MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Khamis, Ogos 25, 2011

Menerbit dan Mengeluarkan Album Untukmu Hijau Kuning dan Hijau Kuning Raya Sakan


Penghujung tahun 1990 rakan sekampung saya A. Osman datang ke rumah membawa gitar sambil menyanyikan lagu lagu ciptaannya sendiri. Saya tertarik hati lalu rakamkan lagu lagu itu ke dalam kasset dan saya berhasrat hendak terbitkan album. Saya hubungi M. Shariff melalui telefon dan perdengarkan lagu lagu itu, M. Shariff kata memang baik kalau dijadikan album dan dicampur dengan lagu lagu saduran dari filem hindi.

Akhirnya saya cari modal, dan bermulalah sejarah saya sebagai penerbit dan pengeluar album ketika itu yang diberinama Omara Production. Lagu lagu A. Osman yang saya pilih ialah Maidin Gelap, Jodoh Depa, dan Chombi Abang Sayang . Lain lain ciptaan M. Shariff dan lagu saduran. Kebanyakkan irik saya tulis sendiri.

Susunan muzik M. Shariff. Pemuzik - Sugito, Kg Tan dan M. Shariff sendiri dengan bantuan The Zurah II. Jururakam - Ismail dan Thana. Adun Akhir - Mr. Teh dari Studio Channel II Kuala Lumpur.

Album yang saya terbit dan diedarkan sendiri ini tak sangka 'meletup' di pasaran dan terjual sehingga melebihi 200,000 unit. Sehingga kini lagu lagu dari album ini diminati ramai walaupun telah berlalu lebih duapuluh tahun.

Latar belakang penyanyi:

M. SHARIFF

M. Shariff dilahirkan di Ipoh, Perak. Nama asalnya ialah Shariff bin Awang. Beliau mula berkecimpung dalam bidang muzik semenjak di bangku sekolah lagi.

Pada tahun 1970, beliau merakam buat kali pertama dengan kumpulan The Zurah untuk empat buah lagu Inggeris dalam satu EP. Kemudian, beliau merakam dalam bahasa Melayu dengan lagu Keindahan Pantai (lagu asal: Suddenly She Loves Me persembahan The Tremeloes) keluaran M. Shariff's Scope milik beliau sendiri pada tahun yang sama. M. Shariff juga banyak merakam dengan syarikat MMI/Royal, kebanyakannya lagu-lagu saduran Hindi. Untuk tujuan ini, beliau juga sempat ke India dan berguru dengan komposer terkenal Shankar Jaikishan bagi memantapkan lagi persembahannya.

PIEE

Pie atau Shafiee Jaafar, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Pie akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an. Sebelum menyertai kumpulan boria, Pie lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Pak Pie yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Pak Pie boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Pie mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963.

MAIDIN

Maidin pula dilahirkan di Sungai Puyu, Butterworth. Asalnya Maidin berlawak dengan kumpulan Ghazal Parti di Seberang Perai.

Nama : Maidin Bin Ibrahim
Nama Komersial : Maidin
Tarikh Lahir : 24 April 1941
Antara Drama Lakonan : Tiga Serumah dan banyak lagi
Antara Filem Lakonan :Mami Jarum

Maidin pernah berlawak dengan Din Korea. Kemudian menyertai kumpulan lawak Mohd. Noh B.A. bersama sama dengan Cikgu Mohd. Noh dan Toran Senapi. Pernah memenangi Juara pertandingan Bakat Tv di RTM tahun 80an dulu dengan Kumpulan Hassan Putu Mayong bersama sama dengan Hassan Putu Mayong dan Din Kachong.






Isnin, Ogos 22, 2011

Rakan Seperjuanganku Azizi Hj. Abdullah meninggal dunia






Pagi 21 Ogos 2011 saya terima telefon dari sahabat saya Arzaman Sulaiman beritahu rakan seperjuangan saya dibidang penulisan Sdra Azizi Hj. Abdullah telah meninggal dunia. Saya cuba mengesahkan berita tersebut dengan menantunya Jibran Khalil melalui telefon. Setelah tulis sedikit catatan di Facebook, saya dengan adik saya Yusof Hashim bergegas pergi ke rumah arwah di Taman Bersatu, Kulim Kedah untuk menziarahi jenazahnya.

Ramai kawan-kawan penulis dah sampai awal. Ada juga yang sampai kemudian. Saya dan Yusof ada di sepanjang waktu sehingga jenazahnya dibawa keluar untuk disemadikan di masjid yang berdekatan.

Kami dah kenal lama dengan Ustaz Azizi, sasterawan dan penulis yang tidak asing lagi ini sejak dari akhbar Bintang Timur. Saya juga terlibat membuat 'layout' dan menyusun beberapa buku dan novel yang dikeluarkan oleh Azizi. Azizi juga pernah minta saya semak ejaan dan apa apa yang tertinggal dalam beberapa buah bukunya sedikit masa dulu.

Antaranya saya terlibat dalam novel SURIATI yang dicetak semula. Selain itu buku buku politik tulisan Azizi.

Kali terakhir Azizi telefon saya beberapa bulan lalu sebelum arwah masuk ke Hospital. Dia suruh saya menulis untuk akhbar Utusan Pengguna P. Pinang dimana dia menjadi editornya. Saya mengaku, tapi malangnya saya tak berbuat apa apa lagi. Sebelum tu ada dua tiga artikel yang saya tulis dalam Utusan Pengguna tidak lama dulu.

Arwah juga pernah mengajak saya mengikutnya ke Baling, Kedah menyampaikan zakat dan bantuan kepada fakir miskin tidak lama dulu.

Disamping itu arwah juga ada menulis skrip dari cerita asal adik saya Yusof untuk dijadikan skrip Telemovie RTM dan TV3 keluaran saya dalam tahun 1988 dan 1989 iaitu Debu Debu Tanjung dan Menebus Maruah.

Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan ketika berkawan dengannya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.

FAKTA: Penulis & novelis terkenal Azizi Hj Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi 21 Ogos 2011. Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan. Allahyarham menjani pembedahan jantung pada bulan April yang lalu dan mengalami sedikit masalah berkaitan buah pinggang dan berada di hospital sehingga kematian beliau.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Tema penulisan Azizi berintikan agama dan rohani telah mengukir nama sebagai penulis yang berpengaruh di Malaysia. Antara karya beliau yg terkenal ialah "Seorang Tua Di kaki Gunung" yang diangkat menjadi drama TV. Banyak novel dan cerpen karya Allahyarham mendapat pengiktirafan, antaranya Anugerah SEA Write Award (1988) dari Thailand.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cekal dalam perjuangan Islam dan adalah antara aktivis yang gigih dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisannya.

Blog Allahyarham http://aziziabdullah.blogspot.com/ kali terakhir dikemaskini pada 15 April 2011 semasa Allahyarham hendak menjalani pembedahan jantung.

Ahad, Ogos 21, 2011

Terima gambar Dato' L. Ramli dan Datin Kamariah



Terima gambar ini dari sahabat saya L. Ramlie.

Tahniah kini penyanyi yang terkenal dari tahun 60an hingga sekarang ini telah bergelar Dato' Hj. L. Ramli dan isterinya Datin Hajjah Kamariah Yatim.

Gelaran ini diterima dari Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang sempena ulang tahun hari jadi TYT baru baru ini.

Setinggi-tinggi tahniah dari saya dan rakan rakan seperjuangan. Semoga Dato' diberkati Allah terus sihat sejahtera dan terus perjuangkan lagu-lagu irama 60an.

Beliau dilahirkan pada tahun 1942 di Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang, dari keturunan campuran Melayu dan Siam. L. Ramli mula menceburkan diri dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya.

Beliau kemudiannya merakamkan lagu Dara Pujaan pada tahun 1962 bersama kugiran Orkes Teruna Ria. Apabila mendapat sambutan hangat, beliau terus merakamkan lagu-lagunya bersama kugiran ini seperti Antara Kau Dan Aku, Salma, Pertemuan Terakhir, Puja, Nasib Si Pungguk, Oh Nona, Teruna Pun Tidak Dara Pun Bukan dan Sudah Ku Katakan.

Beliau telah menghasilkan 12 album sehingga 2004. Dara Pujaan (1962) bersama kugiran Orkes Teruna Ria Kenangan Bersama Dara Pujaan bersama Band Delima dengan tajuk Dara Pujaanku.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Kumpulan Nasyid FANA


Alhamdulillah. Kumpulan Nasyid FANA ditubuhkan dalam bulan Ramadhan bersamaan Ogos 2011 di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Terdiri dari Naizatul Azwa (penyanyi), Zulkipli Omar (penyanyi dan pemain keyboard), Helmi Dali (penyanyi dan gitar), Syafiq Salih (penyanyi dan bonggo) dan Omar Hashim Omara (pemain marakas/shaker).

Selain dari lagu-lagu sendiri, kami juga persembahkan lagu-lagu yang bercorak keinsanan disamping mengacarakan majlis secara santai.

Jika ada undangan boleh hubungi kami di talian: Omara - 013 4220091 atau email: omara353535@hotmail.com .

Selasa, Julai 12, 2011

Terlibat Sebagai Pemuzik dalam Salih Yaccob Show I Follow di Astro Warna


Rakaman untuk 20 siri Salih Yaccob Show dah selesai. Ada lagi 32 siri yang akan disambung lagi.

Saya dan rakan rakan dari Kumpulan Galapagos sebagai band pengiring dari awal hingga akhir setiap rancangan.

Rancangan ini keudara mulai 8 Julai lepas Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Warna dan seterusnya setiap minggu pada hari dan waktu yang sama.

Kami mengambil masa lebih 10 hari untuk rakaman 20 episod rancangan ini yang telah dibuat di Studio Filem Negara Malaysia, Petaling Jaya.

Kepada semua, selamat menonton! Dari saya - Omara, DjYY, Chik dan Zul Kumpulan Galapagos.




Ahad, Jun 19, 2011

Dalam Telemovie DUDA DU DI





Berlakon dalam Telemovie DUDA DU DI terbitan PUJANGGA KREATIF sebagai Tok Kadi. Pengambaran dibuat di Masjid Terapung, Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Telemovie ini untuk tayangan Tv RTM arahan Rab Khalid.

Selasa, April 26, 2011

Ulangtahun Perkahwinan Omar dan Azizah Yang ke 34



Ulangtahun perkahwinan Omar dan Azizah yang ke 34 tahun. Anak-anak meraikannya secara sederhana bersama keluarga sahaja. Alhamdullilah, semoga kami bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Selasa, Mac 15, 2011

Pengambaran Telemovie RTM Mencari Bidadari






Mac 2011, jadi Penolong Pengurus Produksi untuk Telemovie 'MENCARI BIDADARI' terbitan Perkasa Filem. Pengambaran dibuat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai dari 5 Mac hingga 12 Mac 2011.

Pengarah - Khalid Sulaiman. Penolong - Eyra
Skrip - Arzaman Sulaiman
Pelakon - Fizz Firuz, Irma Hasmie, Razali Buyung, Rose Iskandar dan ramai lagi.

Saya turut berlakon sebagai Hj. Kassim disamping Fizz Firuz di Warung tepi Masjid Terapung, Tanjung Bungah, P. Pinang.

Alhamdullilah, pengambaran berjalan lancar walaupun sesekali hujan. Semuanya mengikut jadual yang ditetapkan. Terima kasih Sdra Khalid, Pangyau, Tan, Eyra dan semua yang telah berikan kepercayaan kepada saya menguruskannya. Terima kasih juga kepada pelakon-pelakon yang banyak membantu di lokasi serta para krew yang baik hati. Kerja dengan tenang dan santai.

Tunggu tayangannya di RTM tidak lama lagi.

Sabtu, Februari 05, 2011

Piee Sakit


Pelawak/pelakon Piee (Shafiee Jaafar) berada di Hospital Kepala Batas, Seberang Perai kerana sakit darah tinggi dah dua minggu. Semoga Piee cepat sembuh dan kembali pulih seperti biasa. Sama sama kita doakan.

