MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Selasa, Oktober 18, 2011

A. Rahim Muda (Imuda) dan Omar Hashim (Omara)










Nama sebenar Abdul Rahim bin Muda. Lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 13 Disember 1959, Nama dia Im, dan bapanya, Muda, maka jadilah Imuda. Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Prai dan kemudian belajar sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam.
Melukis sejak muda lagi. Selepas tamat SPM pada tahun 1978, dia bekerja di United Books Company, sebuah syarikat yang agak dikenali ketika itu di Pulau Pinang. Imuda pernah bekerja di kilang gula di Perai.
Sewaktu majalah Gila-Gila mula meledak di pasaran pada tahun 1978, Imuda turut melukis dan kartun mula tersiar sejak keluaran kedua Gila-Gila. Kemudian dia bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sebagai pembantu pelukis. Semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Imuda mula terlibat dalam bidang lakonan, bermula dengan teater. Pada hujung 1983, Imuda telah ditawarkan watak sebagai Budin dalam pementasan Syy… yang ditulis oleh Dr Hatta Azad Khan. Selain dari berlakon dalam Drama Swasta di RTM pada tahun 1984, dia juga berhijrah ke TV3 dengan judul Kampung Seri Wangi, dan kemudiannya Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Kalau sebelum ini Imuda hanya dikenali di kalangan penggemar-penggemar kartun sahaja, dengan sitcom tersebut beliau mula popular ke seluruh negara. Malah orang ramai lebih mengenalinya sebagai Budin sahaja daripada Imuda.
Tahun 1989, Hafsham menghasilkan sitcom 2 + 1. Imuda memegang watak sebagai Sam, seorang lelaki lembut. Kerana mendapat keritikan, siri tersebut hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, berbanding dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu selama 14 tahun.
Dalam pada itu, Imuda terus menerima tawaran berlakon untuk filem, antaranya Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat ), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir. Sehingga kini Imuda masih lagi aktif sebagai pelukis dan pelakon, di samping aktiviti-aktiviti seni yang lain.

Tahun 1992 juga, menyaksikan Imuda mendapat anugerah sebagai Pelakon Pembantu Terbaik dan kemudiannya Pelakon Komedi Popular pada tahun 1993. Dan pada tahun 1993 juga, Imuda meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka selepas berkhidmat selama 15 tahun, untuk menumpukan perhatian dalam bidang lakonan.
Di samping itu, beliau terus melukis kartun, samada di rumah ataupun di masa-masa terluang.

Hingga sekarang saya panggil dia Rahim. Dulu masa remaja pun saya panggil dia dengan nama ni. Masa saya aktif dengan persatuan KUDRAT, Seberang Perai, Imuda cuba nak bercampur dengan kami terutamanya bila kami buat teater, tapi dia tak berminat kerana dia lebih suka melukis. Masa remaja dia pendiam, dia selalu ikut abangnya NoorMuda. Masa tu Imuda baik dengan adik saya kartunis juga, Yusof M. Hashim atau dikenali dengan panggilan Pak Kojek.

Penghujung tahun 80an bila saya terbitkan Telemovie untuk Tv3 berjodol 'Debu Debu Tanjung' tulisan Azizi Hj. Abdullah dan arahan Omar Rojik, kami beri tawaran kepada Imuda bawakan watak penarik beca. Saya pernah beri tawaran kat Imuda untuk merakamkan album dalam tahun 1990 tapi tak jadi kerana kesibukan Imuda. Akhirnya saya berikan tawaran kat Maidin dan Piee terbitkan album Hijau Kuning bersama M. Shariff dalam tahun 1991.
Masa Imuda di zaman bujang, dia pernah bersembang dengan saya dan adik saya Yusof dari jam 8 malam hingga ke 7 pagi di tepi pagar rumah tanpa henti sambil menampar nyamuk. Begitulah kami kalau bersembang memang susah nak berhenti.
Perhubungan saya dengan Imuda tetap berterusan. Saya pergi KL telefon dia, dan kalau dia datang ke Pulau Pinang dia pula telefon dan jumpa saya. Saya juga membantu Imuda dalam urusan perkahwinan kedua setelah isterinya yang pertama berpisah dan meninggal dunia. Imuda guna alamat rumah saya sekarang dan saya uruskan berjumpa pejabat Agama, kad pengenalan, jawatankuasa masjid di Jalan Baru, Prai. Akhirnya dia telah melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang dengan selamatnya.
Imuda dan kami berjiwa sama, minat benda-benda dan makanan lama yang susah jumpa. Hampir dua tahun saya cari buah binjai kerana dia teringin nak makan tapi entah kenapa tak jumpa jumpa. Bila dah jumpa, dia dah hilang keinginan nak makan buah binjai tu.
Kami sentiasa main sms bertukar tukar pantun. Kalau tak jumpa, tentu bercakap di telefon. Kadang-kadang kalau dia rajin sebelum balik ke Kuala Lumpur bila ada di Pulau Pinang dia jenguk saya kat ABC One Corner Taman Pauh, Bukit Mertajam. Selepas bersembang panjang, barulah dia balik ke KL.

2 ulasan: