MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Ahad, Oktober 25, 2009

Sajak Bangun Dan Runtuh SINAR ZAMAN 1974







Beberapa buah sajak karya saya juga pernah disiarkan di ruangan sajak Majalah SINAR ZAMAN terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan, Kuala Lumpur di tahun 70an dahulu. Salah sebuah - sajak bertajuk 'BANGUN DAN RUNTUH' yang saya hasilkan semasa tinggal di ibukota Kuala Lumpur ketika itu.

BANGUN DAN RUNTUH

Kau kotaku yang bangun
mewah khazanah kaya raya
bangunan perkasa meninggi raksaksa
mencakar-cakar langit terpaku.

Kau kotaku yang runtuh
membunuh para dada yang lupa
perutmu menuju kehancuran
pesta nafsu membunga-bunga
membutakan mata terbuka.

Kau kotaku yang bangun
adalah kau kotaku yang runtuh
telah kemarau perutmu sayang
malam-malammu tak berhujung
titik-titik hitam tertanda.

Kau kotaku yang bangun
esok bangunlah lagi. Bangunlah
gema perniagaan dan perusahaan
membunga kemewahan zaman agung
kota kaya raya milik bersama.

Kau kotaku yang runtuh
esok berhentilah. Berhentilah
bangun dari keruntuhan yang luruh
berdiri sebuah kekuatan.

Omar M. Hashim
Kuala Lumpur

Jumaat, Oktober 23, 2009

Hari Ini Ulangtahun Kelahiran Anak Bungsu Asymawi ke 14



Hari ini (23 Oktober 2009) ialah sambutan ulangtahun kelahiran anak bungsu Muhammad Asymawi yang ke 14 tahun. Pada 9hb. Oktober baru-baru ini pula ialah hari ulangtahun kelahiran anak sulung Muhammad Asyadi yang ke 31 tahun.

Sempena bulan yang sama, kami ambil keputusan buat sedikit majlis sambutan untuk mereka berdua serentak. Secara sederhana, bersama dengan kaum keluarga terdekat sahaja. Alhamdullilah, semoga diberkati Allah ke dua-dua mereka hidup berjaya, diberikan rezeki, sihat, panjang umur dan diberikan Iman.

Muhammad Asymawi sedang belajar dalam tingkatan 2 dan diharap akan lebih beri perhatian dan tumpuan di bidang pelajaran. Dunia dan akhirat sama-sama pentingnya.

Gambar: Kiri - Asyamawi dan Kanan - Asyadi. (adik dan abang).

Selasa, Oktober 20, 2009

Tahun 2009 Musim Tulis Lirik Lagu Pula


Alhamdullilah, sekarang ni jadi musim tulis lirik lagu pula. Saya dah selesai menghasilkan empat lirik untuk empat buah lagu baru ciptaan Komposer Md. Din As-Sallam dan sebuah lirik lama tulisan saya yang diberikan nafas baru. Lirik 'Salam Hari Raya' telah siap dirakam dan diterbitkan bulan Ramadhan lalu. Lagu ke 2 - 'Malam', ke 3 - 'Syukurku atas nikmatMu', ke 4 - 'Suara Yatim' dan ke 5 - 'Putu Mayong Rock' (dari lirik lama).

Syukurku Atas NikmatMu

Maha Besar pencipta diriku

Yang menjadikan ku manusia

Kudilahirkan dan dibesarkan

Kukecapi nikmat kehidupan

Wahai Yang Maha Pengasih

Wahai Yang Maha Penyayang

Pemberian Mu ku syukuri

Rahmat Mu ku nikmati

Apalah dayaku di kehidupan ini

Jika nikmatmu tidak kau beri padaku

Siapalah diriku di dunia ini

Jika pemberian Mu ditarik kembali

Ya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa

Syukurku atas segala nikmatmu itu

Tambahkan aku iman dan takwa

Tetapkan hatiku hanya pada Mu Ya Tuhan ku

Setiap detik masa berlalu

Kekalkan hatiku mengingati Mu

Siang dan malam kumerindui Mu

Hanya yang satu Allah ya Tuhanku

Ya Allah kekalkan diriku

Ya Allah tetapkan diriku

Menjadi seorang hambaMu sejati

NikmatMu terus kau beri

Padaku dan semua

Tiada terkira nilainya nikmatmu oh Tuhanku


Tiga lagu untuk Album terbaru Kumpulan GALAPAGOS dan dua buah lagu lagi untuk Album terbaru Fardiana yang sedang dalam proses rakaman. Semoga album ini akan berjaya nanti dan lagu-lagu lirik tulisan saya ini akan diterima oleh peminat-peminat seni suara.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Artikel Dalam URTV - Tahun 1976 - Penyanyi A. Razak



