MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Isnin, Ogos 31, 2009

Pertemuan Semula Selepas Lebih 20 Tahun Di Pagi Merdeka



Alangkah indahnya 31 Ogos 2009, jatuh pula di bulan Ramadhan, di pagi yang mulia.... pertemuan dua orang rakan yang berpisah lebih 20 tahun yang lalu... Omar Hashim dan Mohd. Ismail Ariffin - yang kerja, berpersatuan dan berkarya bersama. Semasa saya sampai untuk menjadi hakim pertandingan nasyid di Walk @ Bertam Ramadhan Fest Pusat Bandar Bertam Perdana Kepala Batas Seberang Perai tiba-tiba Ismail @ MIA @ Mael muncul hulurkan salam.

Saya tidak menjangka kedatangan Mael walaupun sebelum ini kami sering berhubung melalui Facebook di internet. Mael dapat kesan saya awal tahun ini melalui Astro Awani Channel 105 Tv Astro. Dari situ dia buka laman web saya Warisan Boria. Kemudian dia telefon saya. Hantar email... dan paling terbaru guna Facebook pula. Bila saya maklumkan di Facebook saya akan menjadi hakim pertandingan nasyid di Pusat Bandar Bertam Perdana, Mael mengambil kesempatan ini untuk menemui saya.

Saya tergamam! Macam tak percaya yang itulah dia Ismail Ariffin dulu. Tapi riak muka dan suara tidak berubah. Inilah dia gambar pertama pertemuan kami yang terbaru dirakamkan. Di atas riba Ismail ialah anaknya Khairul Azizi, 10 tahun. Kami hanya boleh berbual seketika kerana saya terpaksa duduk di meja pengadil pertandingan selepas itu.

Untuk pengetahuan semua, Mohd. Ismail Ariffin ialah penulis skrip drama Tv dan teater yang tidak asing lagi suatu ketika dulu. Antara skrip teaternya yang pernah memenangi johan pertandingan teater peringkat kebangsaan ialah 'Raja Pengemis'. Siri Drama Tv 'Santan Berlada' yang popular dulu juga ditulis oleh Ismail bersama-sama dengan A. Wahid Nasir dan seorang lagi penulis skrip. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa RTM.

InsyaAllah selepas ini kami akan bertemu lagi jika dipanjangkan umur. Banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama..... Gambar kanan diambil pada 31 Ogos 2009. Gambar kiri tahun 1977.

Sabtu, Ogos 29, 2009

Terima Album Terbaru Artis AF Aliff Razali


Petang tadi (29 Ogos 2009) saya terima album baru keluaran dan nyanyian penyanyi Akademi Fantasia 6 Aliff Razali. Aliff ialah anak sahabat saya Razali Omar juga sepupu kepada Allahyarham M. Shariff, seorang penyanyi dan pemuzik yang tidak asing lagi. Bapa saudara Aliff pula ialah sahabat saya Zulkifli Omar seorang pencipta lagu, penyanyi dan pemain muzik yang kini tinggal di Seberang Jaya, Seberang Perai.

Terdapat tiga buah lagu baru dalam album ini.
Lagu 1, Alaisya Nyanyian Aliff Razali Lagu/Lirik: Aesar Mustafa
Lagu 2, Tiga Malam Ada Bintang Nyanyian Aliff Razali Lagu/Lirik: Aesar Mustafa
Lagu 3, Tiada Rasa Nyanyian Aliff Razali dan Ika Nabella Kompuser: Faiz Azizi Lirik: Juan Danza

Saya kenal rapat dengan Aliff dan keluarganya sejak beliau masih kecil lagi. Aliff membesar di Seberang Jaya dan kemudian berpindah di Taman Guar Perahu Seberang Perai. Semoga lagu-lagu dan album Aliff ini akan mendapat sambutan dan diminati ramai. Jika ingin mengundang Aliff Razali untuk sebarang persembahan sila hubungi saya (omara) di talian: 013-4220091.

Khamis, Ogos 27, 2009

Poster 24 Tahun Yang Lalu Persembahan Pentas Di Penaga


Poster kenang-kenangan. Kira-kira 24 tahun yang lalu, saya bersama-sama dengan persatuan pimpinan saya Kumpulan Senibudaya Dan Drama Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai telah menganjurkan sebuah persembahan pentas terbesar selama dua malam yang diberinama Malam Setangkai Irama.

Persembahan bertempat di Dewan Penaga, Penaga, Seberang Perai Utara telah diadakan pada 5 dan 6hb. Mei 1985. Artis-artis yang terlibat ialah - Nasir P. Ramlee, Liza Abdullah, Malek Redzuan, Azlina Aziz, A.R. Badol, Norlia Ramly, Yahya Sulung dan Ibrahim Pendek. Band iringan ialah Band Chandeni pimpinan Hamid Khan.

