



Sabri Sidek (anak saudara kepada seniman Allahyarham Nordin Ahmad) yang tinggal di Sungai Dua, Butterworth telefon saya bertanyakan mengenai berita kematian ibu saudaranya Salmah Ibrahim. Keluarga Nordin Ahmad di Seberang Perai tidak tahu lebih lanjut melainkan setelah membaca sebuah artikel tulisan Adam Salleh dalam akhbar Harian Metro.
Untuk kepastian, pagi ini saya telah menghubungi Penulis lirik dan penerbit siri Tv terkenal Yusnor Ef yang sedang dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Kuala Lumpur. Beliau mengesahkan berita tersebut dan memberitahu Salmah Ibrahim telah meninggal kira-kira dua minggu lalu di Padang, Sumatera kerana sakit jantung.
“...Siapa tidak kenal Allahyarham Nordin Ahmad (1927-1971)? Ketokohannya dalam Sri Mersing, Lancang Kuning, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang mahupun Jebat menjadikannya aktor terhebat filem Melayu. Isterinya pula, Salmah Ibrahim cuma insan seni biasa; daripada penari hingga menjadi ‘chorus girls’, tetapi hasil perkahwinannya dengan Nordin, secara tidak langsung populariti Salmah turut bergemerlapan.
Sepanjang pembabitannya dalam filem Melayu sejak 1951, Salmah sempat membintangi 12 filem, antaranya Takdir Ilahi, Sedarah dan Juwita. Kebanyakan watak yang diserahkannya agak kasar seperti watak jahat, selebihnya penari saja, tidak seperti Allahyarham Normadiah dan Bobby Castello (ibu Tony Castello, bintang kanak-kanak dalam Anakku Sazali) yang bertindak sebagai guru tarian....”
Sidek Ahmad, adik kepada Allahyarham Nordin Ahmad dan keluarganya sedih kerana tidak diberitahu mengenai berita kematian kakak iparnya itu. Walaubagaimana pun mungkin mereka akan cuba juga menghubungi keluarga Allahyarham Salmah.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Al-Fatihah.
Kanan bawah – gambar Sidek Ahmad (adik Nordin Ahmad) semasa ditemuramah dalam rancangan Bicara Lagenda, Astro terbitan Yusnof Ef. Saya membantu Yusnor Ef di sepanjang menjejaki keluarga Nordin Ahmad dan pengambaran yang dibuat di Sungai Dua, Butterworth tidak lama dulu.