

Sekitar tahun 1988, semasa saya, Yusof dan Kamarul menerbitkan drama tv 'MENEBUS MARUAH' skrip Azizi Hj. Abdullah, pelakon Rubiah Suparman telah kami pilih menjadi pelakon utama drama ini disamping M. Rajoli. Sebelum mengambil Rubiah kami cuba memberikan watak 'Mak Som' ini kepada pelakon Noraini Hashim di Shah Alam, tapi atas masalah kesihatan dan watak ini agak mencabar beliau menolaknya setelah melihat skrip.
Rubiah yang kami temui di Restoran Puteri miliknya yang masih ada hingga kini di Jalan Tun Sambanthan Brickfields menerima tawaran. Sepanjang seminggu lebih tempoh pengambaran, Rubiah Suparman tinggal bersama kami sekeluarga di rumah No. 1, Solok Inang, Taman Bunga Raya, Jalan Baru, Perai, Seberang Perai. Watak Rubiah ialah sebagai 'Mak Som' yang telah tua mencari suaminya 'Tok Man' yang terputus hubungan. Pengambaran dibuat di Kampung Terus, Guar Perahu, Seberang Perai.
Antara pelakon lain yang turut berlakon ialah - Karim Latiff, Hajah Wan Chik Daud, Mahmud Samad, Kamarul Ridzwan, Yusof M. Hashim, Wahab Ishak, Tahir, Abdul Rahman dan ramai lagi.
Rubiah Suparman merupakan seorang pelakon Singapura yang berkaliber. Pada awal 70 an beliau telah bermastautin ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier sebagai pelakon drama TV. Filem 'Bila Hati Telah Retak' (1983) (Anugerah Pelakon Terbaik 1983 Festival Filem Malaysia ke-4 - Kuala Lumpur.) Bintang Pujaan (1981) - Drama - Naik Tangga Turun Tangga.
Gambar Kiri: Rubiah Suparman selepas berlakon dengan mekap orang kampung wajah tua duduk kiri, Asnurrani, Azizah (isteri saya) memegang Nur Auni (anak) dan Normah (isteri Yusof). Saya berdiri di belakang. Lokasi - Rumah saya di Taman Bunga Raya, Jalan Baru, Perai, Seberang Perai.
Gambar Kanan - Rubiah dan Yusof Hashim (adik saya) sedang beraksi cemas dalam sawah ketika sebuah traktor hendak melanggarnya dan M. Rajoli membawa Rubiah naik basikal selepas pulang dari sawah.
Seronok! Alhamdullilah! Hasil usaha saya menguruskan penerbitan Sebuah Dokumentari Boria yang informatif diiringi lagu-lagu boria yang diamanahkan kepada saya oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka telah selesai dan berjaya.
Hampir memakan masa setahun (termasuk kajian, pengambaran, skrip dan proses studio) yang saya tempuhi bersama-sama dengan Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur. Berbagai cabaran juga yang kami terima termasuk dihalang buat pengambaran ketika merakamkan persembahan boria zaman dahulu.
DBP telah menjual DVD (2 cd satu set) ini bermula di Pesta Buku Antara Bangsa di PWTC Kuala Lumpur dan juga akan dimasukkan ke TV DBP dalam laman Web Dewan Bahasa Dan Pustaka. DVD pertama mengandungi empat buah persembahan boria di awal tahun 50an dan boria berlarak. DVD kedua mengandungi sebuah dokumentari mengenai sejarah boria datang ke Pulau Pinang termasuk bentuk persembahan dahulu dan sekarang hinggalah ke peraturan-peraturan boria.
Terima kasih kepada Encik Jamaluddin Mohd Sulong, Encik Amran Joned, Puan Siti Zaleha M. Hashim, Puan Rohana Abdul Rahman dan semua yang terlibat dari Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur yang telah memberi kepercayaan kepada saya menguruskan penerbitan ini dari awal hingga akhir.
Gambar: Pelawak/Pelakon Imuda yang turut buat persembahan dalam DVD ini sedang menunjukkan Set DVD yang mula dijual pada 21 April 2009 di Pesta Buku Antara Bangsa 2009, PWTC Kuala Lumpur.
Saya mengenali Allahyarham Omar Nawab sejak awal tahun 80an. Ketika kami berkumpul dengan rakan-rakan Allahyarham P. Ramlee di rumah P. Ramlee asal di Pulau Pinang (kini telah dirobohkan dan digantikan dengan rumah baru yang dibina dengan bentuk yang sama di tapak yang sama juga - kini dikenali dengan Rumah P. Ramlee).
Saya juga pernah jumpa Omar Nawab di pejabat penerbitan IMI iaitu pengeluar album-album melayu yang terkenal ketika itu antaranya Quinary M. dengan Mazuin Hamzah, M. Daud Kilau, Aris Ariwatan dan banyak lagi. Apa yang saya masih ingat antaranya Omar Nawab pernah menerbitkan Album 25 Rasul iaitu lagu kisah rasul-rasul nyanyian Datin Rafeah Buang, Ahmadi Hassan, M. Daud Kilau, M. Shariff dan ramai lagi penyanyi-penyanyi terkenal ketika itu.
