MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Selasa, September 04, 2012

Seniman Omar Rojik dalam Kenangan


Kenangan saya bersama-sama dengan Amin Khan dan Omar Rojik semasa buat pengambaran kat Butterworth

Seniman/Pengarah Filem Omar Rojik atau nama sebenarnya Omar Ali saya kenal di penghujung tahun 80an. Beliau telah mengarah drama Tv pertama terbitan saya iaitu 'Debu Debu Tanjung' dalam tahun 1988 siaran TV3. Omar Rojik yang lebih mesra saya panggil abang Omaq yang berasal dari Kedah senang mesra orangnya dan mudah diajak berbincang. Sesekali dia datang ke rumah saya bersama-sama isterinya Seniwati Norsiati yang kampung asalnya di Kampong Jawa, Butterworth.

Kali terakhir saya menemuinya semasa kenduri kahwin anaknya Puteri yang diadakan di Kampong Jawa, Butterworth. Beliau meninggal dunia mungkin dalam tahun 1998 di Selangor. Saya tak sempat menziarahi jenazahnya.

Yusof Hashim (adik saya), Norsiati, Omar Rojik dan saya semasa berbincang mengenai Drama Tv Debu Debu Tanjung
Omar Rojik
Omar Rojik berhijrah ke Singapura di mana ketika berada di situlah beliau bertemu dengan R. Azmi yang telah mendapatkannya pekerjaan sebagai buruh kasar di Syarikat Malay Film Productions (MFP). Dari situlah beliau mula mengenal dunia filem tempatan. Beliau merupakan anak Melayu yang diberi peluang mengarah di Syarikat MFP. Pembabitan beliau dalam bidang lakonan bermula apabila beliau telah diberi tugas memegang beberapa peranan kecil hinggalah ke peranan yang agak besar.

Dalam perbualan dengannya, Omar Rojik memberitahu dia ialah penulis cerita asal filem Dr. Rushdi, Antara Dua Darjat dan Semerah Padi. Sebelum dia meninggal dunia, Abang Omar pernah datang ke rumah saya mencari video vhs filem Antara Dua Darjat. Adik saya Yusof Hashim ada simpan video yang dirakamkan dari tv ini dan Omar Rojik pinjam, katanya dia nak buat semula filem ini berdasarkan dari cerita asal yang dihasilkannya dulu. Dia juga pernah bercadang dan berbincang dengan M. Shariff hendak menghasilkan semula filem A Go Go 67. Tapi malangnya kedua dua cadangan ini tidak berjaya dilaksanakan hinggalah beliau meninggal dunia.

Omar Rojik sedang mengarahkan Drama Tv terbitan saya di Jelutong, Pulau Pinang tahun 1988
Omar Rojik penulis cerita Antara Dua Darjat
Antara filem-filemnya lakonannya ialah: Nasib Si Labu Labi, Sarjan Hassan, Panggilan Pulau, Istana Impian, Miskin, Matahari, Rayuan Sukma dan beberapa buah lagi. Filem arahannya pula ialah – Sayang Ibu, Talak, Mat Salleh Pahlawan Sabah, Si Luncai, Gila-Gila,
Sayang Si Buta, Lanang Sejagat, Puaka, Kalau Berpaut di Dahan Rapuh  dan lain lain. Cerita asalnya pula ialah untuk filem – Semerah Padi, Antara Dua Darjat, Sabarudin Tukang kasut, Talak, Dr Rushdi, Si Luncai, Gila-Gila.

Omar Rojik juga membuat skreen play (screenplay) untuk filem – Dandan Setia, Megat Terawis, Sabarudin Tukang Kasut, Gila-Gila, Si Luncai, Mat Saleh Pahlawan Sabah, Talak.

Drama Tv terbitan saya VK Filem Production arahan Omar Rojik, lakonan Imuda
Saya bertemu kembali dengan isteri Allahyarham iaitu Norsiati semasa majlis akad nikah dan perkahwinan Seniman Aziz Sattar yang diadakan di Masjid Shah Alam setahun yang lalu. Semoga Roh Allahyarham bang Omaq ditempatkan Allah bersama-sama dengan orang yang beriman dan dicucuri rahmat.
 



Omar Rojik dalam Filem Matahari
Omar Rojik dalam Filem Sarjan Hassan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan