam' dan lain-lain lagi. Dalam tahun 1973 ketika saya berbual-bual dengan M. Shariff yang merupakan penyanyi, pemuzik dan penerbit piring hitam, kami bercakap mengenainya yang juga turut diminati oleh M. Shariff kerana lakonan dalam watak 'Pak Chat' di radio.
Tidak lama selepas itu, ketika saya berkunjung ke bilik sewa M. Shariff (yang masih bujang masa itu) di No. 40, Wisma Belia, Kuala Lumpur, M. Shariff beritahu saya yang dia telah memberi tawaran kepada Ahmad Hj. Hassan untuk merakamkan lagu-lagu ke piring hitam melalui label terbitannya M. Shariff Scope. Saya juga turut diperdengarkan lagu-lagu pertama Ahmad yang telah menggunakan nama sebagai Ahmadi Hassan dalam keluaran terbaru ini. Saya kata "Aiii... macam suara Shariff?". M. Shariff ketawa kerana dia suka dengan suara Ahmadi ini.
Awal tahun 1974 bermulalah sejarah Ahmadi Hassan di bidang seni suara. Lagu-lagunya Sudah Suratan dan Pesan Ayah berkumandang di radio-radio RTM. Saya dapat percuma piring hitam dari M. Shariff.
Kini..... saya sempat merakamkan gambar terbaru saya dengan Ahmadi dalam satu pertemuan baru-baru ini di Permatang Pauh ketika Ahmadi pulang berehat di Kampungnya Padang Menora, Jarak, Seberang Perai. Lihatlah perbezaan wajah dulu dan sekarang.....

Rabu, Disember 09, 2009

Selamat HariJadi Kepada Adik Saya Yusof Yang Ke 53


Selamat hari jadi ditujukan kepada adik saya Yusof Hashim yang ke 53 tahun. Semoga panjang umur, sihat sejahtera, kuatkan iman dan bertambah rezeki.

Yusof M. Hashim (Yusof Mat Hashim) atau nama samaran Pak Kojek dilahirkan pada 7 Disember 1956 di Sungai Bakau, Parit Buntar, Perak. Dibesarkan di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Yusof Mat Hashim merupakan kartunis yang aktif di Malaysia pada akhir 1970-an sehingga 1980-an. Kini dikenali sebagai pelawak dan pelakon sketsa boria.

Kartun - Wak Kojek yang disiarkan dalam akhbar ppWatan setiap hari selama 3 tahun (1975-1977)

  • Pak Kojek dalam akhbar Bintang Timur setiap hari selama 5 tahun (1977-1982), Gema RTM (1972-1975)

Karya Komik

  • Buntal
  • Kulup
  • Kisah M.Shariff & The Zuhrah
  • Lawak Tanjung
Kami dua beradik sama-sama aktif di bidang kesenian dan warisan. Ada kalanya orang keliru antara saya dan Yusof. Dia kini bertugas di Tenaga Nasional Bandar Perda Seberang Perai.

Rabu, November 25, 2009

Al Kisah Raya Korban, Sketsa Saya Dan GALAPAGOS Di Radio


Selamat Menyambut Hari Raya Qurban untuk pembaca blog saya semua. Yang baru sampai, selamat datang! Yang kunjung lagi... Selamat berkunjung.... Saya akan temui semua dalam AL KISAH RAYA KORBAN penampilan GALAPAGOS pada hari jumaat 27.11.09 jam 3.30 petang di Radio Malaysia Mutiara FM. Saya akan bawakan dua watak iaitu Pak Omaq dan juga Mamak Abdul bersama-sama dengan DJ YY dan pelawak Chik. Rancangan ini terbitan Yasser Yusof (YY) khas sempena Hari Raya Aidil Adha kali ini.

Selain lakonan sketsa jenaka dari kami, lagu-lagu yang berkaitan juga akan disiarkan dan salah satu daripadanya ialah lagu 'Salam Hari Raya' nyanyian dari album terbaru GALAPAGOS keluaran saya Omara Production, Lagu: Mat Din As-Salam dan Lirik: Omar M. Hashim (saya sendiri). Nyanyian YY dan Mat Din As-Salam.

Jangan lupa: Jumaat (Hari Raya) 27 November 2009 jam 3.30 petang di Radio Malaysia Mutiara FM. Dengar di radio (untuk P. Pinang 95.7mhz) atau klik radio online di www.mutiarafm.gov.my

Isnin, November 16, 2009

Membantu Pengambaran Tari Tradisi - Boria Untuk Tv




Membantu produksi Tari Tradisi 'BORIA' untuk penerbitan Tv. Pengambaran pertama pada bulan September lalu dan terakhir Pertengahan November baru-baru ini. Alhamdullilah, walaupun berada dalam musim hujan, tapi cuaca sepanjang pengambaran cerah tanpa sebarang masalah. Pengambaran di Sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Selain dari persembahan boria, rakaman juga dibuat di Studio Md. Din As-Salam persembahan 'live' oleh Kumpulan GALAPAGOS bermain alat muzik sambil menyampaikan sebuah lagu boria ciptaan baru Md. Din As-Salam bertajuk 'Boria Jom Pusing'.

Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu dalam menjayakan pengambaran ini. Ahli-ahli Boria Klasik, Pulau Pinang pimpinan saya dan Ketua (Mustaffa Ishak) serta ahli-ahli Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Seberang Perai dengan 'boria moden'nya. Tidak ketinggalan juga Puan Zaini dari Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang bersama sailor-sailor borianya. Pengarah Arkib Negara Malaysia Pulau Pinang, Pengarah JABATAN KEBUDAYAAN & KESENIAN NEGARA. JKKN Negeri Pulau Pinang. Juga terima kasih kepada penerbit dan kru-kru yang banyak membantu.

Terima kasih juga kepada Pemimpin Boria Kepala Batas Shamsuddin bersama-sama anggota mereka yang juga turut bersama. Tidak lupa, Chik, Bakar Panjang, Yusof M. Hashim, Shimi, Md. Din As-Salam, Dj dan penerbit Mutiara FM, YY, Rohim (Arkib Negara) dan semua yang terlibat menjayakannya.
Semoga seni warisan boria terus terpelihara. Gambar-Gambar semasa pengambaran dibuat di Sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Jumaat, November 13, 2009

Jadi Pengadil Nasyid Dan Marhaban Ramadhan 2009




Alhamdullilah.... bukan saja diundang menjadi pengadil pertandingan Boria, Nyanyian dan Puisi, dalam bulan Ramadhan lepas saya menjadi pengadil Nasyid dan Marhaban pula. Orang tak jemput tak apa, tapi jika jemput tak pula ditolak.

Dalam pertandingan Nasyid dan Marhaban 'Walk @ Bertam' sempena Ramadhan Fest yang berlangsung dari 22 Ogos hingga 19 September 2009 lalu bertempat di Pusat Bandar Bertam Perdana Kepala Batas Seberang Perai, saya bersama-sama dengan rakan seperjuangan Md. Din As-Sallam (seorang pengubah/pencipta/penerbit/penyanyi) yang tidak asing lagi di Utara dan juga Ustaz Nasir Osman (seorang penyanyi nasyid wakil Pulau Pinang ke Peringkat Kebangsaan 2009).

Gambar Atas Kiri: Johan Pertandingan Nasyid sedang menyampaikan lagunya.

Gambar Kanan: Peserta Ke Dua, Saiful sedang menerima hadiah.

Gambar: Omar Hashim, Md. Din dan Nasir Osman sedang mengadili pertandingan tersebut.