Sebuah album hebat terbitan Omar Nawab ialah 'Koleksi Kenangan Abadi P. Ramlee' dalam tahun 1983 keluaran IMI yang mengandungi lagu-lagu P. Ramlee hasil nyanyian Nasir P. Ramlee, A. Rahman Hassan, Andre Goh, A. Ramli, Hail Amir, Kahar Hamid, Jefrideen, L. Ramli, Ahmadi Hassan, M. Daud Kilau, H.M. Ibrahim, Latiff Ibrahim dan ramai lagi.
Allahyarham yang terkenal sebagai penggubah lagu era 70-an, nama sebenarnya Omar Khan Nawab Khan, 65, merupakan adik bongsu kepada pengubah lagu terkenal tanah air, Datuk Ahmad Nawab dan Akhbar Nawab (kini bertugas di Klasik Nasional RTM) telah meninggal dunia di Hospital Selayang Kuala Lumpur setelah menghidap penyakit kencing manis. Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Taman Samudera, Gombak.
Lagu gubahan Omar Nawab yang dilahirkan di Pulau Pinang, pernah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal era 70-an termasuk Noor Kumalasari dan Ahmadi Hassan. Beliau turut menggubah lagu untuk filem. Allahyarham juga pernah menerima anugerah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).
Dalam tahun 2006 saya bertemu dengan Allahyarham di sebuah studio di Kuala Lumpur semasa rakaman video klip album nasyid Ahmadi Hassan, beliau bertindak sebagai penerbit. Kali terakhir saya bertemu dengannya di sebuah kedai runcit yang dibuat di hadapan rumah keluarga Ahmad Nawab (ketika itu Omar Nawab berpindah ke Pulau Pinang dalam tahun 2006 atau 2007) di Terengganu Road (sekarang berhampiran Stadium Bandaraya Pulau Pinang). Saya pergi dengan Allahyarham Nasir P. Ramlee, Omar yang kurang sihat menjaga kedai tersebut dan menyambut kami dengan gembira. Dia menceritakan kisah-kisah kesihatannya kepada kami. Dalam kedainya ada sebuah 'keyboard', katanya dia mengajar budak-budak main muzik sambil berniaga. Sebuah radio kecil diletakkan di tepi keyboardnya sambil mendengar siaran radio. Beginilah caranya Allahyarham menghabiskan sisa hidupnya setelah bersara dari bermain muzik (trumpet) dengan Orkestra RTM.
Semoga Allah Cucuri Rahmat Ke Atas Rohnya. Amin!
Gambar Kanan - Saya bersama Omar Nawab di Jalan Kaunter Hall off Jalan Rawang (Sekarang Jalan P. Ramlee) tak jauh dengan rumah P. Ramlee di awal tahun 80an.
Kiri - Di rumah abang Aziz (abang ipar), Sungai Buloh Selangor tahun 2008. Dari kiri - Kak Rashidah (kak ipar), abang Aziz, Asyadi, Amsyar, Norizah, Saya (Omar), Azizah, Asnurrani, Nurul dan Asymawi. Tulisan dalam warna Biru muda keluarga abang Aziz dan Warna Merah keluarga saya.
Kanan - Tahun 2007 melawat emak saudara (Mak Penakan) keluarga Ndak Sinah di Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak. Ndak Sinah berbaju bunga oren di hadapan. Sebelah kiri anak cucu keluarganya dan di sebelah kanan keluarga saya bersama adik Yusof dan keluarganya.
Walaupun saya sibuk dengan aktiviti harian, namun keluarga dan adik beradik yang jauh tidak juga dilupakan. Sesekali kena lupakan sekejap kerja jika tidak perhubungan keluarga semakin jauh.
Gambar Kanan - Pengarah Arkib Negara cawangan Pulau Pinang Mohd Nasser Malim dan Pengarah Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Rodzuan Ismail turut bersama.
Gambar Kiri - Che Mat Tahir, Yusof M. Hashim, Nasir P. Ramlee (anak Allahyarham P.Ramlee), Pak Yob dan Mat Shah Ismail juga ada. Nasir bergurau sambil mencubit pipi Yusof yang sedang makan di atas tangga.
Rupanya inilah kali terakhir Allahyarham Nasir P. Ramlee dapat bersama-sama dengan saya dalam majlis kenduri arwah ayahandanya.
Gambar-gambar yang amat bernilai buat saya.
Kiri: Gambar ini diambil di Era Photo Studio, Jalan Bagan Luar, Butterworth dalam tahun 1960 (umur 6 tahun). Yusof (Chop) di atas kuda, saya, emak dan bapa.
Gambar Kanan: Juga diambil di kedai yang sama di Butterworth. Kiri Kak Gayah (Kakak dengan bapa yang sama tapi berlainan ibu), Yusof atas kerusi, saya di belakang dan emak di sebelah kanan sekali. Mungkin dalam tahun 1963 ketika saya dalam darjah tiga Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil, Butterworth.
