MIMPI KE BINTANG TV2

Di Sepanjang Riwayat Omar Hashim Omara

Khamis, Jun 11, 2009

Bertemu Kembali Guru Darjah 1 Saya Cikgu Md. Isa


Pagi ini 11hb. Jun 2009, saya singgah di sebuah kedai kopi bersebelahan Masjid Simpang Empat Bukit Tengah, Bukit Mertajam Seberang Perai untuk minum pagi. Kebetulan seorang lelaki yang agak lebih umur dari saya duduk betul-betul di hadapan saya (di meja yang sama) sambil meletakkan pinggan nasi yang baru diambilnya dan secawan kopi. Entah kenapa saya rasa macam pernah melihat wajah orang ini dan saya terus bertanya kepadanya; " Maaf... saya rasa macam pernah kenal, siapa nama?.....". "...Md. Isa...", jawabnya ringkas. "Cikgu Md. Isa? Bekas guru Sek. Keb. Bagan Tuan Kechil Butterwoth?", tanya saya lagi. Dia menggangguk. "Kalau begitu, cikgu ialah guru saya.", saya memulakan perbualan.
Ya, inilah pertemuan bersejarah bagi saya. 


Ditakdirkan Allah saya diketemukan semula dengan guru pertama yang mengajar saja huruf A, B, C dan angka 1, 2 dan 3 dalam tahun 1961 ketika saya berumur 7 tahun dulu. Inilah dia guru yang saya cari-cari selama ini disamping beberapa orang lagi guru-guru sekolah rendah dan menengah yang pernah mengajar saya.

Namanya Cikgu Md. Isa bin Awang, kini berusia 75 tahun. Tinggal di Seberang Jaya, Seberang Perai.
Cikgu Md. Isa masih lagi ingat diri saya tapi dia terlupa nama. Dia masih ingat arwah bapa saya dan dia ceritakan dengan lengkap pekerjaan bapa saya Md. Hashim sebagai kakitangan Telekom, bapa saya sering pakai songkok hitam dan kemana-mana dengan kayuh basikal. Saya beritahu bapa saya baru meninggal dunia kira-kira empat tahun yang lalu. Masa belajar dengan cikgu Md. Isa (1961), kami tidak pakai buku seperti sekarang ini tapi tulis guna 'papan batu'. Selepas tulis, padam dan tulis lain pula hanya pada satu alat. Tahun 1963 baru guna buku. Guru besar pada masa itu Cikgu Ismail Ngah Salam (baru meninggal dunia lebih kurang dua tahun yang lalu). Guru darjah 2 pula Cikgu Sulaiman, darjah 4 Cikgu Fatimah, Darjah 5 Cikgu Yahaya dan darjah 6 Cikgu Nordin Md. Nuri.

Saya masih ingat lagi peristiwa saya menangis di hari pertama persekolahan darjah satu sebaik sahaja melihat bapa saya ada di tepi tingkap sekolah. Saya nak balik, tapi Cikgu Mat Isa memujuk sambil menarik tangan saya. Banyak perkara yang kami ceritakan pagi ini. Saya ambil nombor telefonnya dan InsyaAllah jika panjang umur saya berhasrat ingin membawanya bertemu dengan beberapa orang kawan-kawan darjah satu tahun yang sama dan bergambar di sekolah asal kami yang mungkin belum dirobohkan lagi.

4 ulasan:

  1. Ya Luth Textile, memang amat terharu. Saya tak sangka kami dipanjangkan umur hingga dapat bertemu kembali setelah 48 tahun berlalu. Dengan kehendak Allah, pertemuan yang tidak disangka ini seperti telah diatur. Dalam banyak-banyak tempat duduk, dia duduk betul-betul di hadapan saya dan terlintas hati saya untuk bertanyakan nama kepadanya. Sesekali dia mengesat air matanya bila saya ceritakan kisah-kisah lama.... Itulah takdir namanya....

    BalasPadam
  2. Bukan mudah untuk ketemu insan lama yang sememangnya dicari-cari.. Tahniah kerana masih ketemuinya...alhamdulillah...

    BalasPadam
  3. Sdr azlanlin, terima kasih. saya masih cari beberapa orang guru-guru saya lagi. InsyaAllah jika masih ada dan umur panjang, akan ketemu jua...

    BalasPadam