Selasa, November 10, 2009

Teater KUDRAT Dalam Akhbar Bintang Timur Jun 1977 Tulisan Omar M. Hashim


Pertengahan tahun 70an hingga pertengahan tahun 80an, Kumpulan Senibudaya Drama Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai banyak mementaskan teater di Pulau Pinang, Seberang Perai, Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. 'Si Bongkok Di Tanjung Puteri' karya Saharum Hussein sebuah teater pimpinan Mohd. Ismail Ariffin dan juga gabungan Seni Silat Sunda pimpinan Hud Ismail telah dipentaskan di Dewan Bandaran Butterworth. Kumpulan ANGKASAMAYA pimpinan Rahman Karim juga mementaskan drama 'Dama' dan 'Udha'.

Saya dilantik sebagai Yang Dipertua kumpulan senibudaya ini di awal tahun 80an setelah kematian Abdullah Ismail (Wartawan Berita Harian) yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Selangor ketika itu. KUDRAT yang mempunyai ahli kira-kira 100 orang adalah sebuah persatuan yang paling aktif ketika itu di Seberang Perai. Sekarang ahli-ahlinya dah bertabur di sana sini. Ada yang berjaya dan masih meneruskan bidang kesenian ini, ada yang telah meninggal dunia antaranya Allahyarham Shariff Tan (Pengarah Drama Tv) dan ada yang masih meneruskan kegiatan seni seperti saya sendiri, Yusof Mat Hashim (adik saya), Asrul, Miskin Darus, Zaidi dan beberapa orang lagi yang tak dapat saya hubungi.

Gambar: Berita bergambar tulisan saya (Ketika itu Wartawan sambilan Akhbar Bintang Timur) yang telah disiarkan di akhbar Bintang Timur siaran Selasa, 14 Jun 1977.

Rabu, November 04, 2009

Dato' Dr. Ahmad Nawab Hasilkan Lebih 2,000 Lagu


Dato' Dr. Ahmad Nawab Khan yang dulunya saya panggil abang Mat ketika bersama-sama mengerjakan ibadah Umrah di Tanah Suci Mekah pada awal tahun 90an dahulu. Abang Mat pergi bersama isterinya Kak Siti dan seorang sahabat karibnya Ishak 'tokeh kereta import' dari Pulau Pinang (kanan dalam gambar).

Banyak peristiwa-peristiwa yang masih dalam ingatan. Semasa di Madinah, apabila diperkenalkan kepada seorang peniaga yang Ahmad Nawab seorang pemain muzik, peniaga tersebut suruh abang Mat berhenti main muzik. Semasa kali pertama hendak pakai ihram, abang Mat malu-malu tapi akhirnya kami jadi biasa. Satu lagi peristiwa yang tak dapat dilupakan ketika kami berdua beriktikaf di hadapan Kaabah tiba-tiba kami terbau sejenis bau-bauan yang tersangat wangi menyusuk masuk ke hidung kami. Kami sama-sama terpegun kerana wangian tersebut muncul hanya sekejap dan hilang begitu sahaja. Selepas itu kami tidak terhidu bauan seperti itu lagi.....

Datuk Ahmad Nawab adalah komposer yang paling banyak sekali menyumbang karyanya dalam bidang seni suara tempatan. Perkara itu dapat dilihat melalui jumlah lagu-lagu yang telah dicipta dan jasanya dalam mendidik ramai penyanyi hingga dikenali ramai. Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Uji Rashid, Hail Amir dan D.J.Dave adalah antara `anak-anak didik' komposer berasal dari Pulau Pinang ini.

Ahad, Oktober 25, 2009

Sajak Bangun Dan Runtuh SINAR ZAMAN 1974







Beberapa buah sajak karya saya juga pernah disiarkan di ruangan sajak Majalah SINAR ZAMAN terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan, Kuala Lumpur di tahun 70an dahulu. Salah sebuah - sajak bertajuk 'BANGUN DAN RUNTUH' yang saya hasilkan semasa tinggal di ibukota Kuala Lumpur ketika itu.

BANGUN DAN RUNTUH

Kau kotaku yang bangun
mewah khazanah kaya raya
bangunan perkasa meninggi raksaksa
mencakar-cakar langit terpaku.

Kau kotaku yang runtuh
membunuh para dada yang lupa
perutmu menuju kehancuran
pesta nafsu membunga-bunga
membutakan mata terbuka.

Kau kotaku yang bangun
adalah kau kotaku yang runtuh
telah kemarau perutmu sayang
malam-malammu tak berhujung
titik-titik hitam tertanda.

Kau kotaku yang bangun
esok bangunlah lagi. Bangunlah
gema perniagaan dan perusahaan
membunga kemewahan zaman agung
kota kaya raya milik bersama.

Kau kotaku yang runtuh
esok berhentilah. Berhentilah
bangun dari keruntuhan yang luruh
berdiri sebuah kekuatan.

Omar M. Hashim
Kuala Lumpur

Jumaat, Oktober 23, 2009

Hari Ini Ulangtahun Kelahiran Anak Bungsu Asymawi ke 14



Hari ini (23 Oktober 2009) ialah sambutan ulangtahun kelahiran anak bungsu Muhammad Asymawi yang ke 14 tahun. Pada 9hb. Oktober baru-baru ini pula ialah hari ulangtahun kelahiran anak sulung Muhammad Asyadi yang ke 31 tahun.

Sempena bulan yang sama, kami ambil keputusan buat sedikit majlis sambutan untuk mereka berdua serentak. Secara sederhana, bersama dengan kaum keluarga terdekat sahaja. Alhamdullilah, semoga diberkati Allah ke dua-dua mereka hidup berjaya, diberikan rezeki, sihat, panjang umur dan diberikan Iman.

Muhammad Asymawi sedang belajar dalam tingkatan 2 dan diharap akan lebih beri perhatian dan tumpuan di bidang pelajaran. Dunia dan akhirat sama-sama pentingnya.

Gambar: Kiri - Asyamawi dan Kanan - Asyadi. (adik dan abang).

Selasa, Oktober 20, 2009

Tahun 2009 Musim Tulis Lirik Lagu Pula


Alhamdullilah, sekarang ni jadi musim tulis lirik lagu pula. Saya dah selesai menghasilkan empat lirik untuk empat buah lagu baru ciptaan Komposer Md. Din As-Sallam dan sebuah lirik lama tulisan saya yang diberikan nafas baru. Lirik 'Salam Hari Raya' telah siap dirakam dan diterbitkan bulan Ramadhan lalu. Lagu ke 2 - 'Malam', ke 3 - 'Syukurku atas nikmatMu', ke 4 - 'Suara Yatim' dan ke 5 - 'Putu Mayong Rock' (dari lirik lama).

Syukurku Atas NikmatMu

Maha Besar pencipta diriku

Yang menjadikan ku manusia

Kudilahirkan dan dibesarkan

Kukecapi nikmat kehidupan

Wahai Yang Maha Pengasih

Wahai Yang Maha Penyayang

Pemberian Mu ku syukuri

Rahmat Mu ku nikmati

Apalah dayaku di kehidupan ini

Jika nikmatmu tidak kau beri padaku

Siapalah diriku di dunia ini

Jika pemberian Mu ditarik kembali

Ya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa

Syukurku atas segala nikmatmu itu

Tambahkan aku iman dan takwa

Tetapkan hatiku hanya pada Mu Ya Tuhan ku

Setiap detik masa berlalu

Kekalkan hatiku mengingati Mu

Siang dan malam kumerindui Mu

Hanya yang satu Allah ya Tuhanku

Ya Allah kekalkan diriku

Ya Allah tetapkan diriku

Menjadi seorang hambaMu sejati

NikmatMu terus kau beri

Padaku dan semua

Tiada terkira nilainya nikmatmu oh Tuhanku


Tiga lagu untuk Album terbaru Kumpulan GALAPAGOS dan dua buah lagu lagi untuk Album terbaru Fardiana yang sedang dalam proses rakaman. Semoga album ini akan berjaya nanti dan lagu-lagu lirik tulisan saya ini akan diterima oleh peminat-peminat seni suara.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Artikel Dalam URTV - Tahun 1976 - Penyanyi A. Razak