Ketika ini kami baru berpindah dari Kampong Tok Panjang, Bukit Mertajam ke rumah No. 5B, Jalan Kelab, Butterworth (sekarang Jalan Dato' Hj. Ahmad Said). Zaman ini untuk mendapat gambar yang terbaik, bergambar di kedai-kedai fotolah jawabnya.
Gambar ini diambil di tepi Kedai Ah Lek, Chow Kit, Kuala Lumpur pertengahan tahun 80an. Saya bersama-sama dengan Nasir P. Ramlee, Ibrahim Pendek dan Kuswadinata.
Sejak zaman P. Ramlee di Kuala Lumpur, kedai Ah Lek ini memang popular dengan tempat berkumpul pelakon, penyanyi dan artis-artis Melayu. P. Ramlee, Saloma, Karim Latiff, Yahaya Sulong, Shariff Babu, Ibrahim Pendek, Kuswadinata, Mahmud June, Nasir P. Ramlee, Mak Enon, Idris Hashim, A.R. Badul, Ahmad C.B. dan ramai lagi sering berada di kedai kopi ini.
Kalau ke Kuala Lumpur saya mesti singgah di sini. Abang P. Ramlee iaitu Sheikh Ali juga boleh dikatakan setiap hari ada di sini. Kini kedai Ah Lek tiada lagi. Orang-orang yang sering saya temui juga ramai yang telah meninggal.
Ibrahim Hassan nama sebenar kepada seniman Ibrahim Pendek. Allahyarham berasal dari Taiping, Perak. Di akhir hayatnya, Ibrahim berniaga nasi lemak di Pasar Cheras, Kuala Lumpur. Pernah beberapa kali saya menemui Allahyarham di tempat perniagaannya. Dia jadi taukeh manakala yang menguruskan jualan ialah pekerja Indonesia.
Selama dua hari saya berada di Karnival Generasi Bebas Jenayah anjuran Majlis Belia Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kedah, Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Kuala Muda serta Majlis Belia Daerah (MBD) Kuala Muda bertempat di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah Darul Aman.
Sahabat saya Lee atau nama penuhnya Razali Ridzuan akan mementaskan teater arahannya 'Lagu Tu Lagu Ni' bertempat di AUDITORIUM P.RAMLEE TAMAN BUDAYA NEGERI KOMPLEKS PUSTAKA WARISAN SENI LOT 2180 LINTANG P.RAMLEE OFF JALAN P.RAMLEE PULAU PINANG PADA 11 & 12 /O4/2009 JAM 8.45 MALAM (KUPON RM5) anjuran PERSATUAN KERSANI. Sebelum ini beliau memberitahu saya 'Lagu Tu Lagu Ni' merupakan sebuah teater komedi yang penuh sindiran.
Sementara itu satu PEMENTASAN MAKYONG “Dewa Indera Indera Dewa” OLEH KUMPULAN MAK YONG SERI NILAM ISTANA BUDAYA sempena program PUSAT SENI SETEMPAT 2009 akan diadakan pada : 04 April 2009 (Sabtu) masa : 8.45 malam bertempat :
di Pentas Arena, Taman Budaya Negeri, KPWS, Lintang P.Ramlee, Pulau Pinang (RUMAH P.RAMLEE). Terima Kasih kepada rakan saya Sebat Luncai yang mengirimkannya kepada saya.
Gambar Kanan - Lee atau Razali Ridzuan Pengarah Teater Lagu Tu Lagu Ni.
1 April 1946, Jabatan Siaran Radio ditubuhkan di Singapura diikuti dengan penubuhan Jabatan Penyiaran. Tercetusnya darurat oleh komunis pada tahun 1948, membawa kepada perlunya perkhidmatan radio diperluaskan dan diperkembangkan. Kini usianya dah 63 tahun. Tua dah. Lagi tua tentulah bertambah matang! Syabas kepada RTM dan rakan-rakan penyiar semua terutamanya yang mengenali diri saya. Jasa RTM tak dapat saya lupakan, sejak dari bangku sekolah saya dah mula menulis dan berkarya dengan RTM.
Ramai Deejay atau dulunya disebut 'juruhebah' yang agak rapat dan saya kenali. Tapi hanya ada beberapa gambar yang dapat saya kutip dari koleksi saya untuk disiarkan di sini.
Gambar - Deejay PKZ, Hj. Chuari Selamat, Kamaruddin Haniffa, YY, H.M. Beseri, Yaafar Sahab, Sobariah Yusof, Norita Sudin dan Rogayah Hashim.
Namun saya tidak lupakan juga - Azizah Zahari Majid, Elly Suhaili, Eisya Salma, Mimi, Nurul, Zam, Zaf, Asri, Sofiah Hassan, Purkhan Mokhtar, TATA, Fauzi Zakaria, Omar Ahmad, Naim, Fauzi Dali, Zahari Sidek dan ramai lagi (maaf kalau terlupa sebut).