MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Sabtu, September 18, 2010

Ampunkan Aku Suami di Tv1 RTM 17 September 2010






SASPINTAR SDN. BHD. Inovasi Utara Sdn. Bhd. Mempersembahkan sebuah Telemovie untuk RTM - AMPUNKAN AKU SUAMI lakonan Betty Benafe, Iqram Dizly, Zulkifli Zain, Abu Bakar Omar dan ramai lagi. Sutradara: Eddy. Penerbit: Eddy dan Raja Masri. Pengurus Penerbitan: Mahmud Samad. Pengambaran pada pertengahan 2010. Kebanyakkannya lokasi di Pulau Pinang.

Saya turut berlakon sebagai pelakon tambahan, watak Lelaki Misteri - pengambarannya dibuat di Balik Pulau, P. Pinang.

Tayangan pertamanya di TV1 RTM telah disiarkan dalam slot NURANI pada hari raya yang ke 8 pada 17 September 2010. Drama ini banyak memberikan mesej dan pengajaran untuk isteri-isteri yang tidak taatkan pada suaminya dan berlaku curang di balakang suami. Akhirnya dengan kehendak Allah si isteri mendapat balasan dan azab bukan sahaja sebelum kematian, bahkan hingga ketika di semadikan di tanah perkuburan.

Terima kasih kepada semua yang berikan peluang kepada saya dalam telemovie ini.


Jumaat, Ogos 27, 2010

Omara Keluarkan Kembali Album Hijau Kuning Raya Sakan







Akhirnya atas permintaan ramai, saya terbitkan semula album-album tahun 90an saya dalam versi CD. Buat permulaan, album Hijau Kuning Raya Sakan dah siap saya cetak. Album yang diterbit dan dikeluarkan oleh Omara Production dalam tahun 1991 ini nyanyian M. Shariff, Piee dan Maidin.

Lagu-lagunya: Hatiku Kecewa , Duit Raya , Terkenang Semasa Lalu , Seronok , Seloka Kueh Raya dan Boria Hari Raya . Diselang selikan dengan sketsa-sketsa jenaka oleh M. Shariff, Piee, Maidin dan di akhirnya saya sendiri dan adik saya Yusof Hashim turut terlibat.

Album ini dirakamkan di Studio Channel II, Kuala Lumpur dalam tahun 1991. M. Shariff sebagai penerbit. Muzik oleh Zurah II dan pemuzik undangan Sugito dan perul. Rekabentuk grafik: Amir Awang dan Yusof M. Hashim.

Antara lagu yang paling digemari ramai dan popular dalam album ini ialah lagu 'Duit Raya' nyanyian Maidin dan M. Shariff. Irama lagu ini diambil dari Filem Andaaz iaitu Henna Bolo Bolo.

Saya gembira kerana setelah saya umumkan penerbitan ini dalam facebook saya http://www.facebook.com/profile.php?id=1309363950&v=wall&story_fbid=128717563841178#!/photo.php?pid=30837307&fbid=1364336871013&id=1309363950 ramai yang telah hubungi saya order cd ini kerana saya tidak edarkan di kedai kedai.

Kepada yang berminat ingin membelinya sila hubungi saya di talian : Omar Hashim Omara - 0134220091 atau boleh juga di email: omara353535@hotmail.com - Saya akan berikan nombor akaun, setelah wang dimasukkan saya akan hantar melalui pos laju atau pos ekspress.

SELAMAT MENDENGAR!

Khamis, Ogos 19, 2010

Rejab Had Raja Kartunis - Kehilangannya Dirasai








Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had. Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang. Allahyarham ada pertalian saudara dengan saya. Adik saya kartunis/pelawak Yusof M. Hashim ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Kojek banyak belajar dari Allahyarham.