Artikel tulisan/gambar oleh saya 'A. Razak Nak Dapat Cahayamata' telah disiarkan di Majalah URTV (Utusan Radio Dan Tv) keluaran 1hb. Julai 1976. Petikan artikel ini:


".....Penyanyi A. Razak gembira menunggu kelahiran cahayamata yang pertama hasil perkongsian hidupnya dengan isterinya Cik Norhafiz Abdul Aziz dari Johor Baharu. Mereka yang telahpun mendirikan rumahtangga kira-kira sepuluh bulan lalu sedang mencari-cari nama yang sesuai dan istimewa bagi anak yang bakal dilahirkan ini. Sementara itu A. Razak Ismail yang terkenal dengan rekod pertamanya 'Bintang Malam Ini' kini merakamkan lagi empat buah lagu-lagu terbarunya ke piringhitam dengan label SENADA terbitan Kassim Masdur. Menurut A. Razak, lagu-lagunya kali ini lebih istimewa dari dulu kerana terdapat irama joget dan sentimental hasil ciptaannya sendiri bersama-sama dengan Omar Taib, Yusof Hamid, Mohd. Akta dan A. Ramli. Beliau yang kini bertugas dengan RTM Johor Baharu sibuk menerbitkan rancangan-rancangan bercorak hiburan di rangkaian Nasional di samping menyanyi....."


Gambar: Artikel/Tulisan saya di URTV kira-kira 33 tahun yang lalu masih menjadi kenangan

Jumaat, Oktober 09, 2009

Selamat Hari Jadi Asyadi Yang Ke 31



Selamat Hari Lahir Yang ke 31 diucapkan kepada anakku Muhammad Asyadi, yang menyambut harijadinya pada hari ini 9 Oktober 2009. "Ya Allah! Panjangkanlah umur anakku Muhammad Asyadi, Kuatkanlah imannya, Perbanyakkanlah rezekinya, Berikanlah keberkatan kepadanya, Berilah kejayaan kepada setiap usahanya. Sihatkanlah seluruh tubuh badannya dan jauhilah dia dari sebarang bahaya dan bencana. Amin....!".

Muhammad Asyadi dilahirkan (oleh ibunya Azizah) di Hospital Bukit Mertajam pada hari ini 9 Oktober 1978. Telah melangsungkan perkahwinan dengan Norizah dan mendapat seorang cahaya mata lelaki Muhammad Amsyar (5 tahun).

Disiarkan gambar-gambar Asyadi dari kecil hingga besar. Gambar Kiri: Saya mendukung Asyadi.
Gambar Kanan: Asyadi sekarang (2009).

Rabu, Oktober 07, 2009

Majalah X-Ray Di Tahun 2002/2003





Majalah X-RAY - 'Dah La Kartun, Lawak Pula....' saya hasilkan bersama-sama dengan adik saya Kartunis Yusof M. Hashim (Pak Kojek) juga rakan-rakan JoDesa, Sha, Kalam, Sitora, Ahmad Shah Hanafiah, Jalel, Mat Udoh, Mat Leh, Mazli, Sam, EzWan, Dion, Ranum, S. Mohamad, Uda dan Ucop. Majalah X-Ray sebuah majalah jenaka dan kartun. Jika kekurangan bahan, saya sendiri terpaksa mencari idea-idea lucu untuk ditulis dan ditambah ke dalam majalah ini.

Tahun 2002/2003 saya menjadi Editor Kumpulan kepada 5 buah majalah. Kisah Benar, Koleksi Misteri, Pelik Benar, Kena dan X-ray terbitan Kalam Ilham Sdn. Bhd. Batu Caves, Selangor. Pejabat Editor terletak di Bandar Sunway, Seberang Jaya, Seberang Perai. Dalam sebulan kami mesti siapkan 5 buah majalah. Kerja 24 jam. Tetapi atas satu sebab yang tidak dapat dielakkan, saya menutup pejabat di Seberang Jaya dan menarik diri jadi menjadi editor dan pengurusan kesemua penerbitan ini.

Gambar Kiri Bawah - Yusof M. Hashim (Pak Kojek) Ketua Kartunis X-Ray

Sabtu, Oktober 03, 2009

Sajak Saya KINI di Akhbar Berita Minggu 1973



Sebuah lagi sajak saya yang telah disiarkan di akhbar BERITA MINGGU pada Ahad, 18 November, 1973. Ketika ini usia saya 19 tahun, baru mula dapat kerja di Kuala Lumpur.

KINI

Gunung-gunung telah runtuh
ranting-ranting telah jatuh
daerah ini mati kini
gema sebuah kemerduan.
Maka berlarilah kaki-kaki
sebuah pendakian
hari-hari yang sepi
mati bersama suci
luruh di tangan.
Sebuah kebenaran
hanyalah mimpi-mimpi
di kaki-kaki.

Omar M. Hashim
Kuala Lumpur.

Rabu, September 30, 2009

Karim Latiff Tidak Sihat Lakonannya Tinggal Kenangan




Teringat saya kepada Karim Latiff, seorang pelakon filem-filem Melayu dan drama Tv yang tidak asing lagi suatu ketika dulu. Rakan seni saya di penghujung tahun 80an ini kini ditakdirkan tidak sihat. Penglihatannya juga tidak normal lagi. Saya pernah mengambil beliau berlakon dalam drama terbitan saya 'MENEBUS MARUAH' di penghujung tahun 80an dahulu.
Bila diberikan tawaran berlakon, dia tidak banyak soal, terus datang sehelai sepinggang tanpa bertanyakan terlebih dahulu apakah peranan yang hendak diberikan kepadanya. "Cerita purba ka cerita moden?", tanyanya kepada saya. "Cerita moden", jawab saya. "Apa watak abang. Baik ka jahat?", tanyanya lagi. "Watak jahat!", jawab saya. Bila diberikan skrip, sekali lalu beliau baca. Bila berlakon, beliau dapat membawakan watak dengan begitu baik sekali tanpa tersekat-sekat.

Lama saya tak jumpa dengannya. Dulu dia pernah telefon saya. Kali terakhir kami berjumpa di majlis perkahwinan di Klang Gate, Selangor.
Antara lakonan Karim Latiff bersama P. Ramlee pada tahun 1960-an ialah menerusi filem Ahmad Albab dan Anak Bapak di mana biarpun dua filem itu merupakan filem komedi tetapi beliau tetap melakonkan watak jahat. Bapa kepada lima anak dan tujuh cucu ini tetap berjaya melakonkan watak jahat dengan berkesan dalam filem komedi itu hingga ia mendapat pujian daripada P. Ramlee yang juga pengarah dan pelakon Ahmad Albab.

"Dalam satu adegan watak Safar yang saya lakonkan dalam Ahmad Albab saya ada secara tidak sengaja menyebut dialog 'alamak! mato-mato (polis) ketika hendak ditangkap kerana merompak kedai barangan kemas. "Ketika sesi latihan itu, P. Ramlee suka dengan dialog dalam dialek Negeri Sembilan yang saya sebut itu dan menyuruhnya saya menuturkannya dalam adegan tersebut," ujarnya mengenang kembali detik-detik manis semasa bekerja dengan Allahyarham.

Filem lain lakonan beliau antaranya berjudul Masam-Masam Manis, Gerimis, Keluarga 69, Penagih Dadah, Lain Jalan Ke Syurga, Sumpah Pontianak, Selendang Delima, Samseng dan Amuk Tok Nadim.
Sama-samalah kita doakan semoga Karim kembali pulih dan sihat.

Ahad, September 27, 2009

Berita Hiburan Pertama Saya di Akhbar Berita Harian Tahun 1974



"..........Setelah lama bergiat di arina seni suara, penyanyi Ahmadi Hassan akan muncul dengan albam pertamanya berbentuk EP membawakan lagu-lagu yang berirama Hindustan. Ahmadi Hassan ataupun nama sebenarnya Ahmad Haji Hassan adalah juga seorang pelakun yang tidak asing lagi dalam rancangan "Fajar Di Bumi Permata" terbitan Siaran Pembangunan RTM. Dalam derama ini beliau memegang peranan sebagai Cad........."

