MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Khamis, Ogos 19, 2010

Rejab Had Raja Kartunis - Kehilangannya Dirasai








Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had. Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang. Allahyarham ada pertalian saudara dengan saya. Adik saya kartunis/pelawak Yusof M. Hashim ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Kojek banyak belajar dari Allahyarham.

Sesekali Pak Jab akan pulang ke kampungnya di Titi Timbul Permatang Pauh, Seberang Perai. Dia akan cari kami dan kawan-kawan kartunisnya di Pulau Pinang. Sembang-sembang. Kadang-kadang buat perjumpaan atau kursus melukis. Anehnya, dia gemar berjalan kaki ke sana kemari walaupun dalam perjalanan yang jauh. Kali terakhir berjumpa dengannya, dia pulang untuk menandatangani perjanjian dengan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dan perasmian Gelanggang RejabHad. Majlis bersejarah ini menyaksikan Allahyarham menurunkan tandatangan bersama TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ramai orang tidak tahu, siapakah pula guru atau orang yang banyak membimbing RejabHad? Saya pernah dibawa oleh arwah bertemu dengan Allahyarham RashidDin atau nama kartunis Pak Bai yang juga tinggal di Permatang Pauh. Itulah dia idolanya.

Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.. Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.. Dia mengakhiri hayatnya pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Di antara koleksi kartun Rejabhad yang popular dan diminati oleh pelbagai peringkat umur sehingga hari ini ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Perjuangan dan pergorbanan Raja Kartun Malaysia ini harus diteruskan oleh kartunis-kartunis masa kini sampai bila-bila dengan meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa.

Di akhir hayatnya dia pernah berpesan kepada adik saya Yusof supaya kerap menganjurkan bengkel-bengkel lukisan kartun di Utara. Dan ketika Yusof sedang mengadakan bengkel lukisan kartun di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas pada 14 November 2002, pelawak Imuda telefon Yusof beritahu kematian Pak Jab yang berusia 63 tahun ini.

Abangnya Cikgu Nuruddin Had dan adiknya Siraj Had masih ada lagi. Kasa Had telah meninggal dunia baru-baru ini. Bapanya Pak Had yang terkenal sebagai pawang menangkap buaya telah lama meninggal dunia. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh RejabHad dan keluarganya.

7 ulasan:

  1. Dulu masa sekolah saya suka membaca kartun2 beliau dalam gila2..seronok dulu2...tak macam sekarang...
    Alfatihah untuk arwah En Rejabhad

    BalasPadam
  2. Al Fatihah. Terima kasih Khadijah Mohamed. Idea ideanya sungguh serasi dengan sebarang suasana...

    BalasPadam
  3. mertua saya tinggal di kg Bagan Serai..
    dan saya sering jumpa adik beliau Siraj Had,bila berjemaah di surau(biru) kg tersebut..

    Al-Fatihah utk arwah Rejabhad..
    //wahab

    BalasPadam
  4. Ya tkasih KB, harap SirajHad sihat walafiat... Lama tak jumpa dia...

    BalasPadam
  5. arwah Rejabhad ialah bapa angkat saya
    cikgu Nuruddin ialah gurubesar semasa saya di sekolah rendah kebangsaan hashim awang kepala batas
    Al-Fatihah untuk arwah...

    BalasPadam
  6. Tkasih Sdra Afendi Arifin,
    Bagus kita dapat kongsikan cerita.
    Cikgu Nuruddin tinggal di Sungai Puyu, Butterworth dan isterinya Pn. Inson rakan sekelas masa sekolah rendah dahulu.

    BalasPadam
  7. Salam,
    Ini lah tok guru saya yang bawa masuk kartun saya si Mekar diGG pada sekitar tahun 1984. Gambar bersama beliau di Pulau Pinang masih ada iaitu himpunan kartunis Utara. Pernah naik bas pergi pameran Kartunis di USM. Dia orang pertama bawa saya ke USM 1984.
    Al Fatihah...saya pengasas halalsurf.com social network
    Rustam Rizalman Ghazalli
    012320 6127

    BalasPadam