Pagi tadi (5 Februari 2011) saya baru telefon Piee, katanya dia dah berhenti kerja dan nak berehat.

Gambar: Lakonan Piee dalam Telemovie Dalca Mami George Town baru baru ini.

Selasa, Februari 01, 2011

Terbit Album Wayang Kulit Seri Asun





“Perkumpulan wayang kulit Seri Asun telah ditubuhkan pada tahun 1966. Pengasanya ialah Encik Mohd Noh Bin Haji Mahmud. Beliau bukan sahaja bertindak sebagai pemimpin tetapi juga sebagai dalang kepada kumpulan tersebut. Pada peringkat awalnya, kumpulan ini mempunyai 12 orang ahli termasuk Encik Mohd. Noh sendiri dan dua orang anaknya iaitu Encik Abdul Majid Bin Mohd Noh dan Encik Mihad Bin Mohd Noh.

Nama Wayang Kulit Seri Asun diambil sempena nama sebuah pekan iaitu Asun yang terletak berdekatan dengan Kampung Kunluang. Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun ini kadang-kadang disebut juga Wayang Kulit Gedek. Menurut pengasasnya Pak Noh, "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979.

Setelah Pak Noh meninggal dunia, tempat beliau telah diambil alih oleh anaknya iaitu Encik Abdul Majid Bin Mohd. Noh atau lebih dikenali sebagai Pak Majid.”

Ya... saya mula mengenali Pak Majid lebih kurang pada tahun 1993 setelah mendapat petua mencari alamat rumahnya dari Encik Naim RTM Kedah pada masa itu. Saya bersama adik saya Yusof telah ke Asun dan bertanya orang di mana rumah Pak Majid Wayang Kulit. Sayangnya Pak Majid dan bapanya Pak Noh tidak ada di rumah kerana pergi ke Kelantan, kami cuma jumpa Minhad keluarganya di rumah Pak Noh.

Saya tidak berputus asa, dari nombor telefon yang diberikan Minhad, saya telefon pula rumah Pak Noh dan akhirnya dapat bercakap dengan Pak Majid. Kami aturkan pertemuan dan jumpa di sebuah restoran di Bandar Alor Star, Kedah. Saya tawarkan Pak Majid untuk buat rakaman kasset dan hasil perbincangan maka Pak Majid bersetuju.

Saya bawa Pak Majid dan kumpulannya ke Kuala Lumpur dan kami buat rakaman kaset pertama di studio Channel II dengan label Omara Production. Alhamdullilah.... jualan album pertama ini sungguh baik dan Pak Majid juga sering dihubungi oleh Aziz Desa untuk rancangan MHI di TV3 ketika itu dengan panggilan watak utamanya Etong.

Selepas itu saya buatkan lagi beberapa siri kaset wayang kulit dengan Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun pimpinan Pak Majid hinggalah beberapa tahun kemudian.

Selasa, Januari 04, 2011

Saya dan Rakan Galapagos dalam Tv Astro Ria Bersama Datuk Siti Nurhaliza


Pada 2 Januari 2011 lepas, saya bersama-sama rakan Kumpulan GALAPAGOS telah muncul dalam rakaman TV Astro Ria 'Bicarawara Bersama Siti' yang dibuat di Studio Filem Negara Malaysia, Kuala Lumpur. 

Saya bersama Zul, Chik turut ditemuramah oleh Datuk Siti Nurhaliza dan kami sama-sama menyampaikan lagu 'Apek dan Marjina'. Rancangan ini dijangka akan disiarkan di Astro Ria pada bulan Februari 2011.

Seorang ahli GALAPAGOS DjYY tidak dapat hadir kerana sesuatu hal yang tak dapat dielakkan. Terima kasih diucapkan kepada pihak Astro dan juga Datuk Siti kerana beri peluang kepada kami.

Jumaat, November 05, 2010

Fardiana 1 Malaysia Keluaran Omara Production



Fardiana, nama yang tidak asing lagi di bidang seni suara di utara. Dikenali juga dengan panggilan Fardiana Farib. Syarikat saya Omara Production telah menguruskan rakaman album terbarunya The Singles sejak awal tahun 2010 ini, kini tak disangka salah sebuah lagunya '1 MALAYSIA' begitu popular di Radio Radio Malaysia dan kerap disiarkan selepas siaran berita.