Inilah petikan dari berita hiburan tulisan saya yang pertama kali disiarkan di akhbar Berita Harian Sabtu, 23 Februari, 1974. Ketika ini usia saya baru 20 tahun, tinggal di Kuala Lumpur. Saya kerap ke rumah sewa Ahmadi Hassan di Dato' Keramat. Saya panggil dia abang Mat. Isteri Ahmadi Hassan ketika itu Hassenah Abu, bekerja bersama-sama dengan saya di Ibu Pejabat Telekom Bukit Mahkamah, Kuala Lumpur.

Khamis, September 24, 2009

Menguruskan Persembahan GALAPAGOS dan Artis di Sungai Petani



Saya bersama Kumpulan GALAPAGOS akan terlibat dengan persembahan sempena Pembukaan Fasa B dan perasmian rumah contoh yang akan diadakan pada 26hb. September 2009, Sabtu jam 11.00 pagi bertempat di Taman Lembah Bujang Utama, Sungai Petani, Kedah DarulAman.

Saya juga menguruskan artis/pelawak Imuda disamping penyanyi Sarah Raisuddin yang akan turut serta dari tengahari hingga jam 2.00 petang di tempat yang sama.

Kumpulan GALAPAGOS yang terdiri dari Dj YY, Pelawak/Pelakon Chik dan Omara akan mengendalikan keseluruhan acara tersebut dengan telatah-telatah lucu dan lagu-lagu sepontan.

Sila klik GALAPAGOS

Rabu, September 23, 2009

Terima Kunjungan Pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis


Raya ke empat, saya dikunjungi pelajar-pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, Indera Kayangan. Tujuan mereka untuk pendokumentasian Ghazal Parti untuk Projek Tarikan Pelancongan Semester akhir.

Mereka dari Diploma Pengurusan Pelancongan Semester 6 iaitu terdiri dari Zarith Izmin Ibrahim, Nurul Ana Shaffie, Hamidah Dollah, Nor Syafawati Sukri dan Siti Zuraidah Mohd. Yusoff.

Semoga tujuan murni mereka akan berjaya.

Gambar kiri - Ana, Zarith dan Midah. Gambar kanan - Mereka bersama saya.

Ahad, September 20, 2009

Sajak Aidil Fitri Karya Saya 36 Tahun Yang Lalu




Aidil Fitri kali ini mengingatkan saya sebuah sajak berjodol 'Aidil Fitri' yang saya cipta 36 tahun yang lalu iaitu pada 13 September 1973. Sajak ini telah disiarkan dalam Majalah BALAI MUHIBBAH terbitan Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri Keluaran Oktober 1975.
Sajak ini adalah antara beratus puisi yang saya tulis semasa remaja. Saya gunakan nama asal - Omar M. Hashim.
Kiri - Semasa sajak ini dicipta pada tahun 1973. Kanan - Sajak ini tersiar di Majalah Balai Muhibbah tahun 1975.

Jumaat, September 18, 2009

Jadual Omara di Radio Pada Hari Raya



Berikut ialah jadual saya di radio pada hari raya ini:

1. Malam raya 19hb September tengahmalam @ 20 September 2009 hari Ahad jam 12 tengah malam hingga 3 pagi saya bersama GALAPAGOS akan berada di siaran langsung Radio Malaysia Mutiara FM (Pulau Pinang).

2. Hari raya pertama 20 September 2009 jam 4.15 petang, saya bersama persembahan boria 'Hari Raya' di Radio Malaysia Klasik Nasional.