Satu peristiwa yang tak dapat dilupakan ialah apabila sekumpulan penonton bertindak ganas ingin mengganggu artis wanita terutamanya Azlina Aziz yang sedang menyanyi. Saya terpaksa melarikan Azlina Aziz, Norlia Ramly dan Liza Abdullah dengan kereta bawa pulang ke hotel di Butterworth untuk menyelamatkan keadaan. Keesokkan harinya kami telah buat aduan di Balai Polis Butterworth. Persembahan malam ke dua diteruskan dengan bantuan pihak polis dan keadaan kembali tenang.

Ahad, Ogos 23, 2009

Tetamu Dari UPSI Temui Saya Di Hari Puasa Ke 2


Pagi Ahad, puasa hari ke dua, saya menerima kunjungan tetamu dari 10 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Mereka ialah Mohamad Fadhli, Nurul Nisahanis, Robihah, Azwin, Nurulasikin, Nur Atiqah, Noor Diyanah, Nur Ain, Siti Nor Adzlia, Muhd Anwar Saifuddin. Muslim dari UITM Permatang Pauh turut membantu perjalanan mereka.

Saya terharu kerana kedatangan mereka dari Tanjong Malim semata-mata untuk mendalami bidang kesenian warisan ghazal parti dari utara. Disamping itu saya juga memberi penerangan mengenai seni warisan boria yang berasal dari Pulau Pinang. Dari pengakuan mereka, saya yakin yang kesemuanya benar-benar meminati seni warisan ini dan tidak mahu ianya tercemar dengan arus kemodenan. Ini menidakkan tanggapan saya selama ini kerana merasakan generasi muda kurang meminati kesenian warisan di negara kita.

Semoga bakal-bakal pendidik ini akan membantu generasi akan datang untuk menyambung dan melestarikan segala seni dan warisan di negara kita supaya ianya tetap terpelihara. Salam kepada Puan Kalsum binti Umar, Pensyarah Kursus Budaya dan Warisan Nasional UPSI.

Selasa, Ogos 18, 2009

Omara Production Muncul Kembali


Setelah 10 tahun Omara Production berehat dari mengeluarkan album rakaman, kini ianya muncul kembali dengan terbitan sebuah album terbaru Kumpulan GALAPAGOS. Saya, pemilik Omara Production gembira kerana dapat meneruskan penerbitan album walaupun kini jualan-jualan album tidak lagi rancak seperti dahulu.

Komposer Md. Din yang tidak asing lagi di Utara adalah teraju utama dalam pembikinan album ini kerana beliau telah berjaya mencipta beberapa buah lagu-lagu baru yang bertenaga. GALAPAGOS, yang terdiri dari Chik, RockyDin, YY dan Omara akan mengemukakan konsep jenaka santai sambil berhibur.

Kerana kedatangan hari raya semakin hampir, Kumpulan GALAPAGOS menyiapkan dulu sebuah lagu raya hasil ciptaan Md. Din dan lirik pula oleh Omara (saya sendiri). Dalam lagu ini terdapat sketsa jenaka pendek mengenai suasana menyambut hari raya. Jika semuanya berjalan lancar, InsyaAllah lagu hari raya ini akan berkumandang di radio-radio sebelum hingga selepas hari raya ini. Harap mendapat sokongan semua. Terima kasih.

Gambar Kiri: Kompuser Md. Din, Omara dan YY di studio.

Gambar Kanan: Dj YY, Chik, RockyDin dan Omara semasa rakaman.

Klik untuk ke GALAPAGOS

Sabtu, Ogos 15, 2009

Di Festival Filem Klasik Paradise Kali Ke 5


Malam 12 Ogos lepas saya bersama-sama dengan bintang-bintang filem klasik di Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang. Datuk Aziz Sattar dan Imuda berkali-kali telefon ajak saya ke sana walaupun saya tidak terlibat dengan majlis Festival Filem Klasik Paradise buat kali kelima yang diadakan selama tiga hari itu.

Saya bersama-sama mereka di majlis makan malam di tepi pantai sambil berkaraoke. Turut bersama ialah bintang-bitang filem Klasik yang tidak asing lagi iaitu; Datuk Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof , Salma Ahmad, Rozita Rohaizad, Aimi Jarr, Tan Sri Jins Shamsuddin, Kassim Masdor, Kuswadinata dan ramai lagi.

Mariani, Uji Rashid dan Hail Amir tiba lewat sedikit di malam itu. Saya bersama-sama Datuk Aziz Sattar, Kassim Masdor dan Imuda telah berbual-bual di lobi hingga jam 2.30 pagi. Banyak ilmu-ilmu dan nasihat serta cerita-cerita Datuk Aziz di zaman kegiatannya semasa di Studio Jalan Ampas turut diceritakan.

Tahniah kepada Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan Festival Filem Klasik Paradise buat kali kelima tersebut dengan jayanya. Tayangan filem Sumpah Puntianak, Pendekar Bujang Lapuk dan Panca Delima serta bengkel dan diskusi diadakan khusus untuk para peserta yang terbabit sepanjang festival itu berlangsung.

