MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Khamis, Ogos 25, 2011

Menerbit dan Mengeluarkan Album Untukmu Hijau Kuning dan Hijau Kuning Raya Sakan


Penghujung tahun 1990 rakan sekampung saya A. Osman datang ke rumah membawa gitar sambil menyanyikan lagu lagu ciptaannya sendiri. Saya tertarik hati lalu rakamkan lagu lagu itu ke dalam kasset dan saya berhasrat hendak terbitkan album. Saya hubungi M. Shariff melalui telefon dan perdengarkan lagu lagu itu, M. Shariff kata memang baik kalau dijadikan album dan dicampur dengan lagu lagu saduran dari filem hindi.

Akhirnya saya cari modal, dan bermulalah sejarah saya sebagai penerbit dan pengeluar album ketika itu yang diberinama Omara Production. Lagu lagu A. Osman yang saya pilih ialah Maidin Gelap, Jodoh Depa, dan Chombi Abang Sayang . Lain lain ciptaan M. Shariff dan lagu saduran. Kebanyakkan irik saya tulis sendiri.

Susunan muzik M. Shariff. Pemuzik - Sugito, Kg Tan dan M. Shariff sendiri dengan bantuan The Zurah II. Jururakam - Ismail dan Thana. Adun Akhir - Mr. Teh dari Studio Channel II Kuala Lumpur.

Album yang saya terbit dan diedarkan sendiri ini tak sangka 'meletup' di pasaran dan terjual sehingga melebihi 200,000 unit. Sehingga kini lagu lagu dari album ini diminati ramai walaupun telah berlalu lebih duapuluh tahun.

Latar belakang penyanyi:

M. SHARIFF

M. Shariff dilahirkan di Ipoh, Perak. Nama asalnya ialah Shariff bin Awang. Beliau mula berkecimpung dalam bidang muzik semenjak di bangku sekolah lagi.

Pada tahun 1970, beliau merakam buat kali pertama dengan kumpulan The Zurah untuk empat buah lagu Inggeris dalam satu EP. Kemudian, beliau merakam dalam bahasa Melayu dengan lagu Keindahan Pantai (lagu asal: Suddenly She Loves Me persembahan The Tremeloes) keluaran M. Shariff's Scope milik beliau sendiri pada tahun yang sama. M. Shariff juga banyak merakam dengan syarikat MMI/Royal, kebanyakannya lagu-lagu saduran Hindi. Untuk tujuan ini, beliau juga sempat ke India dan berguru dengan komposer terkenal Shankar Jaikishan bagi memantapkan lagi persembahannya.

PIEE

Pie atau Shafiee Jaafar, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Pie akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an. Sebelum menyertai kumpulan boria, Pie lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Pak Pie yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Pak Pie boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Pie mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963.

MAIDIN

Maidin pula dilahirkan di Sungai Puyu, Butterworth. Asalnya Maidin berlawak dengan kumpulan Ghazal Parti di Seberang Perai.

Nama : Maidin Bin Ibrahim
Nama Komersial : Maidin
Tarikh Lahir : 24 April 1941
Antara Drama Lakonan : Tiga Serumah dan banyak lagi
Antara Filem Lakonan :Mami Jarum

Maidin pernah berlawak dengan Din Korea. Kemudian menyertai kumpulan lawak Mohd. Noh B.A. bersama sama dengan Cikgu Mohd. Noh dan Toran Senapi. Pernah memenangi Juara pertandingan Bakat Tv di RTM tahun 80an dulu dengan Kumpulan Hassan Putu Mayong bersama sama dengan Hassan Putu Mayong dan Din Kachong.






Isnin, Ogos 22, 2011

Rakan Seperjuanganku Azizi Hj. Abdullah meninggal dunia






Pagi 21 Ogos 2011 saya terima telefon dari sahabat saya Arzaman Sulaiman beritahu rakan seperjuangan saya dibidang penulisan Sdra Azizi Hj. Abdullah telah meninggal dunia. Saya cuba mengesahkan berita tersebut dengan menantunya Jibran Khalil melalui telefon. Setelah tulis sedikit catatan di Facebook, saya dengan adik saya Yusof Hashim bergegas pergi ke rumah arwah di Taman Bersatu, Kulim Kedah untuk menziarahi jenazahnya.

Ramai kawan-kawan penulis dah sampai awal. Ada juga yang sampai kemudian. Saya dan Yusof ada di sepanjang waktu sehingga jenazahnya dibawa keluar untuk disemadikan di masjid yang berdekatan.