Sesekali Pak Jab akan pulang ke kampungnya di Titi Timbul Permatang Pauh, Seberang Perai. Dia akan cari kami dan kawan-kawan kartunisnya di Pulau Pinang. Sembang-sembang. Kadang-kadang buat perjumpaan atau kursus melukis. Anehnya, dia gemar berjalan kaki ke sana kemari walaupun dalam perjalanan yang jauh. Kali terakhir berjumpa dengannya, dia pulang untuk menandatangani perjanjian dengan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dan perasmian Gelanggang RejabHad. Majlis bersejarah ini menyaksikan Allahyarham menurunkan tandatangan bersama TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ramai orang tidak tahu, siapakah pula guru atau orang yang banyak membimbing RejabHad? Saya pernah dibawa oleh arwah bertemu dengan Allahyarham RashidDin atau nama kartunis Pak Bai yang juga tinggal di Permatang Pauh. Itulah dia idolanya.

Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.. Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.. Dia mengakhiri hayatnya pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Di antara koleksi kartun Rejabhad yang popular dan diminati oleh pelbagai peringkat umur sehingga hari ini ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Perjuangan dan pergorbanan Raja Kartun Malaysia ini harus diteruskan oleh kartunis-kartunis masa kini sampai bila-bila dengan meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa.

Di akhir hayatnya dia pernah berpesan kepada adik saya Yusof supaya kerap menganjurkan bengkel-bengkel lukisan kartun di Utara. Dan ketika Yusof sedang mengadakan bengkel lukisan kartun di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas pada 14 November 2002, pelawak Imuda telefon Yusof beritahu kematian Pak Jab yang berusia 63 tahun ini.

Abangnya Cikgu Nuruddin Had dan adiknya Siraj Had masih ada lagi. Kasa Had telah meninggal dunia baru-baru ini. Bapanya Pak Had yang terkenal sebagai pawang menangkap buaya telah lama meninggal dunia. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh RejabHad dan keluarganya.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Ahli Jawatankuasa Pertandingan Lagu P. Ramlee 2010






Tahun ini (2010)saya menyertai Gabungan Persatuan Dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang dibawah pengerusinya Yg Bhg. Dato' Seri Haji Yussof Latiff. Banyak kegiatan-kegiatan kesenian yang telah diadakan. Antaranya saya juga menduduki Jawatankuasa Pengelola Peraduan Lagu-Lagu Kenangan Tan Sri Dr. P. Ramlee 2010.

Pertandingan Lagu-Lagu Nyanyian Tan Sri Dr. P. Ramlee peringkat akhir telah berlangsung di Auditorium Dewan Sri Pinang, Lebuh Light, Pulau Pinang pada 2 Ogos 2010 jam 8.00 malam. Antara tetamu Terhormat ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Lim Guan Eng.

Acara selingan oleh Seniman Negara YBhg Dato' Dr. Ahmad Nawab dan Musly Ramly. Enam orang peserta yang bertanding diiringi oleh Kombo RTM Pulau Pinang dan Dj YY RTM selaku pengacaranya.

Keputusannya hadiah sebanyak RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 telah dimenangi oleh:

3. Faizal Mohd. Hassan - Di Pinggiran / Ku Rindu Padamu (KETIGA)
2. Muhaimin Arzahan - Jangan Tinggal Daku / Tiada Kata Secantik Bahasa (KEDUA)
1. Sharnizam Arzahan - Tunggu Sekejap / Entah Di Mana (JOHAN)

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Selasa, Julai 13, 2010

Akhirnya Tahun 2010 Saya Terbitkan Album Kembali - Mula Dengan GALAPAGOS



Akhirnya di tahun 2010, hasrat saya untuk menyambung kembali penerbitan album rakaman berjaya dengan terhasilnya album baru kumpulan yang saya tubuhkan - GALAPAGOS.

Bersama DjYY (Deejay Yassier) dan Pelawak Chik (Bekas pelawak Pak Man Telo) kami bertiga yang sebelum ini dikenali sebagai pelakon sketsa 'NASI KANDAR PAPEDOM' di Radio Malaysia Mutiara FM.

Sebenarnya saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya seorang komposer yang tidak asing lagi di utara - Mat Din. Dengan bantuan Mat Din dan usahanya lah kami dapat merakamkan lagu dan jenaka ke album ini. Kesemua lagu-lagu dan muzik oleh Mat Din sendiri. Rakaman juga di Studio Mat Din. Saya sendiri menulis lirik lagu disamping Yassuri. Tidak lupa juga terima kasih kepada pelawak/pelakon terkenal Imuda yang telah menyumbangkan karikaturnya untuk dijadikan gambar album ini.

Lagu-lagu kami juga sering dikumandangkan di Radio Radio RTM disamping radio swasta dan radio internet. Kami juga banyak terima undangan untuk membuat persembahan di sana sini sepanjang tahun ini.

Semoga peminat-peminat dapat terima kumpulan kami yang berkonsepkan 4 dalam 1 - Lawak, Pengacara, Lagu dan Muzik.

Ahad, Jun 13, 2010

L. Ramli di Hospital



Peminat-peminat artis 60an digemparkan dengan berita penyanyi 'Dara Pujaan' L. Ramli jatuh di rumahnya di Kepala Batas, Seberang Perai dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas, Seberang Jaya dan akhirnya di Metro Hospital, Sungai Petani.

Saya hebahkan berita ini di Facebook dan mendapat reaksi dari rakan rakan.

L. Ramli ( L. Ramlee ), 68, merupakan seorang penyanyi lagu Melayu yang terkenal pada era 60-an dan 70-an. beliau mula menceburkan diri dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya Sungai Nibong P. Pinang.

Beliau kemudiannya merakamkan lagu Dara Pujaan pada 1962 bersama Orkes Teruna Ria dibawah pimpinan Datuk Basir Ahmad.

Ahad 13 Jun 2010 saya melawat L. Ramli bersama-sama dengan adik saya Yusof Hashim dan isterinya Normah di Metro Hospital. Ramli berbual panjang lebih kurang 2 jam lebih dan kelihatan sudah segar dan sudah boleh menjamah makanan. Dia juga sedih mendapat tahu pemain drum Teruna Ria iaitu Rahmat telah kembali kerahmatullah hari ini di Butterworth.

Gambar: L. Ramli, saya, S. Mokhtar dan adik saya Yusof semasa melawatnya.

Gambar 2: L. Ramli sedang membaca akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan beritanya.

Rabu, Februari 17, 2010

TERKINI - Ahmadi Hassan Meninggal Dunia - 17 Februari 2010



Al-Fatihah, Dengan sedihnya dimaklumkan, rakan baik saya sejak remaja dulu penyanyi Nasyid/pelakon/penerbit/pengarah drama Ahmadi Hassan telah kembali ke Rahmatullah petang tadi jam 5.00 petang di Hospital Al-Islam Kpg. Baru, K. Lumpur.

Jenazahnya kini berada di rumahnya Lot 45733, Lorong 1, Kampung Merbau Sempak, 47000 Sungai Buloh Selangor. Pengkebumian esok 18hb. Mac 2010.

Allahyarham Ahmadi jumpa saya kali terakhir penghujung Disember 2009 lepas, selama tiga hari dia bersama saya. Selepas pulang ke Sungai Buloh, lebih kurang dua tiga kali dia berhubung dengan saya melalui telefon Januari 2010 ini, tak ada tanda-tanda kematiannya... cuma Allahyarham berkata dia akan jumpa saya lagi selepas ini. Dia juga gembira melihat blog ini yang memuatkan kisah dan gambar-gambarnya.

Marilah sama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepadanya dan doakan semoga ruhnya berada dalam kebaikkan di sisi Allah....

Gambar terakhir saya dengan Allahyarham baru-baru ini....

Isnin, Disember 28, 2009

Ahmad Hj. Hassan Dulu dan Ahmadi Hassan Kini







Kami bersahabat memang dah lama. Dari tahun 1973 ketika usia saya 19 tahun hinggalah sekarang. Nama asalnya Ahmad Hj. Hassan berasal dari Padang Menora, Jarak, Seberang Perai. Seorang pelakon teater dan penulis di zaman mudanya. Kemudian merantau ke Ibu Kota Kuala Lumpur untuk mencuba nasib mencari rezeki, akhirnya dengan bantuan sahabat karibnya Ariff Shah orang Bukit Mertajam yang mula bertugas di bidang penyiaran, Ahmadi telah berjaya diterima bekerja di RTM (Ketika itu di Bahagian Pembangunan Radio Malaysia) di Angkasapuri Kuala Lumpur.
Watak Pak Chat dalam siri drama yang paling popular ketika itu 'Fajar Di Bumi Permata' telah menaikkan nama Ahmad Hj. Hassan. Beliau mula berjinak-jinak menyanyi terutamanya lagu-lagu hindustan dan pernah muncul dalam rancangan radio siaran Tamil iaitu 'Kalapaddam' dan lain-lain lagi. Dalam tahun 1973 ketika saya berbual-bual dengan M. Shariff yang merupakan penyanyi, pemuzik dan penerbit piring hitam, kami bercakap mengenainya yang juga turut diminati oleh M. Shariff kerana lakonan dalam watak 'Pak Chat' di radio.
Tidak lama selepas itu, ketika saya berkunjung ke bilik sewa M. Shariff (yang masih bujang masa itu) di No. 40, Wisma Belia, Kuala Lumpur, M. Shariff beritahu saya yang dia telah memberi tawaran kepada Ahmad Hj. Hassan untuk merakamkan lagu-lagu ke piring hitam melalui label terbitannya M. Shariff Scope. Saya juga turut diperdengarkan lagu-lagu pertama Ahmad yang telah menggunakan nama sebagai Ahmadi Hassan dalam keluaran terbaru ini. Saya kata "Aiii... macam suara Shariff?". M. Shariff ketawa kerana dia suka dengan suara Ahmadi ini.
Awal tahun 1974 bermulalah sejarah Ahmadi Hassan di bidang seni suara. Lagu-lagunya Sudah Suratan dan Pesan Ayah berkumandang di radio-radio RTM. Saya dapat percuma piring hitam dari M. Shariff.
Kini..... saya sempat merakamkan gambar terbaru saya dengan Ahmadi dalam satu pertemuan baru-baru ini di Permatang Pauh ketika Ahmadi pulang berehat di Kampungnya Padang Menora, Jarak, Seberang Perai. Lihatlah perbezaan wajah dulu dan sekarang.....

Rabu, Disember 09, 2009

Selamat HariJadi Kepada Adik Saya Yusof Yang Ke 53


Selamat hari jadi ditujukan kepada adik saya Yusof Hashim yang ke 53 tahun. Semoga panjang umur, sihat sejahtera, kuatkan iman dan bertambah rezeki.

Yusof M. Hashim (Yusof Mat Hashim) atau nama samaran Pak Kojek dilahirkan pada 7 Disember 1956 di Sungai Bakau, Parit Buntar, Perak. Dibesarkan di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Yusof Mat Hashim merupakan kartunis yang aktif di Malaysia pada akhir 1970-an sehingga 1980-an. Kini dikenali sebagai pelawak dan pelakon sketsa boria.

Kartun - Wak Kojek yang disiarkan dalam akhbar ppWatan setiap hari selama 3 tahun (1975-1977)

  • Pak Kojek dalam akhbar Bintang Timur setiap hari selama 5 tahun (1977-1982), Gema RTM (1972-1975)

Karya Komik

  • Buntal
  • Kulup
  • Kisah M.Shariff & The Zuhrah
  • Lawak Tanjung
Kami dua beradik sama-sama aktif di bidang kesenian dan warisan. Ada kalanya orang keliru antara saya dan Yusof. Dia kini bertugas di Tenaga Nasional Bandar Perda Seberang Perai.

Rabu, November 25, 2009

Al Kisah Raya Korban, Sketsa Saya Dan GALAPAGOS Di Radio


Selamat Menyambut Hari Raya Qurban untuk pembaca blog saya semua. Yang baru sampai, selamat datang! Yang kunjung lagi... Selamat berkunjung.... Saya akan temui semua dalam AL KISAH RAYA KORBAN penampilan GALAPAGOS pada hari jumaat 27.11.09 jam 3.30 petang di Radio Malaysia Mutiara FM. Saya akan bawakan dua watak iaitu Pak Omaq dan juga Mamak Abdul bersama-sama dengan DJ YY dan pelawak Chik. Rancangan ini terbitan Yasser Yusof (YY) khas sempena Hari Raya Aidil Adha kali ini.