Gambar: Datuk Aziz Sattar, Omar Hashim (saya) dan pencipta/pengubah lagu yang tidak asing lagi Kassim Masdor dari Singapura. Foto diambil oleh: Imuda.

Sabtu, Ogos 08, 2009

Ismail Jaafar Pemenang Pencipta Nama Proton Saga Pertama



Berikutan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan kereta buatan Malaysia, seluruh rakyat telah dipelawa untuk mengambil bahagian menamakan motokar nasional tersebut. Peraduan anjuran Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) telah menarik penyertaan 102,823 orang. 

Staf Sarjan Ismail Jaafar yang bertugas di Markas Tentera Dua Divisyen di Pulau Pinang telah diisytihar pemenang apabila beliau menamakan motokar nasional sebagai Proton Saga. Pelancaran Proton Saga telah dilakukan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 1 September 1985. 

Gambar Kiri: Pemenang Pencipta nama kereta Proton Saga Yang Pertama Staf Sarjan Ismail sedang mengangkat tangan doa (kanan) dengan bapa saya Hj. Md. Hashim Taib (sebelah kiri) di satu majlis.

Sebagai anak Pulau Pinang saya gembira kerana pencipta namanya juga dari Pulau Pinang.

It’s been a long time since Proton involved the public in naming its model; 24 years to be exact. Back in 1984, the company invited Malaysians to name the very first model of the Malaysian National Car and 102,823 entries were submitted proposing 334 names, of which three were short-listed – Saga, Perdana and Gagah. As we now know, Saga was chosen and of the 11 entries that had proposed that name, the one from Ismail Jaafar of Penang was picked as the lucky winner of a Proton Saga 1.3S.

Selasa, Ogos 04, 2009

Ahmad Rejab Pernah Tinggal Di Rumah P. Ramlee


Namanya Ahmad Rejab ataupun dikenali dengan panggilan Ahmad Joko. Beliau pernah tinggal bersama-sama dengan keluarga P. Ramlee di Pulau Pinang. Ahmad ada pertalian saudara dengan keluarga emak P. Ramlee iaitu Che Mah. Zazaloma salah seorang anak angkat P. Ramlee sebenarnya adalah anak Ahmad Rejab.

Di awal tahun 80an saya telah pergi ke Singapura mencari Ahmad Rejab. Dia gembira dan menyambut kedatangan saya. Saya banyak menemuramahnya mengenai kisah P. Ramlee di zaman kanak-kanak kerana beliau yang tinggal bersama dengan keluarga mereka memang lebih mengetahui serba sedikit mengenai P. Ramlee dan ibu bapanya.

Selepas saya pulang dari Singapura, saya kerap menghubungi beliau melalui telefon dan surat. Beliau telah mengirimkan dua keping gambarnya sedang bermain saxephone dan bersama P. Ramlee. Rupa-rupanya pertemuan saya dengan Ahmad Rejab di Singapura itu adalah kali pertama dan terakhir. Selepas itu saya mendapat berita dari Kassim Masdor memberitahu yang Ahmad Rejab telah meninggal dunia.

Gambar Kiri - Ahmad Rejab sedang bermain saxephone.
Gambar Kanan - Ahmad Rejab, Yusnor Ef, Anaknya Zazaloma dan Haslinda Rohaizat.

Ahad, Ogos 02, 2009

Maidin Dah Keluar IJN, Terus Sambung Lakonan

Alhamdullilah Maidin dah sihat. Dia dah keluar IJN dan berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur. Khabarnya Maidin akan terus menyambung lakonannya dalam siri Gerak Khas arahan Majid Salleh terbitan Dato' Yusof Haslam.

Pelawak Maidin Ibrahim baru-baru ini dikejutkan dengan masalah gangguan kesihatannya dan telah dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur. Semoga beliau terus pulih dan sihat seperti sediakala. Dalam babak lakonan yang akan disambung semula, Maidin akan diberikan dengan lakonan ringan yang tidak banyak buat pergerakan.

Maidin yang tinggal di Sungai Petani, Kedah sebelum ini kerap ke Kuala Lumpur kerana undangan persembahan, rakaman dan pengambaran.

Nasi Kandar Papdom Masih Jam 8.30 Pagi Hari Isnin


Esok (3 Ogos 2009) Siri 'Nasi Kandar Papdom' tetap keudara di Radio Malaysia Mutiara FM setiap hari isnin jam 8.30 pagi. Dalam rancangan ini, kami Kumpulan GALAPAGOS membawakan sketsa-sketsa isu semasa disamping lagu-lagu secara santai dan sepontan.

Pendukung watak ialah; Chik (Pelawak/pelakon/penyanyi/pemain bongo), YY atau Yassier Yusof (Deejay/penyanyi/pencipta lagu), RockyDin (Penyanyi/pemain gitar) dan saya sendiri Omara (Pelakon/penulis lirik/pemain marakas).

Selamat mengikuti NASI KANDAR PAPDOM. Klik DI SINI untuk radio online ataupun frekuensi di Pulau Pinang ialah 95.7 dan 93.9.