Kami dah kenal lama dengan Ustaz Azizi, sasterawan dan penulis yang tidak asing lagi ini sejak dari akhbar Bintang Timur. Saya juga terlibat membuat 'layout' dan menyusun beberapa buku dan novel yang dikeluarkan oleh Azizi. Azizi juga pernah minta saya semak ejaan dan apa apa yang tertinggal dalam beberapa buah bukunya sedikit masa dulu.

Antaranya saya terlibat dalam novel SURIATI yang dicetak semula. Selain itu buku buku politik tulisan Azizi.

Kali terakhir Azizi telefon saya beberapa bulan lalu sebelum arwah masuk ke Hospital. Dia suruh saya menulis untuk akhbar Utusan Pengguna P. Pinang dimana dia menjadi editornya. Saya mengaku, tapi malangnya saya tak berbuat apa apa lagi. Sebelum tu ada dua tiga artikel yang saya tulis dalam Utusan Pengguna tidak lama dulu.

Arwah juga pernah mengajak saya mengikutnya ke Baling, Kedah menyampaikan zakat dan bantuan kepada fakir miskin tidak lama dulu.

Disamping itu arwah juga ada menulis skrip dari cerita asal adik saya Yusof untuk dijadikan skrip Telemovie RTM dan TV3 keluaran saya dalam tahun 1988 dan 1989 iaitu Debu Debu Tanjung dan Menebus Maruah.

Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan ketika berkawan dengannya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.

FAKTA: Penulis & novelis terkenal Azizi Hj Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi 21 Ogos 2011. Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan. Allahyarham menjani pembedahan jantung pada bulan April yang lalu dan mengalami sedikit masalah berkaitan buah pinggang dan berada di hospital sehingga kematian beliau.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Tema penulisan Azizi berintikan agama dan rohani telah mengukir nama sebagai penulis yang berpengaruh di Malaysia. Antara karya beliau yg terkenal ialah "Seorang Tua Di kaki Gunung" yang diangkat menjadi drama TV. Banyak novel dan cerpen karya Allahyarham mendapat pengiktirafan, antaranya Anugerah SEA Write Award (1988) dari Thailand.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cekal dalam perjuangan Islam dan adalah antara aktivis yang gigih dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisannya.

Blog Allahyarham http://aziziabdullah.blogspot.com/ kali terakhir dikemaskini pada 15 April 2011 semasa Allahyarham hendak menjalani pembedahan jantung.

Ahad, Ogos 21, 2011

Terima gambar Dato' L. Ramli dan Datin Kamariah



Terima gambar ini dari sahabat saya L. Ramlie.

Tahniah kini penyanyi yang terkenal dari tahun 60an hingga sekarang ini telah bergelar Dato' Hj. L. Ramli dan isterinya Datin Hajjah Kamariah Yatim.

Gelaran ini diterima dari Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang sempena ulang tahun hari jadi TYT baru baru ini.

Setinggi-tinggi tahniah dari saya dan rakan rakan seperjuangan. Semoga Dato' diberkati Allah terus sihat sejahtera dan terus perjuangkan lagu-lagu irama 60an.

Beliau dilahirkan pada tahun 1942 di Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang, dari keturunan campuran Melayu dan Siam. L. Ramli mula menceburkan diri dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya.

Beliau kemudiannya merakamkan lagu Dara Pujaan pada tahun 1962 bersama kugiran Orkes Teruna Ria. Apabila mendapat sambutan hangat, beliau terus merakamkan lagu-lagunya bersama kugiran ini seperti Antara Kau Dan Aku, Salma, Pertemuan Terakhir, Puja, Nasib Si Pungguk, Oh Nona, Teruna Pun Tidak Dara Pun Bukan dan Sudah Ku Katakan.

Beliau telah menghasilkan 12 album sehingga 2004. Dara Pujaan (1962) bersama kugiran Orkes Teruna Ria Kenangan Bersama Dara Pujaan bersama Band Delima dengan tajuk Dara Pujaanku.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Kumpulan Nasyid FANA


Alhamdulillah. Kumpulan Nasyid FANA ditubuhkan dalam bulan Ramadhan bersamaan Ogos 2011 di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Terdiri dari Naizatul Azwa (penyanyi), Zulkipli Omar (penyanyi dan pemain keyboard), Helmi Dali (penyanyi dan gitar), Syafiq Salih (penyanyi dan bonggo) dan Omar Hashim Omara (pemain marakas/shaker).

Selain dari lagu-lagu sendiri, kami juga persembahkan lagu-lagu yang bercorak keinsanan disamping mengacarakan majlis secara santai.

Jika ada undangan boleh hubungi kami di talian: Omara - 013 4220091 atau email: omara353535@hotmail.com .