Sayalah orang yang membongkar rumah kelahiran P. Ramlee di Jalan Rawang/Caunterhall Pulau Pinang. Saya telah dibawa oleh Razak (Jamal Kongo) berjumpa dengan Pak Murad (Jiran rumah P. Ramlee). Pak Murad pula bawa saya berjumpa dengan Tok Bee iaitu tuan tanah tempat rumah P. Ramlee itu didirikan (sebelah rumahnya).
Kata Tok Bee; "Saya akan robohkan rumah ini bila-bila masa kerana nak dirikan rumah anak saya di tapak itu."
Mendengarkan kata-kata Tok Bee, saya segera menghubungi Ahmad Daud, Saloma dan Sheikh Ali di Kuala Lumpur melalui telefon. Saya juga temuramah rakan-rakan P. Ramlee di Pulau Pinang iaitu: T.M. Ramayah, Pak Murad Jamal dan Razak sendiri. Mereka semua minta rumah P. Ramlee diselamatkan.
Saya tulis berita ini dan hantar melalui tangan ke Pejabat Akhbar Bintang Timur di Prai, Seberang Perai. Ketika itu saya menjadi wartawan sambilan akhbar tersebut. Esoknya tulisan saya ini telah disiarkan di Ruangan Rampai Sari Bintang Akhbar Bintang Timur keluaran 1hb. Julai 1980.
Berita ini menjadi berita panas. Seorang wartawan dari Kuala Lumpur mengulas berita ini dengan menemurumah beberapa orang lagi di Kuala Lumpur dan juga Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan ketika itu Tan Sri Samad Idris. Esoknya keluar di muka hadapan akhbar Bintang Timur - Tajuk: "Selamatkan Rumah P. Ramlee!".
Akhirnya Arkib Negara Malaysia ketika itu Ketua Pengarahnya Datin Zakiah Hanum telah menguruskan rumah P. Ramlee untuk dijadikan warisan dan dipulihara. Dalam tahun 1991 rumah kelahiran P. Ramlee ini telah dirasmikan.
Alhamdullilah! Hasil usaha saya untuk menyelamatkan rumah ini berhasil.