3. Isnin - Raya Kedua pagi 21 September 2009 jam 8.30 pagi, saya dalam rancangan 'Nasi Kandar Papdom' di Radio Malaysia Mutiara FM (Pulau Pinang).
4. Selasa - Raya Ketiga 22 September 2009 jam 12.30 tengahari di Rancangan Junior Genius, saya, Yusof Pak Kojek (Chop) dan GALAPAGOS akan ke udara dalam rancangan khas di Radio Malaysia Mutiara FM (Pulau Pinang).

5. Selasa - Raya Ketiga 22 September 2009 jam 3.15 hingga 4.00 petang saya dalam rancangan 'Riuh Raya' di Radio Malaysia Mutiara FM (Pulau Pinang).

6. Jumaat - Raya Ke enam 25 September 2009 jam 7.45 malam, saya dalam rancangan boria 'Hari Raya' di Radio Malaysia Klasik Nasional.

Rabu, September 16, 2009

Beberapa Pertemuan Di Majlis Berbuka Puasa





Nampaknya di penghujung Ramadhan kali ini dua tiga kali saya berbuka puasa dengan kawan-kawan. Pertama dengan Luth Textile dan Panglima Hitam dari rakan Bloggers Penang. Kali ke dua dalam majlis berbuka puasa rakan Bloggers Penang yang dibuat khas oleh Hadi dan Luth. Kali ke tiga pula dengan rakan lama Mohd. Ismail Ariffin (juga rakan facebook).

Pertemuan dengan rakan Bloggers Penang memang telah lama dirancangkan oleh pengendalinya Hadi (seorang anak muda) bersama rakannya Luth (masih 20an). Majlis yang berlangsung di Restoran Bangkok Station, Jalan Baru, Prai ini turut dihadiri lebih kurang 10 orang bloggers Pulau Pinang. Saya sampai awal, sebelum 6.30 petang. Duduk dalam kereta dulu... maklumlah tak kenal siapa-siapa yang datang kecuali Luth dan Panglima Hitam yang baru kenal seminggu.

Hampir pukul 7 malam, Hadi dan Luth telefon saya; "Mamu ada kat mana?". "Sini... tempat parking...", jawab saya. Pertama kali saya jumpa Hadi, seorang anak muda yang amat saya banggakan. Dia dan rakan-rakannya menghormati saya 'orang lama' sejak berkenalan dalam blog masing-masing dulu lagi. Saya terharu atas daya usaha mereka yang tidak pernah berputus asa ini. Diperkenalkan dengan rakan-rakan lain Bloggers Luth ,Hadi , Bloggers Ust. Baba, Bloggers Mama Moden ,Bloggers Fazrulls , Bloggers JulietAnna & Bloggers Baby Wify.. Sebelum keluar dari rumah, saya serba salah... nak pakai songkok ke, ketayap ke, topi ke atau tak pakai apa.... Saya tunjukkan wajah yang asli.

Ustaz Baba dan Mama Moden rupa-rupanya suami isteri. Anak-anak mereka juga turut berblog kecuali yang kecil. Dengan Fazrulls saya banyak bercakap mengenai boria Mengkuang Road. Bloggers perempuan saja yang tak bercakap apa-apa dengan saya. Sesekali Hadi ketawa kecil tanda kepuasan. Orang Tanjung kata 'lega'....

Pada malam 26 Ramadhan pula saya dan adik saya Yusof berkesempatan berbuka puasa dengan Mohd. Ismail Ariffin (Ismail Benariffin nama dalam facebooknya). Mail adalah rakan lama saya yang berpisah sejak 20 tahun yang lalu. Kini kami bertemu kembali melepaskan rindu masing-masing. Sengaja kami tidak berbual panjang (walaupun sebenarnya panjang) kerana nak simpan jadi modal bualan pada hari raya ini pula.... Mail kata dia rasa kami semua muda macam dulu juga termasuk dirinya. Biar orang nampak tua, tapi kami tidak kerana dua puluh tahun yang berlalu itu kami pendekkan....

Alhamdullilah! Seronok, sedih, pilu, hiba, suka, ceria dan macam-macam ada.... Semoga Allah memberkati pertemuan-pertemuan ini. Panjang umur.... jumpa lagi!