Satu lagi lagunya yang mendapat tempat di hati pendengar ialah 'CINTA YANG TERTUNDA'. Kedua dua lagunya 1 Malaysia dan Cinta Yang Tertunda ini ciptaan komposer Mat Din dan liriknya oleh Yassuri. Penerbit Eksekutif: Omar M. Hashim, Penerbit: Mat Din, Susunan Muzik: Mat Din, Studio Rakaman: As-Salam Recording Studio, Jururakam: Mat Din dan Hidayat. Terbitan dan Edaran oleh: Omara Norizeight Ventures.

Fardiana adalah antara Finalist Akademi Nasyid 2008 anjuran Tv9. Pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian, antaranya Johan Bintang Utara Universiti Utara Malaysia tahun 2009. Kini Fardiana muncul bersama bandnya sendiri Ana and The Band. Dikenali juga dengan panggilan Fardiana 1 Malaysia.

Khamis, Oktober 14, 2010

10 10 10 Melawat Datuk Yahaya Sulong di Hospital Ampang




Ahad 10 10 10, Saya bersama pelakon sketsa boria Pulau Pinang iaitu Sharifah Juairiah, Yusof M. Hashim (adik saya) dan Abu Bakar Kassim (Bakar Panjang) telah ke Hospital Ampang, Selangor melawat Datuk Yahaya Sulong, pelakon dan pelawak yang tidak asing lagi terlantar di hospital kerana sakit.

Ketika kami sampai, Datuk Yahaya atau lebih senang saya panggil Pak Ya ditemani isterinya juga seorang pelakon dan penari suatu ketika dulu Alisah serta anak-anaknya. Datuk kelihatan uzur, sedang disuap makanan oleh Datin Alisah.

Walaupun suara Datuk bercakap tidak seperti dulu, hanya perlahan dan dalam, tapi bila kami ajukan soalan yang berupa lucu, Datuk Yahaya ketawa. Sebelum pulang, ketika bergambar dia sempat juga berjenaka sambil melihat gambarnya di kamera saya.

Saya kenal Datuk Yahaya memang lama, sejak awak tahun 80an dahulu. Saya pernah ke rumahnya dan dia juga pernah ke rumah saya. Walaupun umur kami berbeza jauh (Datuk sekarang 79 tahun) tapi kami pernah bersekolah rendah yang sama di Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil Jalan Mengkuang, Butterworth.

Sama-samalah kita doakan semoga Datuk Yahaya Sulung kembali sihat dan pulih seperti sediakala. Semoga Allah panjangkan umurnya dan diberkati hidupnya disamping keluarga.

Sabtu, September 18, 2010

Ampunkan Aku Suami di Tv1 RTM 17 September 2010






SASPINTAR SDN. BHD. Inovasi Utara Sdn. Bhd. Mempersembahkan sebuah Telemovie untuk RTM - AMPUNKAN AKU SUAMI lakonan Betty Benafe, Iqram Dizly, Zulkifli Zain, Abu Bakar Omar dan ramai lagi. Sutradara: Eddy. Penerbit: Eddy dan Raja Masri. Pengurus Penerbitan: Mahmud Samad. Pengambaran pada pertengahan 2010. Kebanyakkannya lokasi di Pulau Pinang.

Saya turut berlakon sebagai pelakon tambahan, watak Lelaki Misteri - pengambarannya dibuat di Balik Pulau, P. Pinang.

Tayangan pertamanya di TV1 RTM telah disiarkan dalam slot NURANI pada hari raya yang ke 8 pada 17 September 2010. Drama ini banyak memberikan mesej dan pengajaran untuk isteri-isteri yang tidak taatkan pada suaminya dan berlaku curang di balakang suami. Akhirnya dengan kehendak Allah si isteri mendapat balasan dan azab bukan sahaja sebelum kematian, bahkan hingga ketika di semadikan di tanah perkuburan.

Terima kasih kepada semua yang berikan peluang kepada saya dalam telemovie ini.