Selain lakonan sketsa jenaka dari kami, lagu-lagu yang berkaitan juga akan disiarkan dan salah satu daripadanya ialah lagu 'Salam Hari Raya' nyanyian dari album terbaru GALAPAGOS keluaran saya Omara Production, Lagu: Mat Din As-Salam dan Lirik: Omar M. Hashim (saya sendiri). Nyanyian YY dan Mat Din As-Salam.

Jangan lupa: Jumaat (Hari Raya) 27 November 2009 jam 3.30 petang di Radio Malaysia Mutiara FM. Dengar di radio (untuk P. Pinang 95.7mhz) atau klik radio online di www.mutiarafm.gov.my

Isnin, November 16, 2009

Membantu Pengambaran Tari Tradisi - Boria Untuk Tv




Membantu produksi Tari Tradisi 'BORIA' untuk penerbitan Tv. Pengambaran pertama pada bulan September lalu dan terakhir Pertengahan November baru-baru ini. Alhamdullilah, walaupun berada dalam musim hujan, tapi cuaca sepanjang pengambaran cerah tanpa sebarang masalah. Pengambaran di Sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Selain dari persembahan boria, rakaman juga dibuat di Studio Md. Din As-Salam persembahan 'live' oleh Kumpulan GALAPAGOS bermain alat muzik sambil menyampaikan sebuah lagu boria ciptaan baru Md. Din As-Salam bertajuk 'Boria Jom Pusing'.

Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu dalam menjayakan pengambaran ini. Ahli-ahli Boria Klasik, Pulau Pinang pimpinan saya dan Ketua (Mustaffa Ishak) serta ahli-ahli Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Seberang Perai dengan 'boria moden'nya. Tidak ketinggalan juga Puan Zaini dari Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang bersama sailor-sailor borianya. Pengarah Arkib Negara Malaysia Pulau Pinang, Pengarah JABATAN KEBUDAYAAN & KESENIAN NEGARA. JKKN Negeri Pulau Pinang. Juga terima kasih kepada penerbit dan kru-kru yang banyak membantu.

Terima kasih juga kepada Pemimpin Boria Kepala Batas Shamsuddin bersama-sama anggota mereka yang juga turut bersama. Tidak lupa, Chik, Bakar Panjang, Yusof M. Hashim, Shimi, Md. Din As-Salam, Dj dan penerbit Mutiara FM, YY, Rohim (Arkib Negara) dan semua yang terlibat menjayakannya.
Semoga seni warisan boria terus terpelihara. Gambar-Gambar semasa pengambaran dibuat di Sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Jumaat, November 13, 2009

Jadi Pengadil Nasyid Dan Marhaban Ramadhan 2009




Alhamdullilah.... bukan saja diundang menjadi pengadil pertandingan Boria, Nyanyian dan Puisi, dalam bulan Ramadhan lepas saya menjadi pengadil Nasyid dan Marhaban pula. Orang tak jemput tak apa, tapi jika jemput tak pula ditolak.

Dalam pertandingan Nasyid dan Marhaban 'Walk @ Bertam' sempena Ramadhan Fest yang berlangsung dari 22 Ogos hingga 19 September 2009 lalu bertempat di Pusat Bandar Bertam Perdana Kepala Batas Seberang Perai, saya bersama-sama dengan rakan seperjuangan Md. Din As-Sallam (seorang pengubah/pencipta/penerbit/penyanyi) yang tidak asing lagi di Utara dan juga Ustaz Nasir Osman (seorang penyanyi nasyid wakil Pulau Pinang ke Peringkat Kebangsaan 2009).

Gambar Atas Kiri: Johan Pertandingan Nasyid sedang menyampaikan lagunya.

Gambar Kanan: Peserta Ke Dua, Saiful sedang menerima hadiah.

Gambar: Omar Hashim, Md. Din dan Nasir Osman sedang mengadili pertandingan tersebut.

Selasa, November 10, 2009

Teater KUDRAT Dalam Akhbar Bintang Timur Jun 1977 Tulisan Omar M. Hashim


Pertengahan tahun 70an hingga pertengahan tahun 80an, Kumpulan Senibudaya Drama Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai banyak mementaskan teater di Pulau Pinang, Seberang Perai, Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. 'Si Bongkok Di Tanjung Puteri' karya Saharum Hussein sebuah teater pimpinan Mohd. Ismail Ariffin dan juga gabungan Seni Silat Sunda pimpinan Hud Ismail telah dipentaskan di Dewan Bandaran Butterworth. Kumpulan ANGKASAMAYA pimpinan Rahman Karim juga mementaskan drama 'Dama' dan 'Udha'.

Saya dilantik sebagai Yang Dipertua kumpulan senibudaya ini di awal tahun 80an setelah kematian Abdullah Ismail (Wartawan Berita Harian) yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Selangor ketika itu. KUDRAT yang mempunyai ahli kira-kira 100 orang adalah sebuah persatuan yang paling aktif ketika itu di Seberang Perai. Sekarang ahli-ahlinya dah bertabur di sana sini. Ada yang berjaya dan masih meneruskan bidang kesenian ini, ada yang telah meninggal dunia antaranya Allahyarham Shariff Tan (Pengarah Drama Tv) dan ada yang masih meneruskan kegiatan seni seperti saya sendiri, Yusof Mat Hashim (adik saya), Asrul, Miskin Darus, Zaidi dan beberapa orang lagi yang tak dapat saya hubungi.

Gambar: Berita bergambar tulisan saya (Ketika itu Wartawan sambilan Akhbar Bintang Timur) yang telah disiarkan di akhbar Bintang Timur siaran Selasa, 14 Jun 1977.

Rabu, November 04, 2009

Dato' Dr. Ahmad Nawab Hasilkan Lebih 2,000 Lagu


Dato' Dr. Ahmad Nawab Khan yang dulunya saya panggil abang Mat ketika bersama-sama mengerjakan ibadah Umrah di Tanah Suci Mekah pada awal tahun 90an dahulu. Abang Mat pergi bersama isterinya Kak Siti dan seorang sahabat karibnya Ishak 'tokeh kereta import' dari Pulau Pinang (kanan dalam gambar).

Banyak peristiwa-peristiwa yang masih dalam ingatan. Semasa di Madinah, apabila diperkenalkan kepada seorang peniaga yang Ahmad Nawab seorang pemain muzik, peniaga tersebut suruh abang Mat berhenti main muzik. Semasa kali pertama hendak pakai ihram, abang Mat malu-malu tapi akhirnya kami jadi biasa. Satu lagi peristiwa yang tak dapat dilupakan ketika kami berdua beriktikaf di hadapan Kaabah tiba-tiba kami terbau sejenis bau-bauan yang tersangat wangi menyusuk masuk ke hidung kami. Kami sama-sama terpegun kerana wangian tersebut muncul hanya sekejap dan hilang begitu sahaja. Selepas itu kami tidak terhidu bauan seperti itu lagi.....

Datuk Ahmad Nawab adalah komposer yang paling banyak sekali menyumbang karyanya dalam bidang seni suara tempatan. Perkara itu dapat dilihat melalui jumlah lagu-lagu yang telah dicipta dan jasanya dalam mendidik ramai penyanyi hingga dikenali ramai. Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Uji Rashid, Hail Amir dan D.J.Dave adalah antara `anak-anak didik' komposer berasal dari Pulau Pinang ini.

Ahad, Oktober 25, 2009

Sajak Bangun Dan Runtuh SINAR ZAMAN 1974







Beberapa buah sajak karya saya juga pernah disiarkan di ruangan sajak Majalah SINAR ZAMAN terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan, Kuala Lumpur di tahun 70an dahulu. Salah sebuah - sajak bertajuk 'BANGUN DAN RUNTUH' yang saya hasilkan semasa tinggal di ibukota Kuala Lumpur ketika itu.

BANGUN DAN RUNTUH

Kau kotaku yang bangun
mewah khazanah kaya raya
bangunan perkasa meninggi raksaksa
mencakar-cakar langit terpaku.

Kau kotaku yang runtuh
membunuh para dada yang lupa
perutmu menuju kehancuran
pesta nafsu membunga-bunga
membutakan mata terbuka.

Kau kotaku yang bangun
adalah kau kotaku yang runtuh
telah kemarau perutmu sayang
malam-malammu tak berhujung
titik-titik hitam tertanda.

Kau kotaku yang bangun
esok bangunlah lagi. Bangunlah
gema perniagaan dan perusahaan
membunga kemewahan zaman agung
kota kaya raya milik bersama.

Kau kotaku yang runtuh
esok berhentilah. Berhentilah
bangun dari keruntuhan yang luruh
berdiri sebuah kekuatan.

Omar M. Hashim
Kuala Lumpur

Jumaat, Oktober 23, 2009

Hari Ini Ulangtahun Kelahiran Anak Bungsu Asymawi ke 14



Hari ini (23 Oktober 2009) ialah sambutan ulangtahun kelahiran anak bungsu Muhammad Asymawi yang ke 14 tahun. Pada 9hb. Oktober baru-baru ini pula ialah hari ulangtahun kelahiran anak sulung Muhammad Asyadi yang ke 31 tahun.

Sempena bulan yang sama, kami ambil keputusan buat sedikit majlis sambutan untuk mereka berdua serentak. Secara sederhana, bersama dengan kaum keluarga terdekat sahaja. Alhamdullilah, semoga diberkati Allah ke dua-dua mereka hidup berjaya, diberikan rezeki, sihat, panjang umur dan diberikan Iman.

Muhammad Asymawi sedang belajar dalam tingkatan 2 dan diharap akan lebih beri perhatian dan tumpuan di bidang pelajaran. Dunia dan akhirat sama-sama pentingnya.

Gambar: Kiri - Asyamawi dan Kanan - Asyadi. (adik dan abang).

Selasa, Oktober 20, 2009

Tahun 2009 Musim Tulis Lirik Lagu Pula


Alhamdullilah, sekarang ni jadi musim tulis lirik lagu pula. Saya dah selesai menghasilkan empat lirik untuk empat buah lagu baru ciptaan Komposer Md. Din As-Sallam dan sebuah lirik lama tulisan saya yang diberikan nafas baru. Lirik 'Salam Hari Raya' telah siap dirakam dan diterbitkan bulan Ramadhan lalu. Lagu ke 2 - 'Malam', ke 3 - 'Syukurku atas nikmatMu', ke 4 - 'Suara Yatim' dan ke 5 - 'Putu Mayong Rock' (dari lirik lama).

Syukurku Atas NikmatMu

Maha Besar pencipta diriku

Yang menjadikan ku manusia

Kudilahirkan dan dibesarkan

Kukecapi nikmat kehidupan

Wahai Yang Maha Pengasih

Wahai Yang Maha Penyayang

Pemberian Mu ku syukuri

Rahmat Mu ku nikmati

Apalah dayaku di kehidupan ini

Jika nikmatmu tidak kau beri padaku

Siapalah diriku di dunia ini

Jika pemberian Mu ditarik kembali

Ya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa

Syukurku atas segala nikmatmu itu

Tambahkan aku iman dan takwa

Tetapkan hatiku hanya pada Mu Ya Tuhan ku

Setiap detik masa berlalu

Kekalkan hatiku mengingati Mu

Siang dan malam kumerindui Mu

Hanya yang satu Allah ya Tuhanku

Ya Allah kekalkan diriku

Ya Allah tetapkan diriku

Menjadi seorang hambaMu sejati

NikmatMu terus kau beri

Padaku dan semua

Tiada terkira nilainya nikmatmu oh Tuhanku


Tiga lagu untuk Album terbaru Kumpulan GALAPAGOS dan dua buah lagu lagi untuk Album terbaru Fardiana yang sedang dalam proses rakaman. Semoga album ini akan berjaya nanti dan lagu-lagu lirik tulisan saya ini akan diterima oleh peminat-peminat seni suara.