Artikel tulisan/gambar oleh saya 'A. Razak Nak Dapat Cahayamata' telah disiarkan di Majalah URTV (Utusan Radio Dan Tv) keluaran 1hb. Julai 1976. Petikan artikel ini:


".....Penyanyi A. Razak gembira menunggu kelahiran cahayamata yang pertama hasil perkongsian hidupnya dengan isterinya Cik Norhafiz Abdul Aziz dari Johor Baharu. Mereka yang telahpun mendirikan rumahtangga kira-kira sepuluh bulan lalu sedang mencari-cari nama yang sesuai dan istimewa bagi anak yang bakal dilahirkan ini. Sementara itu A. Razak Ismail yang terkenal dengan rekod pertamanya 'Bintang Malam Ini' kini merakamkan lagi empat buah lagu-lagu terbarunya ke piringhitam dengan label SENADA terbitan Kassim Masdur. Menurut A. Razak, lagu-lagunya kali ini lebih istimewa dari dulu kerana terdapat irama joget dan sentimental hasil ciptaannya sendiri bersama-sama dengan Omar Taib, Yusof Hamid, Mohd. Akta dan A. Ramli. Beliau yang kini bertugas dengan RTM Johor Baharu sibuk menerbitkan rancangan-rancangan bercorak hiburan di rangkaian Nasional di samping menyanyi....."


Gambar: Artikel/Tulisan saya di URTV kira-kira 33 tahun yang lalu masih menjadi kenangan

Jumaat, Oktober 09, 2009

Selamat Hari Jadi Asyadi Yang Ke 31



Selamat Hari Lahir Yang ke 31 diucapkan kepada anakku Muhammad Asyadi, yang menyambut harijadinya pada hari ini 9 Oktober 2009. "Ya Allah! Panjangkanlah umur anakku Muhammad Asyadi, Kuatkanlah imannya, Perbanyakkanlah rezekinya, Berikanlah keberkatan kepadanya, Berilah kejayaan kepada setiap usahanya. Sihatkanlah seluruh tubuh badannya dan jauhilah dia dari sebarang bahaya dan bencana. Amin....!".

Muhammad Asyadi dilahirkan (oleh ibunya Azizah) di Hospital Bukit Mertajam pada hari ini 9 Oktober 1978. Telah melangsungkan perkahwinan dengan Norizah dan mendapat seorang cahaya mata lelaki Muhammad Amsyar (5 tahun).

Disiarkan gambar-gambar Asyadi dari kecil hingga besar. Gambar Kiri: Saya mendukung Asyadi.
Gambar Kanan: Asyadi sekarang (2009).

Rabu, Oktober 07, 2009

Majalah X-Ray Di Tahun 2002/2003





Majalah X-RAY - 'Dah La Kartun, Lawak Pula....' saya hasilkan bersama-sama dengan adik saya Kartunis Yusof M. Hashim (Pak Kojek) juga rakan-rakan JoDesa, Sha, Kalam, Sitora, Ahmad Shah Hanafiah, Jalel, Mat Udoh, Mat Leh, Mazli, Sam, EzWan, Dion, Ranum, S. Mohamad, Uda dan Ucop. Majalah X-Ray sebuah majalah jenaka dan kartun. Jika kekurangan bahan, saya sendiri terpaksa mencari idea-idea lucu untuk ditulis dan ditambah ke dalam majalah ini.

Tahun 2002/2003 saya menjadi Editor Kumpulan kepada 5 buah majalah. Kisah Benar, Koleksi Misteri, Pelik Benar, Kena dan X-ray terbitan Kalam Ilham Sdn. Bhd. Batu Caves, Selangor. Pejabat Editor terletak di Bandar Sunway, Seberang Jaya, Seberang Perai. Dalam sebulan kami mesti siapkan 5 buah majalah. Kerja 24 jam. Tetapi atas satu sebab yang tidak dapat dielakkan, saya menutup pejabat di Seberang Jaya dan menarik diri jadi menjadi editor dan pengurusan kesemua penerbitan ini.

Gambar Kiri Bawah - Yusof M. Hashim (Pak Kojek) Ketua Kartunis X-Ray

Sabtu, Oktober 03, 2009

Sajak Saya KINI di Akhbar Berita Minggu 1973



Sebuah lagi sajak saya yang telah disiarkan di akhbar BERITA MINGGU pada Ahad, 18 November, 1973. Ketika ini usia saya 19 tahun, baru mula dapat kerja di Kuala Lumpur.

KINI

Gunung-gunung telah runtuh
ranting-ranting telah jatuh
daerah ini mati kini
gema sebuah kemerduan.
Maka berlarilah kaki-kaki
sebuah pendakian
hari-hari yang sepi
mati bersama suci
luruh di tangan.
Sebuah kebenaran
hanyalah mimpi-mimpi
di kaki-kaki.

Omar M. Hashim
Kuala Lumpur.